mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hormati keilmuan ulama

WALAUPUN lebih 1,400 tahun lalu Rasulullah SAW meninggalkan kita, ajaran Islam masih terus kekal terpelihara dan diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Hal ini berikutan kecekalan para sahabat seterusnya diwarisi oleh ulama silam hingga ke hari ini dalam memperjuangkan segala syariah Allah SWT agar sentiasa tulen untuk diamalkan dari generasi ke generasi.


SEGALA amalan yang dilakukan hari ini adalah diwarisi oleh ulama daripada Rasulullah SAW. GAMBAR HIASAN

Ulama merupakan individu pilihan Allah yang diberi kepercayaan untuk memegang amanah memelihara kesucian agama Islam sehingga digelar pewaris nabi.

Sehinggakan Allah mengiktiraf ulama dengan membuka kepada satu lapangan kajian baharu untuk menghasilkan usul atau dasar daripada asas hukum syarak iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan qias.

Justeru, terbentuknya mazhab yang dipelopori oleh imam-imam mujtahid (orang yang layak menentukan hukum) yang diperakui keilmuannya oleh ulama sezaman dan selepas mereka.

Oleh yang demikian, berpegang kepada mazhab adalah bertepatan dengan al-Quran dan sunah. Umat Islam sejak dari generasi sahabat sehingga kini sentiasa mendapat rahmat kesan daripada ijtihad ulama.

Sejak zaman sahabat lagi mazhab telah tercipta seperti mazhab Saidatina Aisyah, Ibnu Umar, Ibnu Mas’ud dan banyak lagi. Diikuti pada zaman tabiin seperti mazhab tujuh fuqaha (pakar ilmu fikah) Madinah yang diketuai oleh Said al-Musayyab.

Manakala, pada awal kurun kedua hingga pertengahan kurun keempat adalah zaman keemasan era ijtihad. Terdapat hampir 13 mujtahid yang membentuk mazhab masing-masing, namun kebanyakan mazhab tidak kekal melainkan empat mazhab muktabar iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali.

Imam Syafie adalah antara tokoh imam mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah yang terulung. Mazhab beliau tersebar luas ke Asia, Asia Barat dan mempunyai pengikut majoriti di seluruh pelosok dunia.

Ketokohan Imam Syafie telah menjadikan beliau tokoh mujaddid (pembaharuan) kurun kedua. Pengaruhnya bukan hanya kepada orang awam, namun disokong dalam kalangan ulama usul seperti Imam ar-Razi, Imam Subki, Imam al-Baidhowi dan lain-lain lagi.

Namun, alangkah sedihnya apabila hari ini terdapat sebahagian daripada ilmuwan yang baru mengenal beberapa hadis, lantang bersuara dengan mempertikaikan kewibawaan Imam Syafie. Sifat keegoan menjadikan mereka tanpa segan silu membuat bandingan kecetekan ilmu mereka dengan keluasan ilmu ulama masa silam.

Perkara ini sedikit sebanyak turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terutama umat Islam yang baru ingin mengenali agama untuk mengikuti fahaman yang benar, apatah lagi perbandingan itu ditimbulkan oleh golongan agama.

Kesempurnaan agama Islam meraikan perbezaan, namun sikap segelintir ahli agama yang bersikap taksub terhadap fahaman masing-masing menjadikan agama kelihatan sempit sekali gus mencemarkan imej agama itu sendiri.

Justeru, umat Islam di negara ini perlu menghormati dan patuh kepada pandangan ulama kerana mereka adalah golongan yang telah diberi kepercayaan oleh Allah, ia sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya yang amat takutkan Allah dalam kalangan hamba-hamba-Nya adalah para alim ulama.” (Fathir:28)

Kita juga seharusnya yakin dengan apa yang dibawa oleh ulama muktabar seperti Imam Syafie agar setiap amalan yang dilakukan diterima oleh Allah kerana diambil daripada satu kelompok kepada kelompok lain hinggalah sampai kepada Rasulullah.

-
Tags: ilmuwan, ulama
Subscribe

Posts from This Journal “ilmuwan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments