mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ancaman terhadap syirik

SEGALA puji bagi ALLAH Tuhan Sekalian Alam yang berfirman: “DIA memerintahkan kamu jangan menyembah melainkan DIA; yang demikian itulah Agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusof; 40)

Kita bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali ALLAH; tiada sekutu bagi-Nya. Kita turut bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan utusan ALLAH yang diutuskan ALLAH untuk menyeru manusia kepada tauhid mengesakan-Nya dalam ibadah serta mencegah daripada syirik. Baginda SAW telah berjihad pada jalan ALLAH sehingga Baginda menyempurnakan risalah Tuhannya dan ALLAH telah menyempurnakan agama-Nya melalui Baginda serta nikmat-Nya.

Bertakwalah kepada ALLAH, laksanakanlah apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang.

Perkara Paling Penting

Ketahuilah perkara paling utama dan penting yang ALLAH perintahkan adalah tauhid iaitu mengikhlaskan ibadah bagi ALLAH semata-mata yang tiada sekutu bagi-Nya dan tidaklah manusia diciptakan melainkan untuk merealisasikan tujuan ini.

Firman ALLAH: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Adz-Dzariaat; 56)

Maslahat dan manfaatnya akhirnya kembali kepada manusia itu sendiri kerana manusia perlu menyembah ALLAH semata-mata untuk mengecapi rahmat-Nya serta selamat daripada azab-Nya.

Maka perintah ALLAH supaya manusia menyembah-Nya untuk maslahat manusia itu sendiri. Adapun ALLAH, Dia tidak bergantung pada sembahan makhluknya mahupun memerlukannya. Bahkan ALLAH tidak mendapat apa-apa manfaat atau kelebihan daripada sembahan hamba-Nya.

Firman ALLAH: “Sekiranya mereka kufur, kamu dan sekalian manusia di bumi maka sesesungguhnya ALLAH Maha Kaya lagi Dipuji.” (Surah Ibrahim; 8)

Adapun perkara yang paling besar dan paling utama dilarang adalah syirik iaitu melalukan suatu ibadah untuk selain ALLAH seperti berdoa, menyembelih, bernazar, rasa takut, berharap dan gerun.

Firman ALLAH: “Sesungguhnya barang siapa menyekutukan ALLAH maka ALLAH mengharamkan atasnya syurga dan tempat tinggalnya adalah dalam api neraka.” (Surah Al-Maa’idah; 48)

Jenis-jenis syirik

Syirik terbahagi kepada dua jenis:

Pertama: Syirik besar menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama dan dia di dunia layak diperangi oleh umat Islam manakala di akhirat dia akan kekal abadi dalam api Neraka Jahanam, diharamkan atasnya masuk syurga dan dia akan dihalang daripada mendapat pengampunan ALLAH serta rahmat-Nya.

Jenis syirik ini berlaku apabila seseorang itu melakukan suatu ibadah untuk selain daripada ALLAH seperti contohnya dia berdoa menyeru meminta bantuan orang mati, menyeru jin syaitan untuk menunaikan hajatnya serta membebaskannya daripada musibah, dan melakukan sembelihan haiwan untuk syaitan bagi mendapat kesembuhan atau selamat daripada gangguan syaitan.

Demikian juga apa berlaku pada hari ini di banyak negara di perkuburan orang-orang soleh di mana sesetengahnya menjadi tempat melakukan upacara penyembahan tertentu selain daripada ALLAH seperti mana yang dilakukan oleh Kaum Nuh AS yang bersikap melampau terhadap orang-orang soleh.

ALLAH menyebutkan ucapan mereka dalam firman-Nya: “Dan mereka berkata: Jangan kamu tinggalkan tuhan-tuhan kamu, dan jangan pula kamu tinggalkan Wad, Sua’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr.” (Surah Nuh; 23)

Asal-Usul Penyembahan Berhala

Dalam Sahih Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA, dia berkata: “Mereka disebut dalam ayat ini ialah orang-orang soleh kalangan kaum Nuh dan sesudah mereka meninggal, syaitan  membisikkan kepada kaum Nuh supaya meletakkan tanda pada tempat mereka duduk dan dinamakan tempat itu dengan nama orang-orang soleh tersebut. Kaum Nuh melaksanakan saranan tersebut dan tanda-tanda itu tidak disembah hinggalah generasi pertama itu meninggal dunia dan tanda itu dilupakan barulah orang-orang soleh itu disembah.”

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Muhammad bin Qais, bahawasanya Wad, Sua’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr adalah nama orang soleh kalangan manusia, dan mereka mempunyai pengikut yang meneladani mereka.

Setelah mereka mati, pengikut mereka berkata: "Sekiranya kita membuat patung wajah guru kita tentu kita akan lebih khusyuk dalam ibadah". Maka pengikutnya pun mengukir patung-patung tersebut. Sesudah pengikut-pengikut itu mati dan generasi berikutnya datang, Iblis membisikkan pada mereka: "Sesungguhnya generasi sebelum kamu menyembah patung-patung ini dan dengannya mereka mendapat hujan, maka mereka pun menyembahnya".

Demikian yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh AS yang menyembah patung orang-orang mati. Dan hal ini kita dapati turut berlaku dalam kalangan penyembah-penyembah kubur di kebanyakan negara-negara dan ironinya golongan ini mendakwa bahawa amalan mereka adalah sejajar dengan syariat Islam.

Jenis syirik yang kedua: Syirik kecil seperti perbuatan riak, bersumpah dengan selain nama ALLAH dan ucapan seperti “apa yang ALLAH dan si polan inginkan” dan “kalau bukan kerana kamu, hal ini tidak akan berlaku” dan seumpamanya.

Jenis syirik ini tidak menyebabkan orangnya terkeluar daripada agama tetapi ia tetap bahaya dan dosanya adalah besar. Malah ia boleh menyebabkan orangnya jatuh syirik.

Pelajari akidah yang benar

Sekiranya syirik begitu bahaya, maka wajib tiap individu Muslim itu mengetahuinya agar dia dapat menghindarinya. Hal ini dilakukan dengan mempelajari akidah yang benar serta mengetahui lawannya iaitu syirik besar dan syirik kecil yang boleh menggugat akidah. Sesungguhnya barang siapa tidak tahu keburukan dikhuatiri dia akan jatuh ke dalamnya.

Kata Khalifah Omar Al-Khattab RA: “Dikhuatiri lilitan-lilitan Islam itu akan diurai satu persatu sekiranya timbul kalangan orang-orang Islam mereka yang tidak mengenali zaman Jahiliah.”

Sahabat Nabi Huzaifah bin Al-Yaman RA berkata: Dahulu manusia bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan; aku pula bertanya Baginda tentang kejahatan kerana aku khuatir akan terjatuh dalamnya.

Bagaimana mungkin seorang itu berasa selamat daripada syirik sedangkan Nabi Ibrahim AS sendiri takut dirinya jatuh dalam kesyirikan ketika beliau berkata:

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan kesesatan yang banyak dalam kalangan umat manusia.” (Surah Ibrahim; 35-36)

Nabi Ibrahim AS tetap tidak berasa selamat daripada syirik walhal beliaulah yang telah menghancurkan patung sembahan kaumnya dengan tangannya. Tetapi beliau tetap berasa tidak aman.

Masakan seseorang itu boleh berasa selamat dan yakin dengan imannya sedangkan tidak ada jaminan sama sekali bahawa seseorang itu akan terselamat daripada ujian dan godaan syirik dan kufur melainkan mereka yang ALLAH teguhkan hati mereka.

Bagaimana mungkin ada kalangan kita akhir zaman ini boleh mendabik dada yakin dirinya tidak akan jatuh dalam syirik sedangkan Nabi SAW berkata kepada para sahabatnya yang terdiri daripada kalangan sebaik-baik umat Islam, kata Baginda:

“Sesungguhnya perkara yang paling aku khuatir atas diri kamu adalah syirik kecil.”  Kata mereka: Apa itu syirik kecil? Jawab Baginda: “Riak. ALLAH menitahkan pada hari kiamat tatkala dia membalas amalan perbuatan manusia: Pergilah kamu kepada apa yang kamu riak untuknya, lihatlah apa balasan ganjaran yang mereka beri.”

Sekiranya Rasulullah SAW khuatir akan syirik kecil terhadap para sahabatnya, bagaimana pula dengan kita yang hidup akhir zaman ini yang penuh fitnah dan pelbagai ujian?

Tags: syirik
Subscribe

Posts from This Journal “syirik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments