mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Cinta menuntut pengorbanan

PERHATIKAN dan selami selembar demi selembar kisah Nabi Ibrahim yang diceritakan di dalam al-Quran. Detik-detik mendebarkan yang dialami oleh Nabi Ibrahim dan anak kesayangannya, Ismail.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Nabi Ibrahim pula berkata: “Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, ia akan memimpinku (ke jalan yang benar). “Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada orang yang soleh!” (Surah Al-Soffat: 99-100)

Kisah Nabi Ibrahim pada babak ini mengandungi emosi yang bercampur-campur. Bayangkan, sekian lama Nabi Ibrahim merayu dan mengadu kepada Sang Pencipta betapa dirinya sangat mendambakan seorang anak yang soleh.



Ketika menyembelih haiwan korban, lihatlah ia dengan nilai korban yang betul. - Gambar hiasan

ALLAH menjawab rayuan Ibrahim dengan satu perkhabaran yang sangat menggembirakan. Ismail adalah hadiah yang teristimewa buat Ibrahim. Kata Allah: “Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar”. (Surah Al-Saffat: 101)

Ibrahim menjaga dan mendidik Ismail ibarat menatang minyak yang penuh. Dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Walaupun diuji dengan arahan agar meninggalkan Ismail bersama ibunya, Hajar, di lembah yang kering kontang, namun kasih sayang Ibrahim tidak pernah berkurang, bahkan semakin bertambah.

Mereka berdua berkongsi kenangan hidup yang tidak ternilai. Bersama-sama membina “rumah ALLAH” yang mulia. Kaabah yang kita dapat tatap sampai ke hari ini adalah legasi dari mereka berdua.

Namun, apabila Ismail makin membesar, keimanan Nabi Ibrahim sekali lagi teruji. Zuriat kesayangannya ini diarahkan untuk disembelih. “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu…”. (Surah Al-Soffat: 102)

Mesej yang diperoleh melalui mimpi ini begitu berat untuk disampaikan kepada Ismail. Tetapi, mimpi golongan nabi adalah sesuatu yang benar. Ia wahyu daripada ALLAH. Ibrahim memahami bahawa mimpi tersebut merupakan arahan dari ALLAH supaya menyembelih anaknya.

Hati mana yang tidak gusar apabila menerima arahan sebegini. Begitu juga dengan Nabi Ibrahim. Terasa berat dan begitu sukar untuk menghadapi pertarungan dengan emosi diri sendiri. Namun, peribadi seorang Nabi tidak akan pernah mengingkari perintah Tuhannya.

Ibrahim sedar dan menerima hakikat bahawa ini adalah sebahagian daripada ujian dan lambang kepada kesempurnaan pengabdiannya kepada ALLAH Azza wa Jalla.

Berhadapan saat sukar

Lalu, kepada anak diceritakan dan ditanyakan pandangan: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” (Surah Al-Soffat: 102)

Ismail mengerti betapa cinta dan sayang ayahnya kepada dirinya. Ismail sedar ayahnya sedang berhadapan dengan saat yang sukar. Pertarungan antara perasaan kasihkan anak dan cinta kepada Tuhan. Namun, ketika inilah terpancar kesan didikan anak yang soleh semenjak kecil lagi.

Ismail memberikan jawapan membantu ayahnya untuk yakin dan tetap dengan keputusan perlu dilakukan: “Wahai ayahanda, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-ALLAH, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (Surah Al-Soffat: 102)

Tunduk dan patuh anak dan ayah kepada arahan ALLAH adalah kemuncak kepada maksud Islam. Al-Quran merakamkannya dengan ayat: “Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami)”. (Al-Soffat: ayat 103)

Islam ertinya menyerahkan diri kepada setiap arahan Allah, redha akur kepada setiap ketentuan. Ibrahim dan Ismail telah membuktikannya dengan penuh kesabaran.

Sebenarnya, apa yang dikehendaki oleh ALLAH bukanlah supaya Ismail mati disembelih oleh Ibrahim. Tetapi, bagaimana Ibrahim menguruskan jiwanya bagi menghadapi ujian keimanan ini.

Ternyata Ibrahim dan Ismail berjaya mengharunginya. Lalu ALLAH menyatakan: “Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”.

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. (Surah Al-Soffat: 104-106)

Iman yang dipegang bukan sekadar menjadi siulan di bibir Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail. Ia dibenarkan dengan hati, lafazkan dengan lisan dan dibuktikan dengan tindakan.

Hikmah dan pengajaran

Peristiwa ini benar-benar meninggalkan kepada kita hikmah dan pengajaran yang perlu digali. Dilihat dengan mata hati. Difikirkan dan dihayati. Pujian ALLAH kepada kekasihnya, Ibrahim, kekal hingga ke hari ini.

Ujian, rintangan dan kejayaan Nabi Ibrahim kekal menjadi inspirasi buat generasi berikutnya. Oleh sebab itu, ALLAH menyatakan: “Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian”.

Mungkin kita tertanya-tanya apakah rahsia kekuatan Nabi Ibrahim sehingga beliau berjaya mengharungi ujian yang amat berat ini. Jika diamati di dalam surah yang sama juga, di permulaan ketika ALLAH menceritakan kisah Ibrahim, ada satu rahsia yang telah didedahkan.

Kata ALLAH: “Dan Sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. Ketika ia mematuhi perintah Tuhannya dengan hati yang suci murni”. (Surah Al-Soffat: 83-84)

“Qalbun Salim” iaitu jiwa yang suci lagi sejahtera. Inilah rahsianya. Jiwa Ibrahim suci dari sebarang unsur yang bercanggah dengan tauhid, iman dan keikhlasannya kepada ALLAH. Berbekalkan “qalbun salim” inilah Ibrahim melaksanakan semua perintah, mengharungi segala mehnah dan menghidupkan dakwah.

Lalu ALLAH memuji hamba dan kekasih-Nya ini: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman”. (Surah Al-Soffat: 108-111).

Kisah cinta agung ini tidak akan padam dan diam. Ia akan terus hidup dibaca dan diceritakan. Kisah cinta indah melakar sejarah. Kisah cinta yang memberi penunjuk arah. Kisah cinta yang meninggalkan pelbagai ibrah.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah meletakkan nilai cinta yang suci ini di tempatnya yang betul. Di kedudukan yang tinggi lagi terpuji. Andai benar kita juga punyai cinta, inilah contohnya.

Ketika kita menyembelih unta, lembu dan kambing sebagai korban, lihatlah ia dengan nilai cinta yang betul. Bukan sekadar haiwan ingin disembelih dan dikorbankan. Tetapi, yang tersirat sebenarnya ialah kita mahu mendidik diri dengan menyembelih nafsu yang cintakan harta dan dunia sehingga terabai cinta yang lebih utama.

Kisah cinta Nabi Ibrahim penuh dengan seribu satu pengorbanan. Di mana nilai cinta kita, andai ia hanya menjadi siulan tetapi tidak sanggup untuk dibuktikan. Justeru, percayalah bahawa cinta menuntut pengorbanan. Kisah Nabi Ibrahim jadikan tauladan.

Tags: cinta, korban
Subscribe

Posts from This Journal “cinta” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments