mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bukan menyembah Kaabah

HAJAR dan Ismail diarahkan oleh ALLAH supaya dibawa dan ditinggalkan di suatu lembah yang kering kontang. Nabi Ibrahim taat dan patuh dengan arahan ini sekali pun perpisahan dan berjauhan dengan keluarga tersayang bakal menggamit kerinduan yang amat mendalam.

Hajar dan Ismail dibawa berpindah dari bumi Palestin menuju ke satu kawasan yang belum didiami oleh manusia di kawasan Hijaz.

Nabi Ibrahim melakukannya dengan sebab taatkan perintah ALLAH, bukan menurut kehendak isterinya Sarah seperti yang disebut dalam kisah Israiliyat.

Nabi Ibrahim tinggalkan isterinya Hajar dan anakandanya Ismail dengan titipan doa. ALLAH merakamkannya dalam al-Quran:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya.

Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatu pun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada ALLAH”. (Surah Ibrahim: ayat 35-37)

Kemudian, semasa Nabi Ibrahim datang menziarahi isteri dan anaknya, ALLAH memerintahkan agar dibina Baitullah. Lalu Nabi Ibrahim berkata kepada Ismail: “Wahai Ismail! Sesungguhnya ALLAH telah memerintahkan aku supaya membina Baitullah”.

Ismail menjawab: “Taatlah perintah ALLAH itu”. Bapanya berkata lagi: “ALLAH juga memerintahkan agar engkau membantuku dalam pembinaan ini”. Ismail bertanya: “Di manakah tempatnya?”.

Nabi Ibrahim menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat yang mengiringinya. Mereka pun mula menggali tapak asas binaan serta berdoa: “Wahai Tuhan kami! Terimalah (amalan) daripada kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Riwayat al-Bukhari, no 3364)

Baitullah al-Haram inilah tempat ibadah pertama yang dibina agar manusia dapat menyempurnakan ibadat mereka kepada ALLAH. Baitullah inilah yang dinamakan sebagai Kaabah seperti yang disebut di dalam al-Quran.

Perintah daripada ALLAH

Mari kita fikir sejenak. Nabi Ibrahim dan Ismail bukan membina Kaabah di atas kehendak mereka sendiri. Tetapi ia adalah perintah daripada ALLAH. Mereka hanya melaksanakan apa yang ALLAH kehendaki. Namun, dalam pada itu, mereka tidak putus-putus berdoa agar amalan mereka itu diterima.

Doa-doa Nabi Ibrahim dan Ismail dicatatkan dalam al-Quran:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada Kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah Kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;

“Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah al-Baqarah: ayat 127-129)

ALLAH memakbulkan doa mereka berdua. Telah lahir daripada zuriat keturunan Nabi Ismail, seorang rasul, Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada sekalian rasul.

Seruan Haji

Selepas selesai pembinaan Kaabah, Nabi Ibrahim membuat satu seruan yang kesannya dapat dilihat hingga ke hari ini. Itulah seruan haji ke Baitullah. ALLAH berfirman:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah Engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahku (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”. (Surah al-Hajj: ayat 26-27)

Kaabah inilah kiblat yang menjadi penunjuk arah umat Islam seluruh dunia mengarahkan wajah mereka untuk sujud kepada ALLAH. Umat Islam bukan menyembah batu-bata yang menjadi bahan binaan Kaabah. Adakah masuk akal jika dikatakan umat Islam pun menyembah “berhala” di Makkah sedangkan perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah ialah membersihkan semua unsur syirik terlebih dahulu daripada kalangan umat Islam.

Jadi, Kaabah adalah lambang kepada penyatuan umat Islam seluruh dunia. Dari ceruk pelosok rantau mana pun, jika di situ adanya insan bergelar Muslim, dia pasti akan solat dan bersujud kepada ALLAH di satu arah yang sama dengan umat Islam lain.

Oleh sebab itu, mempunyai pegangan tauhid yang jelas adalah prasyarat utama menunaikan apa jua ibadah. Ia akan memastikan kita mempunyai kepercayaan yang betul ketika melaksanakan sesuatu ibadah. Asas penting dalam ibadah ialah kita laksanakan hanya kerana menurut perintah ALLAH dan sunnah Rasulullah sekali pun akal manusia tidak dapat memikirkan apakah di sebaliknya.

Tags: kaabah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments