mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Daftar cerai online

IKATAN pernikahan dijalinkan dengan impian untuk hidup bahagia seumur hidup. Daripada perkahwinan maka akan lahirlah zuriat yang diharap membesar menjadi manusia yang besar imannya terhadap Yang Maha Pencipta.

Pun begitu, bukan semua ikatan pernikahan itu akan kekal selamanya. Takdir ALLAH penentu segalanya. Ada ikatan perkahwinan yang terlerai kerana tiada lagi persefahaman antara kedua-dua suami isteri. Ekoran tiada lagi persefahaman, maka perpisahan menjadi jalan penyelesaian yang terbaik.

CARI PELERAIAN

Walaupun wujud perasaan ingin bercerai apabila timbul perselisihan faham, namun suami isteri perlu juga memikirkan implikasinya. Perceraian bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Ia jalan terakhir yang boleh diambil apabila segala usaha untuk memperbaiki keadaan rumah tangga itu menemui jalan buntu.

Proses perceraian bukanlah mudah kerana ia menuntut masa yang perlu diluangkan dan kos. Dalam keadaan sekarang, setiap individu mempunyai komitmen sendiri yang pastinya mengekang untuk menyegerakan urusan perceraian.

Ada antara kita yang bekerja dan pekerjaan itu pula menuntut komitmen yang sungguh ketat sehingga ada proses perceraian yang tertangguh bertahun-tahun lamanya. Urusan perceraian yang tertangguh boleh menyebabkan pelbagai masalah lain berlaku sehingga menyukarkan kehidupan seseorang.

Rehal mendapatkan pandangan daripada Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor, bagi mengulas mengenai inisiatif pihak jabatan tersebut dalam memudahkan pasangan suami isteri yang mahu mendaftarkan perceraian.

Menurut Ab Rahman, Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan Sistem Pendaftaran Perceraian atas Persetujuan Bersama dan Pengesahan Lafaz Cerai melalui online. Sistem ini dikenali sebagai MySolve.

MySolve merupakan sistem atas talian yang dibangunkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Perak dengan kerjasama Kperak Implementation & Coordination Corporation. URL boleh diakses menerusi laman sesawang mysolve.perak.gov.my.

Sistem pendaftaran perceraian sedia ada dilakukan secara manual. Hal ini mempunyai kelemahan yang telah dikenal pasti. Justeru, pembangunan sistem online adalah dengan objektif meminimumkan kelemahan.

Menurut Ab Rahman, apa yang berlaku sebelum ini, orang awam yang ingin berurusan perlu hadir berulang kali ke mahkamah syariah semata-mata untuk menguruskan pendaftaran kes.

"Melalui sistem ini orang awam boleh akses dari rumah atau mana-mana tempat termasuk di luar negara. Bagi yang bekerja tidak perlu meninggalkan pejabat atau mengambil cuti untuk menguruskan pendaftaran kes. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kesesakan di kaunter mahkamah," katanya.

MY SOLVE MUDAHKAN PENDAFTARAN

Sejak dibangunkan pada penghujung 2015 dan boleh digunakan mulai Januari 2016, MySolve telah menerima lebih 200 permohonan untuk mendaftarkan perceraian mereka. Ini menunjukkan bahawa orang ramai sedar akan kewujudan sistem online ini dan dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Menurut Ab Rahman, Inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Perak untuk membantu pasangan mendaftarkan perceraian mereka dilihat begitu positif. MySolve amat membantu pasangan dalam urusan kes tersebut kerana mereka tidak perlu hadir ke mahkamah berulang kali.

“Mereka hanya perlu hadir pada tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah untuk sesi pendengaran di hadapan hakim dan keputusan akan diperoleh pada hari yang sama. Namun jika pihak tersebut tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan, maka permohonan tersebut dianggap terbatal dan pemohon perlu membuat permohonan baharu,” terangnya.

Malah keberkesanan sistem ini juga dapat dilihat melalui tempoh penyelesaian diambil, Menurut Ab Rahman, tempoh tersebut adalah antara satu hingga dua jam sahaja. Tempoh ini termasuklah mulai dari masa proses pendaftaran sehingga memperoleh salinan perintah.

INOVASI

Jika sebelum ini mungkin ada tanggapan mahkamah syariah bagaikan satu organisasi yang ketinggalan dalam sistem online. Kewujudan MySolve menunjukkan bahawa mahkamah syariah ini telah semakin maju dalam urusan atas talian, sekali gus mampu mengubah tanggapan sebegini.

Ab Rahman berkata, MySolve merupakan satu inovasi dalam perkhidmatan penyampaian kepada masyarakat. Mahkamah syariah sentiasa berusaha untuk memperbaiki atau membuat perubahan supaya sentiasa melakukan nilai tambah dalam perkhidmatan selari dengan perkembangan teknologi masa kini.

Selepas mengisi borang MySolve, tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan untuk meneruskan proses perceraian ialah pihak mahkamah akan memberi maklum balas dalam tempoh tiga hari bekerja dan  menetapkan tarikh kehadiran pihak-pihak untuk disoal siasat atau proses sebutan di hadapan hakim.

Menurutnya, pasangan tersebut perlu hadir pada tarikh yang ditetapkan dengan membawa dokumen lengkap, termasuk borang-borang yang boleh dimuat turun dalam sistem.

Melihat kepada keberkesanan sistem pendaftaran perceraian secara online ini, Jabatan Kehakiman Syariah Perak mengalu-alukan jika ada negeri-negeri lain yang mahu mengikut jejak langkah Perak dalam penggunaan sistem MySolve ini.

SALAH TANGGAPAN

Walau telah ditegaskan bahawa MySolve dibangunkan dengan tujuan memudahkan pasangan untuk mendaftarkan perceraian, namun masih wujud salah tanggapan. MySolve dianggap seumpama memudahkan dan mendorong suami isteri untuk bercerai.

Menurut Ab Rahman, aplikasi Mysolve merupakan  inovasi dalam perkhidmatan penyampaian iaitu memudahkan orang awam membuat pendaftaran kes. Pihak-pihak tersebut tidak perlu hadir ke mahkamah semata-mata untuk mendapatkan borang atau khidmat nasihat.

“Setiap pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumah tangga, mereka terlebih dahulu dikehendaki mengikuti khidmat kaunseling atau runding cara keluarga. Ini merupakan proses yang mesti diikuti dan tidak terkecuali. Khidmat runding cara ini akan berlangsung beberapa sesi, bagi memastikan pasangan ini boleh membuat keputusan terbaik.

"Bagi pasangan yang sudah tidak boleh diselamatkan lagi rumah tangganya, maka mereka akan dirujuk kepada mahkamah syariah. Pada peringkat ini, bagi pasangan yang telah mengambil keputusan untuk bercerai secara persetujuan boleh membuat pendaftaran melalui Mysolve,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bagi suami yang telah melafazkan cerai di luar mahkamah, mereka perlu melaporkan kepada Jabatan Agama dan membuat pengesahan di mahkamah syariah. Pasangan ini boleh membuat pendaftaran online melalui Mysolve supaya perceraian mereka dapat disahkan sabit jatuh talak atau sebaliknya.

"Pasangan yang telah mendaftar kesnya secara online, mereka akan dipanggil ke mahkamah syariah untuk disoal siasat di hadapan hakim dan keputusan akan diperoleh pada hari yang sama,” katanya.

PUNCA KES PERCERAIAN

Ditanya mengenai punca perceraian dalam kalangan suami isteri, Ab Rahman berkata, antaranya adalah tiada persefahaman terutama dalam kalangan pasangan muda. Mereka berkahwin atas dasar cinta semata-mata tanpa membuat persediaan dan dalami ilmu asas berumah tangga. Mereka kurang memahami matlamat perkahwinan, peranan dan tanggungjawab sebagai suami isteri.

"Selain itu, antara punca perceraian juga ialah pihak suami gagal memperuntukkan nafkah diri dan perbelanjaan rumah tangga. Apabila pihak isteri meminta nafkah, ia menjadi punca pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan. Tidak kurang juga perceraian berpunca daripada tabiat buruk yang tidak boleh ditinggalkan seperti penagihan dadah, ais, heroin atau bahan-bahan yang mengkhayalkan yang menyebabkan malas bekerja untuk mendapatkan pendapatan tetap," katanya.

Melihat kepada statistik perceraian yang meningkat dari setahun ke setahun, maka usaha-usaha untuk mengekang hal ini daripada berlaku turut diadakan. Hal ini berpadanan dengan objektif untuk melahirkan keluarga yang harmoni, sekali gus mewujudkan suasana kekeluargaan yang bahagia.

Beliau berkata, usaha untuk mengatasi peningkatan penceraian perlu melibatkan banyak pihak dalam institusi kekeluargaan. Mahkamah syariah hanya memutuskan pertikaian yang timbul dalam rumah tangga. Usaha perlu ditangani sebelum permasalahan rumah tangga dibawa ke mahkamah. Paling utama adalah menanamkan kesedaran kepada setiap pasangan pentingnya ilmu berumah tangga. Ini bermula daripada suasana kehidupan keluarga itu sendiri dan masyarakat setempat.

"Silibus kursus pra perkahwinan perlu dikaji supaya lebih sesuai dengan kehendak semasa. Dicadangkan juga diadakan kursus pasca perkahwinan sebagai usaha untuk menanamkan kesedaran dan kefahaman lebih jitu kepada pasangan. Selain itu, Unit Kaunseling di Jabatan Agama Islam perlu dipertingkatkan fungsi dan peranannya,” ujarnya menutup bicara. Siti Meriam Elias Sinar Harian Rehal 16 September 2016

Tags: cerai, kahwin, nikah
Subscribe

Posts from This Journal “cerai” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments