mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Meniti Rumahtangga Bahagia ”

Petikan Khutbah Jumaat 23 Septermber 2016: JAIS

“Meniti Rumahtangga Bahagia ”

Kehidupan berumahtangga bukanlah semata-mata mencari keseronokan berpasangan, sebaliknya ia merupakan suatu amanah jais.jpgdaripada Allah SWT yang seharusnya dipikul secara bersama oleh suami dan juga isteri.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 32 yang bermaksud; “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Dalam memenuhi tuntutan dan amanah perkahwinan itu, tidak kurang pasangan suami isteri yang tewas di pertengahan jalan.

Hal ini terbukti melalui kajian demi kajian yang menunjukkan berlakunya kes-kes perceraian hampir setiap hari terutamanya di kalangan pasangan-pasangan muslim. Di negeri Selangor sahaja, jumlah perceraian yang telah direkodkan sepanjang tahun 2013 adalah sebanyak 6028 kes, tahun 2014 pula berjumlah 6912 kes, tahun 2015 berjumlah 7698 kes dengan peningkatan yang mendadak dengan kes harian berjumlah 21 kes.

Ibnu Umar RAnhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah adalah perceraian.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sekalipun perceraian merupakan perkara yang dihalalkan, namun ia memberikan kesan kerosakan yang sangat besar, seperti putusnya hubungan kekeluargaan, anak-anak akan hidup terbiar, membuka ruang perlakuan zina, keruntuhan moral, meningkatkan jumlah kemiskinan dan memburukkan imej umat Islam dan agamanya.

Apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya perceraian ?

Antaranya adalah :

Pertama: Tidak menghayati tujuan dan matlamat perkahwinan dalam Islam. Islam mensyariatkan perkahwinan kerana mempunyai matlamat yang lebih besar daripada sekadar menunaikan tuntutan nafsu.

Namun, bagi mereka yang tidak memahami tujuan sebenar perkahwinan akan mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan perselisihan dengan perceraian.

Kedua: Gagal mengurus perbezaan pendapat dan fahaman antara suami dan isteri. Antara alasan utama yang menyebabkan perceraian di kalangan suami isteri adalah kerana gagal mengurus perbezaan pendapat dan fahaman.

Justeru, suami isteri hendaklah bijak menguruskan perbezaan pendapat dan fahaman bagi menuju kebahagiaan dan kesejahteraan rumahtangga.

Kegagalan suami isteri memahami tugas dan tanggungjawab pasangan masing-masing akan menyebabkan berlakunya perselisihan yang akhirnya akan membawa kepada perceraian.

Ketiga: Campur tangan orang lain dalam rumahtangga. Tidak dinafikan juga, banyak kes perceraian berlaku adalah disebabkan suami ataupun isteri bermain kayu tiga atau skandal dengan orang lain.

Kehadiran orang ketiga ini lazimnya menyebabkan berlaku porak peranda dalam kehidupan suami isteri, di mana sekiranya tidak diselesaikan dengan sebaiknya, maka ia juga akan mengakibatkan perceraian.

Selain daripada itu, tidak dinafikan terdapat pula di kalangan sesetengah ibubapa atau mentua yang terlalu mencampuri urusan kehidupan anak dan menantu, sehingga memburukkan lagi perselisihan antara mereka.

Keempat: Tiada kematangan dalam mendirikan rumahtangga. Banyak berlaku perceraian dikalangan pasangan-pasangan muda yang mendirikan rumahtangga kerana tiada kematangan berfikir dalam mengurus rumahtangga lalu bertindak terburu-buru dengan menceraikan pasangan.

Allah SWT telah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 21;“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteriisteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

Justeru umat Islam hendaklah menghayati hikmah disebalik perkahwinan dalam Islam dengan adanya ketenangan, kebahagiaan, kemesraan, pemeliharaan iman dan menjadikan perkahwinan itu sebagai suatu ibadah yang dituntut dalam Islam.

Sesungguhnya antara perkara yang penting juga untuk mengekalkan sesebuah perkahwinan adalah saling berusaha untuk memahami antara satu sama lain; memahami hati budi pasangan, memahami kelebihan dan kekurangan, bahkan juga memahami tugas dan kerjaya pasangan masingmasing. Apa yang paling penting bagi kita adalah sikap bertolak ansur antara satu sama lain dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab seharian. Dengan cara sebegini, kebahagiaan dan keharmonian dalam rumahtangga akan terus dapat dikekalkan, insyaAllah.

Rasulullah SAW sendiri sebagai qudwah hasanah bagi kita telah pun menunjukkan bagaimana caranya kita perlu bertolak ansur dalam kehidupan berumahtangga. Sekalipun baginda sibuk dengan tugas memimpin negara dan menyampaikan risalah Islam, namun baginda tetap mempunyai masa membantu kerja-kerja di rumah.

Baginda memerah sendiri susu kambing, baginda menjahit sendiri bajunya dan baginda melakukan kerja-kerja rumah tanpa meminta bantuan isteri-isterinya.

Saidatina Aisyah RAnha meriwayatkan bahawa beliau pernah ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berada dalam rumahnya? Maka beliau menjawab yang bermaksud: “Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja-kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk menunaikan solat”. (Riwayat al-Bukhari ).

Setiap pasangan suami isteri yang beriman sewajibnya memperbanyakkan amal ibadah dan mendekatkan diri serta sentiasa berdoa untuk mendapatkan kebahagiaan rumahtangga. Ini kerana setiap kebahagiaan itu datang daripada Allah SWT, maka sudah semestinya Allah juga yang berhak menarik balik kebahagiaan tersebut. Justeru, umat Islam amat dianjurkan supaya mengamalkan doa-doa yang ma’thur untuk menjamin kebahagiaan hidup berumahtangga di dunia dan juga di akhirat.

Sepertimana doa yang dianjurkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Furqan ayat 74;“...“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa”.

Secara kesimpulannya, kebahagiaan di dalam sesebuah rumahtangga banyak bergantung kepada kesungguhan suami isteri dalam melaksanakan perkara-perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah memahami dan meyakini bahawa perkahwinan merupakan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT yang juga merupakan salah satu daripada maqasid syariah.

2. Pasangan umat Islam hendaklah berusaha mencapai tujuan dan matlamat utama perkahwinan sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam.

3. Pasangan umat Islam hendaklah berusaha untuk saling faham memahami dan bertolak ansur terhadap pasangan masing-masing.

4. Pasangan umat Islam hendaklah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar rumahtangga yang sudah dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.

5. Setiap pasangan muslim hendaklah berusaha melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab hidup berumahtangga dan memiliki sifat kesabaran yang tinggi.

6. Umat Islam hendaklha banyakkan bersabar dalam menghadapi sebarang perselisihan yang timbul, dan hindarkanlah keluarga kita daripada bercerai berai, kerana sesungguhnya syaitan akan bergembira apabila melihat ramainya umat Islam yang bercerai berai.

“Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu”. (an-Nisa’; 1).
Tags: bahagia, rumah tangga
Subscribe

Posts from This Journal “rumah tangga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments