mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Meratapi kematian

MERATAPI kematian atau dalam bahasa Arab disebut “al-Niyahah” ialah perbuatan mengangkat suara ratapan disebabkan kematian seseorang. Termasuk dalamnya ialah menangis yang bersangatan.

Perbuatan meratapi kematian ini menunjukkan seolah-olah seseorang tidak reda dengan takdir ALLAH atau tidak sabar dengan ketentuan dan ujian yang telah ditetapkan ALLAH.

Ia menggambarkan seakan-akan tidak dapat menerima hakikat bahawa orang yang disayangi telah pergi selama-lamanya. Pada zaman sekarang, luahan-luahan perasaan meratapi kematian ini boleh juga berlaku melalui Facebook, Instagram, Youtube dan sebagainya.

Menangislah... tetapi berpada

Jadi, adakah tidak boleh menangis langsung? Islam bukanlah agama yang kering, kaku, keras dan asing daripada fitrah kehidupan manusia. Islam begitu meraikan perasaan insan dan tidak menolak nilai keinsanan.

Jiwa mana yang tidak sedih apabila hilangnya orang yang disayangi. Oleh itu, perasaan sedih dan tangisan yang tidak keterlaluan, bukan kerana penyesalan dan ratapan adalah dibolehkan. Ia adalah fitrah manusia apabila ditimpa sesuatu kesedihan. Hal ini berdasarkan beberapa hadis yang sahih. Antaranya ialah tangisan baginda Rasulullah atas kematian anakandanya, Ibrahim.

Anas bin Malik berkata: Kami datang ke rumah Abu Saif bersama Rasulullah SAW. Abu Saif adalah suami kepada wanita yang menyusui Ibrahim, putera Rasulullah. Baginda mengangkat Ibrahim lalu menciumnya.

Kemudian kami masuk melihat Ibrahim, kami dapati kedua mata Rasulullah SAW menitiskan air mata. Abdul Rahman bin 'Auf berkata kepada Baginda: "Dan engkau wahai Rasulullah (menangis)?!”

Rasulullah berkata: "Wahai putera 'Auf! Sesungguhnya ia adalah rahmat kasih sayang yang kemudian diikuti dengan yang lain. Sesungguhnya mata menitiskan air mata, jiwa ini bersedih dan kami tidak mengucapkan melainkan sesuatu yang diredai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya perpisahan ini wahai Ibrahim amat menyedihkan”. (Riwayat al-Bukhari)

Haram meratap

Meratapi kematian adalah haram di sisi syariat Islam. Hukum ini disepakati oleh jumhur ulama dan di antaranya ialah para imam mazhab yang empat. (Rujuk: Muhammad Wafa, Ahkam al-Janaiz fi al-Fiqh al-Islami, (Kaherah: Maktabah al-Mutanabbi, 1993), m/s 29).

Bahkan ia disenaraikan di antara dosa-dosa besar, seperti yang disebut oleh Al-Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Zahabi di dalam kitabnya al-Kabair.

Banyak hadis yang melarang keras perbuatan ini. Antaranya ialah:

“Dua perkara berlaku pada manusia adalah kufur; mencela nasab keturunan dan meratapi ke atas mayat”. (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi rahimahullah ketika menghuraikan hadis ini menyatakan ia bermaksud:

1) Kedua-dua perbuatan tersebut adalah amalan orang kafir dan merupakan akhlak jahiliah.

2) Perbuatan ini membawa kepada kufur.

3) Kufur (yang dimaksudkan ialah) kufur nikmat dan ihsan.

4) Jika ia mengharuskan perbuatan tersebut, maka ia menjadi kafir.

(Al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 2000) 1/245)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya mayat diazab di dalam kubur disebabkan ratapan ke atasnya”. (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Syaikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani dalam kitabnya “Ahkam al-Janaiz; jika dilihat pada zahir hadis ini, seolah-olah ia bercanggah dengan kaedah usul dalam syarak seperti yang dinyatakan oleh ALLAH Taala dalam al-Quran bermaksud: "Seseorang itu tidak menanggung dosa seseorang yang lain”. (Surah al-An’am: 164)

Para ulama berbeza pendapat dalam menjawab persoalan ini, dan sekurang-kurangnya terdapat lapan pendapat, dan yang paling hampir kepada kebenaran dan yang rajih ialah pendapat jumhur iaitu: maksud hadis ini ialah sesiapa yang memang telah berpesan supaya diratapi kematiannya, atau dia tidak berpesan supaya tidak melakukannya, sedangkan dia sudah tahu bahawa menjadi adat ahli keluarga atau orang ramai akan melakukannya.

Sebab itu, Abdullah ibn al-Mubarak berkata: "Sekiranya semasa hidup dia telah melarang mereka daripada perkara tersebut (meratapi kematian), (tetapi) mereka melakukannya juga selepas daripada kematiannya, maka tidak ada apa-apa ke atasnya”. Dan yang dimaksudkan azab di sisi jumhur ini ialah hukuman/seksaan. (Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din, Ahkam al-Janaiz (Riyadh: Maktabah al-Ma’arif, 1992), m/s 41)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari telah memberikan huraian yang panjang terhadap maksud hadis ini. Kesimpulannya, hal ini disebabkan si mati tidak mengajar ahli keluarganya tentang larangan meratap kematian tersebut. Maka keluarganya melanggar larangan ALLAH, lalu meratapi kematiannya. (Al-‘Asqalani, IbnHajar, Fath al-Bari, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1379H) 3/155)

Berkumpul dan menjamu makan

Seorang sahabat Rasulullah iaitu Jarir bin Abdullah al-Bajali telah mengingatkan kita tentang satu perkara penting. Menurutnya amalan ahli keluarga si mati yang menjemput orang ramai berkumpul di rumah dan dibuat jamuan sempena dengan kematian tersebut juga termasuk dalam meratapi kematian (al-niyahah).

Katanya: "Adalah kami menganggap bahawa berkumpul di rumah si mati dan menyediakan jamuan makanan adalah termasuk dalam meratapi kematian”. (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya (no.6905), Ibn Majah dalam Sunannya (2/2275). Disahihkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (5/290). Disahihkan juga oleh Syekh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (2/48).

Secara ringkasnya, dalam ilmu hadis, jika mana-mana perkataan daripada sahabat Nabi yang menggunakan lafaz-lafaz seperti “kami disuruh untuk melakukan sesuatu” atau “kami dilarang daripada sesuatu” atau “adalah kami telah mengatakan" atau “kami melakukan sesuatu” dan yang sama maksud dengan lafaz-lafaz ini, maka perkataan tersebut dihukumkan sebagai hadis marfu’.

Hadis Marfu’ ialah hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan, taqrir (pengiktirafan) atau sifatnya secara bersambung atau terputus.

Oleh itu, kata-kata Jarir bin Abdullah tersebut menunjukkan Rasulullah mengakui dan mengiktiraf perbuatan atau pun pendapat para sahabat dalam perkara ini. Atau, ia juga menunjukkan perkara tersebut merupakan persepakatan (ijma’) dalam kalangan para sahabat; iaitu para sahabat bersepakat bahawa berkumpul di rumah si mati dan disediakan jamuan makanan untuk mereka yang hadir adalah dilarang kerana ia termasuk dalam perbuatan meratapi kematian.

Selain itu, bagi menjelaskan lagi kata-kata Jarir bin Abdullah tersebut, Imam al-Syaukani –rh- ketika menghuraikan hadis ini menyebut: "(Perkataan tersebut bermaksud) iaitu para sahabat menganggap bahawa berkumpul di rumah ahli keluarga si mati selepas daripada pengebumiannya, dan menikmati jamuan makanan, adalah salah satu jenis daripada perbuatan meratapi kematian; yang mana ia memberikan beban yang berat kepada keluarga si mati dan menyusahkan mereka sedangkan mereka telah  menanggung kesusahan dengan kematian tersebut, dan kerana perbuatan ini juga menyalahi sunnah”. (al-Syaukani, Nail al-Awtar (Mesir: Darul Hadis, 1993) 4/118)

Ikut pesan Nabi, bukan rasa hati

Kehilangan insan tersayang dalam hidup ini amat memeritkan. Sedih dan hiba pasti bertamu di jiwa. Pipi dibasahi dengan titisan air mata. Perpisahan ini amat memilukan. Perginya tidak akan kembali lagi. Hanya tinggal seribu satu kenangan sebagai memori. Justeru, andai benar kita sayangkan si mati, lakukan apa yang dipesan oleh Nabi. Bukan mengikut apa rasa hati.

Tags: kematian, mati
Subscribe

Posts from This Journal “kematian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments