mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dakwah dalam arus kemajuan negara

ISLAM agama dakwah dan kemajuan. Keindahan ilmu agama (naqliah) dan sains (aqli) saling melengkapi. Islam mendorong perubahan dan kemajuan manusia dalam setiap bidang kehidupan.

Kemajuan tuntutan fitrah manusia. Islam pelengkap kepada proses penyempurnaan tuntutan fitrah tersebut. Islam agama yang benar sebagai panduan kehidupan. Sirah merakamkan era kejahilan masyarakat Arab diperbaharui dengan gaya hidup Islam yang mendorong kepada kemajuan.

Kemajuan yang bukan sekadar kepuasan individu, malahan membawa kesejahteraan. Islam berjaya menyatukan jiwa tanpa mengira rupa bentuk individu, bergerak sebagai satu kumpulan dan menguasai tamadun besar yang terakam dalam sejarah dunia. ALLAH SWT berfirman mafhumnya:

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Nahl: 125).

Sejarah merakamkan kedatangan Islam ke negara ini didorong oleh kemasukan para pendakwah melalui aktiviti perdagangan yang berkembang pesat terutamanya pada zaman kegemilangan Kerajaan Melaka.

Islam disebarkan melalui akhlak dan tingkah laku para pedagang yang terpuji, mendekati pihak istana dan pemerintah sekali gus melahirkan ulul amri dan rakyat yang patuh kepada syariat.

Dakwah merupakan penyebaran agama Islam yang mengandungi 4 komponen utama iaitu :

- daie (pendakwah),

- mad’u (sasaran dakwah),

- maudhu’ al-dakwah (topik dakwah) dan

- uslub wa wasa-il al-dakwah (gaya dan metodologi dakwah).

Istilah dakwah mula diperkenalkan sebagai pengajian Universiti al-Azhar oleh Sheikh Ali Mahfuz, pengarang Kitab Hidayah al-Mursyidin. Sementara di Malaysia istilah dakwah mula dipopularkan pada dekad 70an, sebelumnya lebih dikenali dengan seruan Islam, tabligh dan sebagainya. Mengikut tradisi Islam, terdapat beberapa istilah lain yang turut menyokong makna dakwah iaitu:

- jihad fi sabilillah - jihad di jalan ALLAH.

- al-Amru bi al-Makruf wa al-Nahi ‘an al-Munkar -menyuruh perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran.

- al-Inzar wa al-Tabsyir –amaran dan berita gembira.

- al-Shahadat ‘ala al-Nas – penyaksian kepada sekalian manusia.

- al-Islah - pembaikan

- al-Nash – nasihat.

- al-Tazkir – peringatan.

- al-Tabligh – menyampaikan.

- izhar al-Din – menjelaskan perkara agama.

- iqamat al-Din – mendirikan agama.

- i’laa-u kalimat ALLAH – meninggikan kalimah ALLAH.

- al-Tawasi bi al-Haq – berpesan dengan kebenaran.

- al-Ta’aawun a’laa al-Khair – tolong-menolong dalam kebaikan dan sebagainya.

Perkembangan dakwah berlaku dengan pantas di Malaysia. Para pendakwah mengaplikasikan Islam dalam sistem kehidupan. Asas utamanya bermula melalui institusi pendidikan pondok, madrasah, surau dan masjid.

Aktiviti pengukuhan akidah dan agama diterapkan dalam kehidupan harian. Pelajar cemerlang dihantar mendalami ilmu ke Kota Suci Makkah, Madinah, Mesir, India, Pakistan dan negara Timur Tengah.

Selepas tamat pengajian, mereka menyambung legasi dakwah generasi sebelumnya seperti tokoh-tokoh ulung Tok Pulau Manis, Tuan Tabal, Tok Kenali, Sheikh Haji Abdullah Fahim, Syed Syeikh Al-Hadi, Haji Ahmad Maher, Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Haji Abdullah Abbas Nasution dan sebagainya. Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja-Raja Melayu ikon terpenting penyatuan ummah serta ketua agama Islam.

Selepas kemerdekaan, pembangunan terus berlaku seiring gerakan dakwah. Penerapan syiar Islam dalam masyarakat diteruskan. Pengurusan Islam secara sistematik dilakukan melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam mengurus pentadbiran hal ehwal Islam negeri-negeri.

Urus tadbir MKI dinaik taraf kepada Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri, kemudiannya distrukturkan sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 1997.

Jakim berperanan menyelaras pengurusan hal ehwal Islam meliputi penggubalan dan penyeragaman undang-undang, pembangunan pendidikan, pembangunan keluarga dan sosial, pemantapan akidah, pembangunan fatwa, pengurusan dan pengimarahan masjid, penyebaran dakwah serta pembangunan muamalat.

Beberapa institusi ditubuhkan di peringkat persekutuan selain Jakim seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) .

Syiar Islam diaplikasi menerusi Dasar Pendidikan Negara, sistem pengajian pondok dinaik taraf kepada penubuhan Sekolah Agama Rakyat bantuan Kerajaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Antara institusi pendidikan Islam tersohor lahir dari sistem pendidikan pondok seperti Maktab Mahmud Kedah, Maahad Muhammadi Kelantan, Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Terengganu dan Kolej Islam Malaya.

Usaha diteruskan membawa penubuhan Fakulti Pengajian Islam, UKM, Maktab Perguruan Islam Malaysia, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Akademi Pengajian Islam UM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Kesinambungan diperluaskan dalam institusi kewangan dan pengurusan Islam melalui penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji, Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam, Bank Islam Malaysia Berhad, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Skim Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) serta saluran media dan hiburan Islam menerusi radio IKIM, Salam FM dan TV Al-Hijrah.

Gerakan-gerakan yang aktif, sama ada oleh agensi kerajaan mahupun NGO menyemarakkan usaha dakwah. Gerakan dakwah berkembang dan lebih tersusun. Antara pertubuhan yang memberi sumbangan kepada perkembangan dakwah seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Hikmah Sarawak, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah, Pertubuhan Bekas Mahasiswa Timur Tengah, Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia dan sebagainya.

Inilah tanggungjawab dakwah. Menegakkan amar ma‘ruf, nahi munkar. Ia tidak akan mampu dilaksanakan dengan sempurna kecuali umat Islam mempunyai kuasa politik (kerajaan) kerana hanya melalui sebuah kerajaan mampu melaksanakan perintah dan larang. Inilah wasilah dakwah yang sempurna.

Di Malaysia, Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan yang memberi kesan ke atas kedudukan Islam dalam pentadbiran dan sistem berkerajaan. Perkembangan ini dilihat menerusi pembangunan Malaysia secara bijaksana bermula melalui dasar muhibah dan meninggikan syiar Islam oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dasar pembangunan Tun Abdul Razak, dasar perpaduan Tun Hussein Onn dan lain-lain.

Pendekatan berimbang diteruskan di bawah pentadbiran Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan pendekatan wasatiyyah menekankan ajaran Islam secara sederhana, berimbang dan syumul dengan memberi penekanan meningkatkan kualiti hidup ummah dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, ilmu pengetahuan serta perpaduan.

Penerimaan nilai-nilai wasatiyyah memberi perkembangan yang baik dalam kehidupan rakyat.  Pendekatan dakwah yang dilaksanakan tidak berdasar paksaan.  Islam disebarkan secara aman, mengelak pendekatan kekerasan, mengutamakan dakwah bil mau’izah wa al-hasanah dan dakwah bil hal. Islam menyatukan rakyat. Dengan petunjuk Islam, Malaysia mampu mencapai kemajuan.   Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin SInar Harian Rehal 23 September 2016

Tags: dakwah
Subscribe

Posts from This Journal “dakwah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments