mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Hijrah Dalam Kehidupan Muslim ”

Khutbah Jumaat 30 Septermber 2016: JAIS

“Hijrah Dalam Kehidupan Muslim ”

Saban tahun, kita umat Islam menyambut kehadiran Maal Hijrah. Tetapi yang menjadi persoalan bagi kita ialah sejauh manakah penghayatan kita terhadap sambutan ini supaya ia menjadi lebih bermakna? Adakah kita berusaha sedaya upaya untuk memahami dan menghayati pengajaranpengajaran yang terkandung dalam peristiwa hijrah ini?.

jais.jpgHijrah ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dalam sebuah hadis daripada Abdullah Bin Amru RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sebenarnya orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala larangan Allah”

Daripada Hadis ini dapat difahami bahawa hijrah ialah meninggalkan segala bentuk perbuatan maksiat dan mungkar yang dilarang oleh Allah SWT. Justeru berubah dari tabiat atau cara hidup yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik adalah hijrah. Begitu juga berubah dari kehidupan yang susah kepada kehidupan yang senang adalah hijrah, berubah dari berpakaian yang tidak sopan kepada berpakaian yang menutup aurat adalah hijrah, berubah daripada akhlak yang tidak baik kepada berakhlak mulia adalah hijrah, berubah daripada kehidupan yang buruk kepada yang lebih baik adalah hijrah, berubah daripada kehidupan yang lalai kepada mendekatkan diri kepada Allah adalah hijrah. Perubahan seperti ini hanya mampu dilakukan dengan semangat jihad dan niat yang suci serta ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Ingatlah wahai jamaah sekelian, Islam menggalakkan ummatnya berusaha untuk mencapai kehidupan yang lebih baik dan maju serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhaan Robbul Jalil. Bahkan Islam tidak menyuruh ummatnya berdiam diri dan berserah kepada takdir Allah SWT semata-mata tanpa berusaha bersungguh-sungguh.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 11;  “...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...”

Justeru, iman adalah teras atau asas penghijrahan diri, kerana iman merupakan penggerak utama dan pembimbing diri manusia untuk melakukan kebaikan dan mengawal diri daripada melakukan keburukan.

Iman adalah keyakinan di hati, ikrar dengan lidah dan dijelmakan dengan amalan. Ini bertepatan dengan ayat yang dibacakan pada ayat pembukaan tadi yang bermaksud; “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

Kita sebagai orang Islam yang beriman dengan alam akhirat hendaklah sentiasa bersedia untuk memperbanyakkan amalan soleh sama ada yang wajib atau yang sunat sebagai bekalan untuk dibawa ke alam akhirat kerana dengan amalan-amalan soleh sahaja yang akan mengikuti kita dan dapat menyelamatkan kita dari azab Allah SWT apabila roh kita sudah terpisah daripada jasad.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik RAnhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Ada tiga perkara yang akan turut menghantar mayat ke perkuburan. Dua daripadanya akan kembali dan satu lagi tetap tinggal bersamanya. Keluarganya, hartanya dan amalannya akan menghantar ke perkuburan. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amalannya akan tetap setia bersamanya”.

Oleh yang demikian, seseorang yang telah meninggal dunia akan terputuslah peluang untuk menambah pahala amalannya, kecuali mereka yang telah melakukan tiga amalan baik semasa hidupnya seperti berikut:

Pertama: Sedekah jariah, iaitu harta yang disumbangkan untuk kepentingan agama, seperti membina masjid, surau, sekolah dan sebagainya, selama mana harta itu dimanfaatkan selama itu lah ia mendapat pahala.

Kedua: Ilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan menambahkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Selama mana ilmu itu dikembangkan dan diajarkan, selama itulah orang yang mengajarkannya akan mendapat pahala yang berterusan.

Ketiga: Anak yang soleh yang mendoakan keampunan bagi kedua ibubapanya. Setiap kali anaknya mendoakannya, maka ibubapanya mendapat rahmat dari Allah SWT.

Sebagai mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita jadikan tahun baru hijrah 1438 ini sebagai titik permulaan kita untuk melakukan perubahan dalam hidup dan kehidupan kita kearah yang lebih baik. Disamping itu marilah kita menghayati perkara-perkara berikut;

1. Setiap individu muslim perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk berhijrah daripada cara hidup yang tidak baik kepada kehidupan yang lebih baik.

2. Sambutan Maal Hijrah adalah masa yang terbaik untuk kita muhasabah diri dengan mengukur dan menilai sajauh mana kesungguhan kita melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam hidup.

3. Umat Islam hendaklah berhijrah dengan berpaksikan jihad dan iman, kerana ia adalah merupakan kunci bagi manusia untuk meraih darjat yang tinggi di Sisi Allah SWT.

4. Umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh untuk berubah dalam mentaati perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangannya kerana itu merupakan hijrah yang dituntut dan Islam sebelum berhijrah ke alam barzakh.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan);bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan. (al-Hasyr; 18).
Tags: hijrah, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hijrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments