mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wanita Syurga Permata Dunia

SETIAP manusia beriman mengimpikan syurga sebagai kediaman abadi mereka. Namun, masih ramai yang tidak tahu mengenai jalan menuju ke syurga bahkan ada yang tidak menyedari bahawa mereka telah tersilap jalan.

Sebenarnya, bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan.

Menurut Ustazah Norhafizah Musa, ada beberapa tip bagaimana ingin dekat dengan syurga.

"Dekatlah dengan pemilik syurga, Insya-Allah kita mampu memiliki syurga,” katanya pada Konvensyen Wanita Syurga (KWAIS 2016) yang diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, 4 September lalu.

Merupakan salah seorang ahli panel dalam KWAIS 2016, Ustazah Norhafizah berkongsi tip yang seterusnya.

“Berakhlaklah dengan akhlak karimah iaitu akhlak yang mulia.

“Hadis menyebut, janganlah sekali-kali engkau meremehkan suatu kebaikan, walaupun hanya sekadar menyambut kedatangan temanmu dengan wajah yang manis iaitu senyuman.

“Sejahat-jahat manusia adalah yang ditakuti kehadirannya dan orang senang dengan ketiadaannya,” ujar beliau dengan menambah ciri yang ketiga adalah mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH.

KWAIS 2016 adalah program anjuran bersama antara Sahabat Muslimah Saidatina Aisyah (SMS Aisyah), Masjid Wilayah Persekutuan dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyyah). Ia diadakan selama sehari dengan variasi topik menarik serta penampilan ikon-ikon dakwah wanita yang dikenali dan selebriti Muslimah, Nur Salima Habibi (penyanyi, DJ ikim.fm) membuat persembahan.

Selain Ustazah Norhafizah, enam panel lain yang turut menyampaikan ceramah mereka adalah Ustazah Qurrotul Aien Fatah Yasin (Ketua Biro Wanita Jam'iyyah); Ustazah Ros Izanuri Jamaludin (pendakwah, penulis, kolumnis majalah); Dr Nadzirah Mohd (pensyarah UIAM, pendakwah); Dr Yasmin Hanani Mohd Sofian (pensyarah Usim, personaliti program); Dr Raudlotul Firdaus Fatah Yasin (pensyarah UIAM, pendakwah) dan Ustazah Noraini Mat Din (senior eksekutif KUISCELL, personaliti).

Konvensyen bertujuan mendedahkan kepada para wanita yang mendambakan syurga abadi, mengenai jalan yang sewajarnya mereka lalui berdasarkan wahyu Ilahi dan petunjuk nabawi agar syurga bukan lagi sekadar angan-angan, malah menjadi sebuah cita-cita untuk direalisasikan.

Perlu ada perancangan dan strategi yang jelas

KWAIS 2016 menampilkan enam ahli panel yang pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Setiap daripada mereka diberi slot untuk berbicara mengenai tajuk yang dipilih.

Ustazah Qurrotul Aien Fatah Yasin menyampaikan ceramah bertajuk 'Mencapai syurga dengan ilmu' manakala talk show 'Wanita calon syurga dan Wanita yang jauh dari syurga' disampaikan Ustazah Norhafizah Musa dan Dr Yasmin Hanani Mohd Sofian.

Diskusi terbuka 'Untukmu Wanita' pula disampaikan Dr Raudlotul Firdaus Fatah Yasin dan forum 'Mudahnya wanita ke syurga' dikendalikan oleh moderator Ustazah Noraini Mat Din dan dua ahli panelnya iaitu Dr Nadzirah Mohd dan Ustazah Ros Izanuri Jamaludin.

Rehal membawakan pembaca Sinar Harian serba sedikit kupasan daripada dua panel jemputan iaitu Dr Yasmin Hanani (Wanita yang jauh dari syurga) dan Ustazah Qurrotul Aien (Mencapai syurga dengan ilmu).

Wanita yang jauh dari syurga

“Aku rasa elok kau mandi bunga, umur dah dekat 40, liat sangat jodoh kau ni. Mudah-mudahan cepatlah nanti orang datang meminang. Aku rasa Aida tu pakai susuklah, lain macam cantik dia, jauh beza dari dulu dengan sekarang. Ida, kalau engkau nak anak kau cantik ada daya penarik, kau pakaikan tangkal ini sejak bayi lagi”

Syurga adalah impian para Muslimah. Tetapi ada kalanya tanpa sedar, perlakuan dan tingkah laku seharian kita tidak membawa ke syurga yang dijanjikan Tuhan. Dialog di atas adalah contoh tingkah laku Muslimah yang boleh menjerumuskan kita ke jurang neraka. Wanita harus peka dengan amalan-amalan negatif yang membawa kepada dosa yang tidak diampunkan Tuhan.

Ciri pertama yang menyebabkan wanita jauh dari syurga adalah kerana tidak mempunyai akidah yang mantap. Ini termasuklah mengamalkan kepercayaan khurafat yang boleh menggelincirkan akidah seseorang seperti amalan khurafat ketika dalam pantang, mengikatkan bayi dengan tangkal dan memakai susuk atas apa jua tujuan.

Ada juga wanita hari ini yang sanggup mendatangi bomoh dan pawang untuk menyihir wanita lain semata-mata kerana cemburu dan dendam. Muslimah haruslah beriman dengan akidah yang mantap dan mendinding diri daripada kepercayaan karut.

Nabi juga telah memberi amaran barang siapa yang mempercayai ahli nujum dan ahli sihir maka dia dianggap tidak beriman dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW.

Selain itu, wanita yang jauh dari syurga adalah kerana enggan mempelajari ilmu agama terutama ilmu fardu ain. Wanita yang jahil tentang ilmu agama tidak mampu menjadi isteri solehah apatah lagi membimbing anak-anaknya untuk menjadi Muslim dan Muslimah yang sebenar.

Wanita Muslimah haruslah mencontohi wanita Ansar pada zaman Rasulullah yang tidak malu bertanya tentang perkara agama. Saidatina Aishah memuji kaum wanita Ansar yang tidak malu untuk mempelajari selok-belok agama Islam.

Dalam sebuah hadis lain riwayat Bukhari dan Muslim menceritakan bagaimana Asma telah bertanya kepada Nabi SAW tentang perihal mandi haid. Namun situasi berbeza pada hari ini, ramai anak gadis, isteri dan ibu yang tidak arif perihal mandi wajib, hukum ketika edah dan hukum asas berkenaan aurat.

Biarpun kini ramai wanita yang telah menutup aurat dengan sempurna, tetapi ada dalam kalangan mereka yang tidak menutup diri dengan sifat malu. Masih jelas insiden remaja Muslimah yang bertudung dipeluk oleh artis Korea di sebuah konsert satu ketika dahulu, dan berapa banyak kes tangkapan khalwat yang melibatkan wanita bertudung.

Selain itu, Nabi juga memperingatkan bahawa sifat wanita yang sering mengungkit dan tidak bersyukur adalah antara faktor menjerumuskan wanita ke neraka. Sebagai contoh, apa yang diberi suami diungkit, dibanding beza dengan jiran sebelah dan ipar duai.

Pokoknya, wanita harus belajar bersyukur dengan segala apa yang dikurniakan Tuhan. Jangan membandingkan bilangan anak, jenis kereta yang dimiliki, makanan dan minuman yang disediakan oleh suami.

Bersyukur akan menjadikan wanita itu hidup dalam ketenangan sekalipun ia miskin harta duniawi. Sifat tamak dan sering berkira akan menjadikan wanita itu tamak haloba dan tidak akan puas dengan harta dunia.

Kesimpulannya, wanita solehah adalah seumpama permata berharga di sebalik butiran pasir di pantai. Wanita harus berusaha sedaya upaya menjauhi tipu daya syaitan yang boleh menjerumuskan wanita ke lembah kehinaan.

Akidah yang sahih, bersifat pemalu, bersyukur dan bersabar antara kunci untuk menjadi Muslimah mukminah solehah. Muslimah adalah tiang masyarakat, runtuhnya akhlak Muslimah, maka runtuhlah masyarakat tersebut.

Menggapai syurga dengan ilmu

Ilmu menjadi prasyarat bagi seseorang melakukan perkara baik yang diredai ALLAH. Baik di sisi ALLAH tidak sama dengan baik di sisi manusia. Tanpa ilmu, manusia sering menyangka bahawa dia sedang melakukan kebaikan padahal sebenarnya dia sedang melakukan kerosakan sebagaimana disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 11-12.

Untuk masuk syurga, tidak cukup dengan hanya berkata: “Aku nak masuk syurga, maka aku kena jadi baik.” Ia tidak sebegitu simple, bahkan ia perlu kepada ilmu kerana kadangkala sesuatu yang dianggap baik di sisi manusia itu rupanya tidak baik di sisi ALLAH dan begitulah sebaliknya. Dalam usaha mengenali perkara baik di sisi ALLAH ini, kita perlu kepada ilmu sebagai pemandu.

Fizikal yang cantik boleh menjebakkan wanita dalam dosa-dosa peribadinya sekali gus menjebakkan orang lain ke dalam dosa yang ditampilkannya. Sebagai contoh, dengan sebab kejahilan, maka kita dapat melihat bagaimana wanita hari ini keluar dari rumahnya dengan mendedahkan aurat dan berhias mempamerkan keindahan tubuh badannya.

Tatkala ini, wanita itu sedang mencipta dosa buat dirinya sekali gus menyumbangkan dosa kepada mata-mata yang melihatnya dengan penuh takjub dan ghairah.

Jiwa yang halus sering membuatkan hati wanita mudah tersentuh dengan kata-kata kesat, mudah terluka dengan perbuatan kasar dan mudah berprasangka pada apa yang berlaku di hadapannya. Tanpa ilmu, wanita terlalu mudah terjebak dalam dosa mengumpat, dosa mencaci, memfitnah, hasad dengki dan berprasangka buruk.

Sistem tubuh yang kompleks menjadikan wanita sebagai makhluk cukup istimewa sehingga dari sistem tubuh itulah lahirnya generasi manusia sampai ke hari ini. Sudah tentu rahim yang mampu membesarkan janin selama sembilan bulan itu mempunyai rahsia besar dengan sistem yang sangat kompleks.

Wanita memerlukan ilmu dalam mengendalikan dirinya sama ada untuk mengenali haid dan hukum-hakamnya, darah wiladah, nifas dan mengenali kitaran hormon yang sering berubah-ubah dalam tubuhnya.

Penciptaan diri wanita yang sangat kompleks menjadikan wanita begitu perlu menuntut ilmu dengan lebih mendalam. Wanita tercipta dari rusuk Adam dengan kejadian fizikal yang sangat indah, jiwa yang cukup halus dan sistem tubuh yang begitu kompleks.

Semua ini menuntut wanita agar mempunyai ilmu yang jitu bagi mengendalikan dirinya dengan baik dan menyelamatkan manusia sekelilingnya dari terjebak dalam dosa yang di undang oleh wanita kerana kejahilannya.

Mudah-mudahan setiap wanita yang mendambakan syurga akan memulakan langkah pertama dalam strategi menuju syurga dengan cara menggali sebanyak mungkin ilmu, Berkata Khalifah ‘Umar ‘Abdul ‘Aziz: “Dan barang siapa yang beramal tanpa ilmu, sesungguhnya kerosakan yang dibawanya adalah lebih banyak dari kebaikan.”

Tags: dunia, perempuan, syurga, wanita
Subscribe

Posts from This Journal “wanita” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments