mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Undang-Undang Keluarga Islam lebih adil, pragmatik

UNDANG-UNDANG Keluarga Islam yang digubal dan diluluskan di negeri-negeri di negara ini merupakan undang-undang bertujuan menyatukan peruntukan mengenai perkahwinan, nafkah, penjagaan dan perkara lain berkaitan kehidupan berkeluarga. Ia hanya terpakai bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam sesuatu negeri itu.

Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pula adalah akta berkaitan perkahwinan monogami, pengupacaraan, pendaftaran perkahwinan dan perceraian, ia hanya terpakai kepada orang bukan Islam mengikut syarat-syarat tertentu. Perkahwinan di bawah akta ini juga tidak boleh dilangsungkan sekiranya satu pihak beragama Islam.


SEKIRANYA berlaku perceraian, seorang bapa mengikut Undang-Undang Sivil hanya perlu menanggung anaknya sehingga berusia 18 tahun, berbeza dengan undang-undang Islam iaitu selagi tidak bekerja atau mempunyai pendapatan sendiri. - GAMBAR HIASAN

Walaupun kedua-dua undang-undang ini berkisar dalam tajuk kekeluargaan atau hubungan dalam institusi kekeluargaan namun terdapat banyak perbezaan antara kedua-duanya. Antaranya:

- Perkahwinan sivil mengiktiraf kedudukan anak tidak sah taraf dan anak angkat.

- Mereka akan menikmati faedah yang sama dengan anak kandung.

- Berbeza dengan undang-undang Islam yang mementingkan kekeluargaan iaitu hanya mengiktiraf anak yang dilahirkan selepas enam bulan qamariah sahaja sebagai anak yang sah.

- Anak angkat tidak menikmati faedah sama seperti dinikmati anak kandung umpamanya dari segi pewarisan harta pusaka.

- Seksyen 50 akta tersebut juga menyekat sebarang permohonan perceraian bagi orang bukan Islam.

- Petisyen perceraian tidak boleh diserahkan kepada Mahkamah sebelum tamat tempoh dua tahun dari tarikh perkahwinan melainkan terdapat keadaan atau kesusahan terkecuali yang dideritai oleh pihak itu atau untuk menjaga kepentingan anak.

- Undang-Undang Islam tidak membuat sekatan seperti itu, suami atau isteri boleh memfailkan permohonan perceraian pada bila-bila masa selepas perkahwinan.

- Seksyen 53 akta itu memerlukan pihak memohon perceraian menyatakan alasannya. Piawaian alasan yang diterima ialah perkahwinan itu telah pecah belah dan tidak dapat dipulihkan lagi. Mahkamah boleh menyiasat dan pemohon mesti mengemukakan bukti antara satu daripada berikut:


  • Penentang berzina dan pemohon tidak tertahan lagi untuk tinggal bersama;


  • Penentang mempunyai tingkah laku tidak terjangka menyebabkan agak tidak munasabah untuk pemohon tinggal bersama;


  • Penentang meninggalkan pemohon sekurang-kurangnya dua tahun; atau


  • Mereka tinggal berasingan sehingga dua tahun


- Undang-Undang Islam tidak memerlukan sebarang alasan untuk membubarkan perkahwinan umpamanya talak.


  • Jika terdapat penyalahgunaan talak, suami akan menanggung akibat lain seperti membayar saguhati perkahwinan (mutaah).


  • Ini menunjukkan keindahan dan keanjalan undang-undang Islam agar ia dapat disesuaikan dengan suasana serta kehendak masyarakat.


- Mahkamah Sivil - tuntutan harta sepencarian, sumbangan dalam bentuk wang, harta atau kerja perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum aset itu boleh dikategorikan sebagai aset perkahwinan atau harta sepencarian.


  • Hutang pihak-pihak dan keperluan anak juga perlu diambil kira di dalam membuat perintah pembahagian di Mahkamah Sivil.


- Bagi wanita Islam, pembahagian sebanyak 1/3 boleh diberikan. Sekiranya isteri tidak bekerja dan tidak menyumbang secara langsung, dia masih layak mendapat 1/3 daripada harta sepencarian mereka.


  • Pembahagian sebegini tidak berlaku di Mahkamah Sivil kerana isteri masih lagi menanggung beban untuk membuktikan sumbangannya.


- Mahkamah Sivil - sesuatu perintah nafkah kepada isteri akan sah sehingga suami atau isteri itu mati jika harta tidak bercagar.


  • Terhenti apabila mati suami atau isteri yang untuknya perintah itu dibuat jika harta yang ditinggalkan itu harta bercagar atau apabila suami atau isteri itu berkahwin semula atau hidup dalam penzinaan dengan orang lain.


- Dalam Islam, hak isteri untuk mendapat nafkah adalah hanya untuk tempoh tiga kali suci sahaja atau jika isteri tersebut mengandung sepanjang tempoh itu mengikut yang mana lebih panjang atau jika isteri telah putus haid selama empat bulan sahaja nafkah wajib diberikan oleh suami.

PENJAGAAN, NAFKAH ANAK

- Mahkamah Sivil - bapa hanya perlu menanggung nafkah anaknya sehingga berusia 18 tahun sahaja. Jika anak tersebut hilang upaya maka nafkah wajib diberikan sehingga tidak lagi berada dalam keadaan hilang upaya itu.


  • Masalah akan timbul apabila anak hasil perkahwinan tersebut memasuki universiti yang semestinya berusia melebihi 18 tahun.


  • Bapa tidak lagi bertanggungjawab menanggungnya, ini akan menyebabkan kebajikan terabai dan tidak dapat memfokuskan terhadap pelajaran.


- Situasi ini tidak berlaku bagi Undang-Undang Keluarga Islam kerana tanggungjawab bapa memberi nafkah berlanjutan selagi anak tersebut tidak bekerja atau mempunyai pendapatannya sendiri.

- Kebajikan anak dalam Undang-Undang Keluarga Islam lebih terjamin berbanding yang termaktub mengikut Undang-Undang Sivil

Berdasarkan contoh-contoh yang dikemukakan, jelaslah bahawa memang terdapat perbezaan antara peruntukan dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dengan Undang-Undang Keluarga Islam yang lebih anjal, pragmatik dan adil berbanding undang-undang lain.

Tags: islam, keluarga
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments