mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bersatu banteras ancaman liberalisme

PENGARUH dan ancaman liberalisme sememangnya diketahui umum sebagai satu agenda yang sangat berbahaya terutama kepada umat Islam kerana kefahaman tersebut menerapkan kebebasan melampau.

Tidak sahaja menolak dan menyisihkan syariah dalam kehidupan serta cara hidup umat Islam, malah liberalisme juga cuba menghapuskan sistem kesultanan dan masyarakat Melayu berdaulat di negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harrisberkata, pengamal fahaman Barat yang telah menular di negara ini cuba untuk menghapuskan institusi keagamaan, selain menidakkan institusi diraja di Malaysia.

Beliau yang turut bertugas di Pusat Pengajian Lanjutan Mengenai Islam, Sains dan Tamadun (Casis), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, bagi liberalisme, semua perkara tersebut tidak lagi relevan dan perlu dihapuskan, sekali gus menerapkan nilai kebebasan melampau.

Jelas beliau, ancaman liberalisme bukan sahaja akan memberi kesan besar kepada masyarakat majmuk di negara ini, malah sebagai ancaman terbesar kepada negara, agama Islam serta kelangsungan bangsa Melayu.

“Oleh kerana Malaysia merupakan sebuah negara berpegang kuat kepada ajaran agama Islam, maka perkara ini yang mahu dihapuskan oleh pendukung fahaman liberalisme.

“Ini kerana liberalisme menolak segala kepercayaan dan autoriti dalam beragama termasuk autoriti Allah SWT dan Rasul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan tajuk Mendepani Arus Muslim Liberal dan Pluralisme Agama bagi Sesi Percambahan Fikiran Wasatiyyah Siri II anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) di Putrajaya, baru-baru ini.

Pengarah IWM, Datuk Mohd. Yusof Din mempengerusikan sesi percambahan fikiran tersebut.

Yang turut hadir, Timbalan Dekan Fakulti Tun Abdul Razak Sekolah Pengajian Kerajaan, Datuk Dr. Muhammad Hamzah; Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Halim Shin; Ketua Unit Integriti Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Zakkuan Talib; wakil Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan Institut Integriti Malaysia.

GERAKAN TERSUSUN

Mengulas lanjut, Khalif Muammar berkata, gerakan liberalisme di negara ini sememangnya tersusun malah mempunyai dana yang diperoleh dari luar, selain diperkuatkan dengan jaringan yang luas dan hebat.

Katanya, bukan sahaja mahu Malaysia mengikut aliran liberalisme, lebih teruk lagi apabila mahu negara ini mengikut telunjuk golongan tersebut sepenuhnya seperti mana yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara luar.

Menurutnya, usaha penyebaran dan penularan idea liberalisme di negara ini giat dijalankan oleh golongan tersebut sehingga tujuan utama untuk mengamalkan ajaran Islam terhakis dan peranan institusi-institusi Islam di negara ini dapat dihapuskan.

“Mereka cuba menukar pemerintahan dan sistem politik di negara ini. Oleh yang demikian, mereka cuba memasuki dan menyebar luas idea liberalisme menerusi saluran politik,” tegasnya.

Selain itu, katanya, golongan liberalisme di negara ini cuba menguasai masyarakat dengan menumpukan golongan muda terpelajar sebagai sasaran utama.

Jelasnya, bukan sahaja golongan muda negara mudah diperdayakan dengan idea yang dibawa kononnya segar dan baharu seiring dengan peredaran zaman, malah golongan yang naif itu mudah dipergunakan sebagai pemimpin masa hadapan untuk menyebar luas fahaman tersebut.

“Golongan bijak pandai ini mahu dibentuk untuk menjadi tonggak kepimpinan golongan liberalisme pada masa hadapan dan cuba digunakan untuk mendapat sokongan, selain dalam masa yang sama dibentuk menjadi golongan pemimpin yang mempunyai corak pemikiran yang sealiran dalam liberalisme itu,” katanya.

SEMAKIN BERBAHAYA

Tambahnya, pengaruh kumpulan tersebut dilihat semakin lama semakin besar dan kuat, maka tindakan segera perlu dilakukan oleh agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia.

Beliau berkata, apabila suara-suara liberalisme, persamaan dan kebebasan ini bersama hak kebebasan semakin berpengaruh, maka pastinya akan merubah landskap politik negara dan lebih malang apabila peradaban Melayu juga akan terhapus.

“Adakah sistem pemerintahan sekarang yang dilihat berjaya mempertahankan kedaulatan Islam dapat dikekalkan pada masa hadapan sekiranya liberalisme meluas di negara ini? Adakah ia juga mampu memelihara sistem kesultanan dan kuasa Melayu untuk dipertahankan?.

“Langkah terbaik untuk membendung ancaman ini, semua agensi dan NGO Islam di seluruh negara perlu bertindak dan bekerjasama membendung fahaman salah ini. Semua jabatan agama Islam negeri perlu memainkan peranan masing-masing.

“Jangan hanya berharap kepada satu atau dua agensi sahaja melaksanakan tugas membendung gejala negatif ini. Pihak yang faham tentang keburukan liberalisme ini perlu bertindak mengatasinya daripada terus menular dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menerapkan kebebasan melampau - menyisihkan syariah daripada kehidupan, hapuskan sistem beraja, masyarakat Melayu berdaulat.

Gerakan tersusun, peroleh dana besar dari luar negara, mempunyai jaringan luas.

Cuba tukar sistem pemerintahan negara melalui saluran politik.

Menumpukan golongan muda terpelajar dengan idea kononnya segar, selari peredaran semasa.

Golongan sasaran ini bakal diangkat menjadi tonggak kepimpinan masa hadapan.

Pengaruh semakin kuat, tindakan segera amat perlu dilakukan bagi membendungnya. - Utusan Malaysia Rencana 05 Oktober 2016 6:00 PM

Tags: bersatu, liberal
Subscribe

Posts from This Journal “liberal” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments