mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ke mana wanita ingin pergi?

WANITA Islam di Malaysia tidak terpinggir! Itu hasil kajian sedekad yang lalu untuk melihat keterlibatan wanita dalam proses pembangunan negara termasuklah dalam bidang-bidang utama seperti ekonomi, sosial, pendidikan dan politik. Dapatan itu boleh membawa makna bahawa kesedaran wanita pada hari ini terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan kepentingan mereka berada pada tahap yang amat memberangsangkan.

Gerakan-gerakan wanita di Malaysia, terutamanya wanita Islam, bukanlah yang menuntut kebebasan sebagaimana berlaku di Barat. Ketidakpuasan hati dalam gerakan wanita di negara ini umumnya bertujuan meningkatkan taraf hidup golongan itu supaya menjadi lebih baik dan seimbang.

Sebaliknya, tuntutan wanita di Barat terhadap kebebasan adalah hasil momentum yang berlaku sejak kurun ke-17 iaitu bertitik-tolak daripada peminggiran, penganiayaan serta penindasan yang menafikan hak mereka sebagai hak manusia yang harus dihormati dan dimuliakan. Perjuangan mereka adalah untuk meletakkan kedudukan wanita sebagai manusia yang bermaruah dan bermartabat serta mempunyai taraf sama dengan lelaki.

Malangnya, disebabkan perjuangan itu hanya berasaskan pemikiran yang rasional tanpa bim­bingan bersifat ketuhanan (wahyu), maka tuntutan tersebut berkembang dan menjadi gerakan yang lebih agresif, ekstrem dan radikal. Gerakan lesbianisme adalah satu contoh perjuangan wanita di Barat yang sebenarnya telah jauh tersasar walaupun pada awalnya tercetus daripada kesedaran untuk bebas daripada belenggu penghinaan dan pandangan serong terhadap wanita sebagai hamba serta harta kepu­nyaan lelaki.

Sebaliknya, keadaan ini tidak berlaku kepada wanita Islam yang sudah pun diberikan seindah-in­dah panduan untuk melayari la­utan kehidupan di muka bumi ini. Wanita Islam tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa jaminan perlindungan, kedudukan yang baik serta dianugerahi maruah dan hak yang saksama sebagaimana kaum lelaki.

Sejak kecil lagi, peluang dan kebebasan untuk menyuburkan akal fikiran mereka dengan ilmu penge­tahuan diberikan seluas-luasnya tanpa sebarang sekatan atau diskriminasi dengan anak-anak lelaki. Bukan itu sahaja, kebebasan itu juga dijamin. Sebarang ilmu yang dipelajari oleh anak-anak le­laki, juga boleh dipelajari oleh anak-anak perempuan.

Selanjutnya, apabila seorang wanita Islam telah mendapat pendidikan agama yang sempurna dan mengenali Penciptanya secara mendalam dengan mengisi ruang akalnya dengan ilmu pengetahuan menurut keperluan kehidupannya, maka dia pasti tahu di mana landasan hidup yang tepat untuk berpijak, ke arah mana haluan yang perlu dituju.

Sebarang ilmu pengetahuan perlu dibimbing oleh tauhid, syariah dan akhlak dalam membina sahsiah diri sebagai insan sejati. Garapan semua itulah yang akan menjadikan seseorang wanita berkenaan sebagai insan yang mempunyai kemampuan untuk membuat sebarang keputusan dengan wajar demi diri, orang di sekeliling dan agamanya.

Ciri-ciri yang ada inilah yang kemudiannya menjadi satu pakej kualiti tersendiri. Sudah pasti nada kebebasan yang ditawarkan oleh pemikiran Barat atau apa sahaja nilai baharu, boleh dinilai dan disaring dengan baik oleh wanita Islam yang memiliki kualiti diri yang seimbang. Mereka tidak akan mudah terpesona ataupun mudah melatah dengan apa yang ditawarkan oleh pihak di sebelah sana.

Walaupun demikian, kehidupan pada zaman pascamoden me­nemukan pelbagai cabaran yang ada ketikanya tidak terjangkau oleh fikiran dan kadang kala boleh menolak wanita ke persimpangan. Jika pada asasnya, kefahaman tentang kedudukan wanita itu sebagai pelengkap kepada pe­ranan lelaki tetapi disebabkan faktor-faktor tertentu, wanita pada hari ini terpaksa menggalas kedua-dua peranan iaitu sebagai ibu sekali gus bapa demi keluarganya.

Ini adalah sebahagian daripada ruang yang ditinggalkan oleh golongan lelaki yang kemudiannya terpaksa diambil alih oleh wanita. Ironinya agama Islam telah menyusun dengan begitu baik peranan lelaki dan wanita tetapi demi kelangsungan hidup dirinya sendiri dan ahli-ahli keluarga yang lain, maka wanita terpaksa memilih tindakan untuk suatu keadaan yang lebih realistik. Atau dengan bahasa yang lebih mudah, si ibu harus mencari pendapatan demi membesarkan anak-anak walaupun tugas mencari nafkah terletak di bahu si bapa.

Kehidupan pascamoden juga kadang kala menemukan kita peluang-peluang yang dibiarkan secara cuai oleh lelaki yang kemudiannya diambil dan dimanfaatkan oleh wanita. Ada juga keadaannya wanita dapat melihat satu-satu perkara itu boleh dikendalikan dengan baik atau lebih baik oleh mereka, berbanding kaum Adam. Bukan perkara yang menghairankan di negara ini apabila wanita kita menunjukkan sifat yang kompetitif.

Wanita kita boleh menjadi rakan saing kepada lelaki kerana mempunyai pendidikan yang baik selain sifat mereka yang aktif, tidak kurang juga mempunyai sifat yang proaktif. Justeru, dalam konteks Malaysia, peranan dan sumbangan wanita Islam memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Malah, suara wanita di negara ini memang mempunyai pengaruh yang tersendiri.

Malah Bot Wanita ke Gaza (Women’s Boat to Gaza) yang turut disertai oleh wanita Islam dari Malaysia, membawa misi keramat untuk memasyhurkan sumbangan yang tidak boleh dinafikan oleh wanita Palestin yang bersemangat waja. Seolah-olahnya semangat Ummu Umarah yang pernah bersama-sama Rasulullah SAW ketika dalam peperangan melawan kaum musyrikin telah tersuntik dalam hati mereka.

Untuk berperanan secara aktif, tentu sahaja sokongan dan pelbagai kemudahan amat diperlukan oleh golongan wanita. Meletakkan diri sebagai sebahagian pihak yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan juga adalah salah satu cara memastikan agar wanita tidak akan terpinggir dalam arus perdana.

Cumanya dari satu sudut lain yang mungkin kita boleh sama-sama fikirkan secara mendalam, mungkin ada bahagian tertentu dalam kehidupan ini golongan wanita tidak perlu mengambil beban tetapi seelok-eloknya terus dilaksanakan secara tradisi oleh pihak satu lagi.

Asalkan kepentingan kita sebagai wanita Islam terus terjaga dan kita dapat menikmati kehidupan ini dengan jiwa tenang serta fikiran yang lapang. Bukan menafikan potensi dan kudrat yang ada tetapi peranan wanita seperti digariskan dalam Islam pasti mengandungi hikmah-hikmah yang amat indah.   Siti Shamsiah Md Supi Utusan Malaysia Rencana 10 Oktober 2016 6:25 PM

Tags: perempuan, wanita
Subscribe

Posts from This Journal “perempuan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments