mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tasawuf boleh cegah rasuah

BUKU ditulis pendakwah, Pahrol Mohamad Juoi menarik untuk dibaca kerana boleh dikaitkan dengan isu pembongkaran rasuah melibatkan nilai wang yang luar biasa banyaknya di Sabah, baru-baru ini.

Apakah puncanya seseorang itu terus mengumpul wang dan harta dalam jumlah terlalu banyak walaupun tidak akan mampu menghabiskannya sehingga ke akhir hayat?

Dalam buku ini, penulis menjelaskan rasuah berpunca daripada sifat tamak yang terdapat dalam diri individu berkenaan.

“Ingin ditegaskan bahawa kemiskinan bukan sebab utama seseorang itu melakukan rasuah kerana orang kaya pun terlibat dengan rasuah.

“Rasuah bukan disebabkan pangkat rendah kerana orang yang berpangkat tinggi pun terlibat dengan rasuah juga.

“Tidak kira dia kaya atau miskin, pandai atau jahil, apabila ada sahaja sifat tamak, maka seseorang itu berpotensi untuk melakukan rasuah,” tulis beliau.

Jelas Pahrol, sifat tamak itu gagal dikikis kerana sistem pendidikan di negara ini sekarang tidak mampu untuk melahirkan individu yang kuat imannya.

“Orang yang kuat imannya sedar Allah Maha Melihat. Jadi dia tidak akan melakukan rasuah sama ada di belakang ataupun di hadapan orang.

“Sebaliknya, orang yang lemah iman, di depan orang dia tidak akan melakukan kejahatan tetapi jika di belakang orang, dia sanggup melakukannya,” tulis beliau lagi.

Beliau juga meminta semua pihak tidak menganggap orang melakukan rasuah mendapat keuntungan dan ingin mengikut jejak langkah mereka.

“Ya, mungkin mendapat keuntungan dan menjadi kaya dengan segera, tetapi tidak lama.

“Cuba lihat betapa ramainya orang yang kaya, tetapi hidup mereka tidak tenang, hati resah dan perasaan tertekan. Diburu oleh rasa berdosa selalu. Itulah hidup yang hilang keberkatan.

“Wang yang diperoleh secara rasuah tidak akan memberikan kebaikan. Kalau digunakan untuk membeli makanan, segala apa yang kita makan itu tidak halal. Sebab sumbernya, haram.

“Kalau dia dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dia terpaksa meringkuk di dalam penjara. Kebebasannya hilang. Nama dan maruahnya jatuh.

“Rasa malu itu bukan sahaja dialami oleh dirinya, malah oleh ahli keluarganya. Ini baru hukuman di dunia, belum lagi hukuman di akhirat,” tulisnya.

Dalam pada itu, beliau me­negaskan, cadangan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah rasuah bukanlah jalan penyelesaian muktamad.

“Lihatlah betapa kerasnya undang-undang untuk pengedar dadah iaitu hukuman mati mandatori.

“Tetapi masih ramai yang berani mengedar dadah. Begitu juga dengan hukuman terhadap individu yang melakukan rasuah, walaupun berat tentu masih ada orang yang melakukannya,” tulis beliau.

Untuk mengelak gejala rasuah terus berleluasa, beliau menegaskan, sistem pendidikan yang benar-benar berkesan perlu digubal yang dapat mendidik hati seseorang itu.

“Setiap yang dilahirkan oleh manusia sama ada buah fikiran atau tindakan adalah berpunca daripada hati.

“Kalau hati baik, maka baiklah seluruh perbuatan dan pertuturan. Begitulah sebaliknya, kalau hati jahat dan berpenyakit, maka jahatlah seluruh anggota badan.

“Penyakit hati yang dimaksudkan ini bukanlah penyakit jantung dan barah tetapi penyakit mazmumah (sifat tercela) seperti angkuh, dengki, ego, tamak dan pemarah.

“Tidak ada mesin sinar-X yang dapat mengesan dan membuang sifat terkeji ini kecuali ilmu tasawuf dan didikan daripada guru agama yang ikhlas,” tulis beliau.

Tambah beliau, ilmu tasawuf kurang diberi penekanan dalam sistem pendidikan sedia ada ke­rana wujud salah faham kononnya pengamal ajaran itu ketinggalan zaman dan tidak sesuai pada zaman moden ini.

“Bila disebut sufi (pengamal ilmu tasawuf), orang akan membayangkan individu berjanggut dengan pakaian buruk duduk di mihrab (anjung) masjid sambil menggentel tasbih.

“Makanannya disedekahkan orang, sementara dia duduk sendirian mencari Allah dalam zikirnya,” tulis beliau.

Jelas Pahrol, gambaran ber­kenaan bukanlah cara hidup sufi sebenar kerana golongan itu walaupun tangan selalu memegang tasbih tetapi mereka juga sanggup menggenggam cangkul untuk bertani atau memegang pena bagi memerangi perkara salah.

“Mana individu yang mempunyai keperibadian seperti ini yang dilahirkan pusat pendidikan yang umpama gua-gua yang tegak berdiri sekarang.

“Sesungguhnya, kita amat memerlukan golongan sufi yang hidup dalam kemewahan tetapi hatinya sedikit pun tidak terpaut dengan kekayaan itu.

“Mereka mampu memiliki harta dan kuasa tanpa rasa ­megah. Ya, mereka mampu menguasai dunia tetapi tidak sekali-kali mencintainya,” tulis beliau lagi.

Tags: iman, integriti, rasuah, tasawuf
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments