mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berfikir aras tinggi kunci kejayaan

HUJJATUL Islam Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mendefinisikan akal sebagai sumber ilmu, tempat timbul dan sendi ilmu. Ilmu itu berlaku daripada akal seperti buah daripada pohon kayu, sinar daripada matahari dan penglihatan dari mata.

Akal ialah satu senjata atau kekuatan pemberian Allah SWT yang amat berharga kepada setiap insan. Antara seluruh makhluk ciptaan Allah SWT, manusialah golongan yang paling sempurna, terindah, terbaik, dan terhormat sekalipun manusia bukan makhluk terbesar atau tertinggi.

Hal ini diterangkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaan." (Surah at-Tin, ayat 4)

Menerusi perbincangan bertajuk 'Fikir Aras Tinggi' dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menggariskan tiga tahap cara manusia berfikir.




Pertama, manusia yang berfikiran rendah biasanya sering berkeluh-kesah mengenai kekurangan dan permasalahan sedang ia hadapi.

Selain itu, individu memiliki tahap cara berfikir seperti ini dilihat sebagai seorang yang suka mencari alasan dan memberi komen negatif pada sesuatu perkara. Individu yang memiliki tahap berfikir seperti ini kebiasaannya mengungkapkan perkataan seperti 'kalau', 'tidak boleh' atau 'mana boleh'.

Dalam erti kata lain, mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu penat berfikir.

Biarlah orang lain fikirkan. Oleh itu, bertindaklah untuk menghentikan perbuatan itu disebabkan mengeluh tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan membuang waktu dan tenaga.

Seperti dinyatakan oleh pengarang buku Secrets of Millionaire, T Harv Eker menjelaskan mengeluh hanya akan menambah masalah anda. Mereka yang berfikir secara sederhana pula disifatkan sebagai kurang mengeluh terhadap sesuatu perkara sebaliknya, mereka gemar membicarakan mengenai sesuatu peristiwa dan kejadian.

Latih minda berfikir aras tinggi

Apabila berhadapan dengan satu peristiwa, mereka hanya mengemukakan pandangan tanpa mencari jalan penyelesaian serta kurang peduli mengambil iktibar daripada peristiwa itu.

Sesungguhnya, permulaan kejayaan ialah apabila kita berfikir mengenai kejayaan. Permulaan untuk berubah ialah berubahnya cara berfikir.

Dengan itu, tidak hairanlah individu yang menjana dan melatih minda ke arah berfikir aras tinggi dianggap sebagai individu mempunyai wawasan tinggi untuk melakar kejayaan. Ini terbukti apabila mereka mempunyai sifat kepekaan dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Individu memiliki tahap pemikiran aras tinggi sentiasa meletakkan kepercayaan bahawa pemimpin adalah seorang yang memegang amanah.

Maka, apa yang terletak di bawah perlindungannya perlu dibangunkan dan dijaga kepentingan serta kemaslahatan secara adil mengikut tuntutan agama.

Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda: 'Ketahuilah, setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.' (Riwayat Bukhari)

Antara ciri individu yang mempunyai tahap pemikiran sebegini, sentiasa melakukan perancangan teliti. Amat jarang kita jumpa orang yang berjaya, tiba-tiba sahaja dia berjaya tanpa perancangan.

Rahsia kecil kebanyakan yang berjaya ialah mereka melakukan perubahan kecil ke arah matlamat dan perancangan setiap hari.

Dalam institusi keluarga, disarankan ibu bapa mempelajari dan menyuburkan kaedah mendidik anak supaya berfikir aras tinggi.

Dalam menangani cabaran mendidik anak generasi berilmu, tidak dapat dinafikan ilmu pengetahuan memainkan peranan besar.

Secara umumnya, segala yang dilihat dan didengar oleh kanak-kanak daripada persekitarannya adalah pendidikan baginya kerana kanak-kanak pada awal umur tidak dapat membezakan yang baik dan buruk.

Didik anak bersyukur

Oleh itu, menjadi peranan ibu bapa memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak supaya tidak terpengaruh anasir yang tidak sepatutnya oleh rakan sebaya.

Di samping itu, bagi melahirkan anak berfikir aras tinggi, dinasihatkan mendidik mereka sentiasa mensyukuri nikmat dianugerahkan Allah SWT.

Sebagai khalifah di muka bumi ini, cubalah membentuk diri menjadi manusia yang berfikir aras tinggi. Kita adalah apa yang kita fikirkan mengenai diri kita.

Bak kata pujangga, "Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain; orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian; dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan."
Tags: didik
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments