mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Tanggungjawab Yang Diabaikan ”

Petikan Khutbah Jumaat 04 November 2016:JAIS

“Tanggungjawab Yang Diabaikan ”

Melaksanakan tanggungjawab adalah lambang ketinggian peribadi dan asas agama yang mesti dimiliki oleh setiap insan. Sesungguhnya menunaikan tanggungjawab merupakan amanah yang menjadi asas dalam kehidupan dan lambang keimanan bagi diri seorang muslim.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas Bin Malik RAnhu bahawa Rasulullah SAW bersabda;“Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tidak amanah pada dirinya, tidak sempurna agama bagi sesiapa jais.jpgyang tidak boleh dipegang janjinya”.

Sesungguhnya amanah merupakan sesuatu yang berat untuk dipikul dan disempurnakan. Justeru setiap manusia yang bersifat lemah dan serba kekurangan ini perlu memiliki iman yang kuat dan pertautan hati yang ampuh kepada Allah di sepanjang masa untuk menjamin kejayaannya dalam menggalas amanah. Inilah perkara yang pernah dipesan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Zar RAnhu dengan sabdanya;“Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau lemah dan ia (kepimpinan) adalah amanah. Sesungguhnya ia di hari kiamat menjadi punca kehinaan dan penyesalan kecuali sesiapa yang berjaya mengambilnya dengan hak dan menunaikan semua tuntutannya”. (Riwayat Muslim).

Realitinya pesanan dan ingatan Rasulullah ini sudah semakin jauh dari amalan dan penghayatan umat Islam hari ini. Tanpa rasa gentar dan bimbang, kita bukan sahaja berebut untuk menggalas amanah, malah sengaja mengkhianati amanah tersebut setelah berjaya mendapatkannya. Tidak kurang juga yang menggunakan kedudukannya sebagai pemegang amanah untuk meraih laba dunia, membina kekayaan dengan jalan menipu, rasuah dan melakukan penyelewengan.

Lupakah kita pada amaran yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ma’qil Bin Yasar RAnhu bahawa Rasulullah SAW bersabda;“Tiada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab oleh Allah untuk mentadbir urusan rakyat, lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah haramkan untuknya syurga”.

Hari demi hari kita melihat dan merasakan akibat dari amanah yang dikhianati dan tanggungjawab yang diabaikan. Tiada siapa yang mampu menafikan realiti kehidupan kita kini yang semakin hilang keberkatannya. Malah keharmonian dan kedamaian mula lenyap dan pergi, kesempitan dan tekanan hidup mula dirasai. Masalah dan krisis datang silih berganti.

Tidakkah kita nampak semua musibah ini? Penyelewengan dan jenayah semakin bermaharajalela, maksiat dan gejala sosial kian berleluasa, kebejatan akhlak dan keruntuhan moral semakin menular di mana-mana. Apakah wajar kita berdiam diri membiarkan semua ini berlaku? Setelah menyedari betapa besarnya bencana akibat mengabaikan tanggungjawab dalam menunaikan amanah, kita perlu bertindak dan bangkit dari kealpaan. Kita perlu kembali memupuk iman dan membangunkan jati diri. Justeru, semua pihak perlu saling bekerjasama dalam melaksanakan usaha murni yang ini. Bermula dari diri sendiri hinggalah ke peringkat Negara perlu bersama menggembleng tenaga untuk menjayakannya.

Antara usaha-usaha yang perlu digiatkan ialah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Setiap muslim perlu kembali memahami dan menghayati ajaran Islam. tanpa kefahaman dan penghayatan agama, kita akan mudah jatuh ke lembah dosa dan kemungkaran. Islam mengajar kita bahawa dunia adalah medan ujian untuk menentukan kejayaan sebenar yang kekal abadi di akhirat kelak. Justeru, peruntukkanlah masa dalam memahami agama, menghayati dan mengamalkannnya kerana semua ini akan menjadi saksi di hadapan Allah tentang apa yang telah kita lakukan ketika hidup di dunia.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 24; “Pada hari (kiamat) lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan (di dunia dahulu)”

Pergiatkanlah usaha-usaha membudayakan berpesan-pesan dengan kebaikan. Setiap muslim di kedudukan mana pun perlu merealisasikan tanggungjawab berpesan-pesan dengan kebaikan dan kesabaran. Para ulama perlu menasihati pemimpin di samping membimbing masyarakat. pemimpin perlu mendengar nasihat dan rintihan daripada rakyat. Ibu bapa perlu terus mendidik dan membimbing keluarga. Para pendidik perlu gigih membentuk generasi muda kearah kebaikan, membudayakan amanah dan kejujuran dalam kehidupan. Yakinlah kita akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mana budaya nasihat menasihati ini sentiasa diamalkan dalam masyarakat.

Firman Allah SWT dalamsurah al-Asr ayat 1-3;“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orangorang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

Sebenarnya tanggungjawab dalam menangani gejala pengkhianatan amanah ini memerlukan penglibatan semua pihak. Di samping setiap individu dididik dan dibentuk supaya mematuhi peraturan, pihak pemerintah pula selaku penguasa adalah diharapkan dapat meneruskan sistem pendidikan yang mantap dan bersepadu bagi membentuk jati diri setiap individu dalam masyarakat. Di samping meningkatkan penerapan nilai-nilai Islam yang unggul dalam pentadbiran dan pengurusan.

Di sudut penguatkuasaan undang-undang juga perlu digarap dengan kemas dan lebih telus untuk menjamin kemakmuran Negara dan kesejahtreaan rakyat jelata. Sekiranya semua pihak berganding bahu dan bekerjasama dalam kerja-kerja membangunkan jati diri umat Islam di Negara ini, insya-Allah akan lahirlah generasi yang hidup berpandukan syariat bertunjangkan iman, berdiri teguh dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai pedoman.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan. Mengabaikan tanggungjawab adalah bukti keruntuhan iman dan kerendahan maruah seseorang muslim.

2. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa mengkhianati amanah akan mengundang bencana yang besar dalam kehidupan ini.

3. Umat Islam hendaklah mempergiatkan usaha-usaha mendidik dan menerapkan iman serta kefahaman Islam kepada semua lapisan masyarakat supaya mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (an-Nisa’ ; 58)
Tags: khutbah, tanggungjawab
Subscribe

Posts from This Journal “tanggungjawab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments