mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah : “Antara Tanggungjawab Anak Dan Pewarisan Anak ”

Petikan Khutbah Jumaat 11 November 2016:  JAIS

 “Antara Tanggungjawab Anak Dan Pewarisan Anak ”

nstitusi keluarga yang berperanan dan menjadi asas kepada pembangunan generasi ummah sering berdepan dengan pelbagai cabaran. Ada kalanya menimbulkan dilema yang sukar di atasi, hingga membawa keretakan dan perbalahan. Perkara ini berlaku apabila orang tua mereka (ibu bapa) mula memerlukan perhatian khusus kerana sudah terlalu tua atau sakit. Lebih-lebih lagi apabila jais.jpgmereka tinggal bersendirian, jauh daripada tempat tinggal anak-anaknya. Yang paling menyedihkan, ia turut berlaku di kalangan mereka yang berpendidikan, berkedudukan, termasuk yang berpengetahuan agama dengan pelbagai alasan, ada antara mereka yang tidak bersedia menjaga ibu bapa, sehingga menimbulkan pertikaian.

Tidak dinafikan dalam realiti kehidupan hari ini, ada anak yang tinggal jauh, ada anak yang terlalu sibuk dengan pekerjaan atau ada anak yang mementingkan diri sendiri. Sesungguhnya benarlah ungkapan yang mengatakan “Seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anaknya, tetapi belum tentu sepuluh orang anak mampu menjaga seorang ibu”. Sedangkan ibu bapa tidak pernah bersikap membeza-bezakan dalam memberi kasih sayang dan layanan kepada anak-anaknya sekalipun terhadap anak-anak yang dilahirkan dalam keadaan cacat dan kurang upaya.

Tanggungjawab menjaga ibu bapa tidak patut menimbulkan dilema dikalangan anak-anak hingga membawa persengketaan. Ini kerana ia adalah suatu kewajipan yang ditentukan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23-24;“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah!", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”

Anak-anak perlu sedar, ibu bapalah sebagai penyebab kewujudan kita. Ibu bapalah yang menjaga dan membesarkan kita dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang, hingga dapat mengenal dunia dan mengecapi kesenangannya. Ibu bapa sanggup mengutamakan dan mementingkan anak-anak berbanding diri sendiri. Sesungguhnya tidak ternilai dan terbalas pengorbanan, susah payah dan jasa ibu bapa kepada anak-anak. Ingatlah, kesenangan yang dinikmati anak-anak bukan datang menggolek, tetapi adalah melalui perantaraan jerit perih usaha dan didikan ibu bapa. Tambahan pula, tanggungjawab ibu bapa tidak terhenti hanya ketika masa hidupnya sahaja, tetapi berusaha agar dapat meninggalkan harta untuk diwarisi oleh anak-anak supaya mereka tidak ditinggalkan dalam keadaan meminta-minta.

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Saad Bin Abi Waqqas RAnhu bahawa Rasulullah SAW bersabda; "... sesungguhnya meninggalkan keturunan kamu dalam keadaan kaya adalah lebih baik, berbanding dalam keadaan meminta-minta kepada manusia…”

Justeru, demi memastikan kemaslahatan kehidupan anak-anak terus terjaga, keadilan sosial dapat terpelihara.seorang bapa tidak boleh menafikan hak anak untuk mewarisi hartanya. Hikmahnya, adalah supaya ibu bapa terus berpeluang memberi khidmat bakti kepada anak-anak, setelah kematiannya melalui harta pusaka yang ditinggalkan. Selain tidak akan meminta-minta, anak-anak dapat terus memanjangkan jariah dengan niat membuat kebajikan kepada ibu bapanya melalui harta yang diwarisinya.

Apabila diteliti dan diperhalusi, terdapat kesejajaran antara tanggungjawab menjaga ibu bapa dengan hak mewarisi harta. Baik tanggungjawab dalam hal menjaga ibu bapa, atau dalam hal hak mewarisi harta, ia akan mengutamakan ahli waris yang terdekat dahulu berbanding yang lebih jauh. Itulah keadilan peraturan Islam yang ditentukan oleh Allah yang Maha Adil dan Maha Kaya.

Terdapat satu tanggungjawab yang sering disalah ertikan oleh anakanak, iaitu yang diistilahkan dalam fekah sebagai a’faf. Ia bermaksud membaiki nafsu atau menutup syahwat atau melepaskan keinginan dengan cara mencarikan pasngan hidup. Terdapat ibu atau bapa yang tinggal bersendirian, sering merasa kesunyian apabila berlaku kematian atau perceraian. Namun hasratnya untuk berumahtangga lagi sering mendapat tentangan. Ada yang menggunakan alasan sebagai memalukan, bahkan ada yang takut tidak dapat mempusakai harta, dengan kehadiran ibu tiri.

Anak-anak hendaklah bertanggungjawab mencarikan pasangan yang sesuai dengan keizinan mereka jika perlu. Juga berkewajipan membayarkan mas kahwin, belanja nafkah, makan minum dan pakaian mereka sebagaimana mereka menguruskan kita dahulu. Ingatlah, gilirannya akan kita lalui suatu masa nanti. Allah SWT Maha Adil, tidak mustahil bagaimana kita melayan ibu bapa, begitulah yang akan kita terima daripada anak-anak

Betapa cantiknya jika peraturan Allah SWT ini dipatuhi dan diikuti. Kesannya akan melahirkan suasana kehidupan yang harmoni, terhindar daripada sengketa serta beroleh keberkatan yang diraih hasil kesepakatan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada ibu bapa. Dalam masa yang sama mensyukuri rezeki halal yang diperolehi hasil daripada harta peninggalan yang dipusakainya.

Adalah malang jika ibu bapa yang memerlukan perhatian diabaikan, tetapi harta peninggalan ibu bapa pula menjadi rebutan. Peraturan syarak diketepikan, nafsu dan akal dijadikan landasan, hingga timbul dilema yang tidak ada penyelesaian. Tidak sejajar antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan tuntutan hak dalam mewarisi harta pusaka. Soal tanggungjawab lebih mengharapkan adik beradik lain, tetapi dalam soal mewarisi harta ia menuntut supaya diberi keutamaan. Berbagai alasan digunakan hingga sanggup mengungkit, membuat dakwaan palsu yang dikaitkan dengan ibu bapa yang sudah tidak ada lagi. Tanggungjawab mendoakan kepada ibu bapa yang diharapkan daripada seorang anak yang soleh, bertukar menjadi cagaran demi membenarkan dakwaannya, bagi tujuan mendapat keutamaan dalam mewarisi harta. Ingatlah, memang segala-galanya memerlukan harta, tetapi harta bukanlah segala-galanya.

Mengakhiri khutbah ini, beberapa peringatan dan pengajaran dirumuskan untuk dijadikan sebagai panduan kepada kita. antaranya;

1. Anak-anak wajib melaksanakan tanggungjawab terhadap segala keperluan ibu bapa terutamanya ketika mereka lanjut usia dan sakit sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklh memahami bahawa terdapat kesejajaran antara menjaga ibu bapa dan hak mewarisi harta pusaka.

3. Umat Islam hendaklah menjaga ibu bapa dengan penuh keikhlasan dan tidak merasainya sebagai satu bebanan.

4. Umat Islam hendaklah bersyukur ke atas harta pusaka yang mereka warisi dan berniat memanjangkan amal jariah melalui harta yang diwarisi.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Luqman ; 14).
Tags: anak, khutbah, tanggungjawab
Subscribe

Posts from This Journal “tanggungjawab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments