mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kejujuran dalam kehidupan

Apakah pentingnya berkata benar dan jujur itu dalam hidup seseorang?

JAWAPAN: Apabila saya amati soalan diatas, teringat saya pada pantun melayu menyatakan "siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Kehidupan seorang manusia tidak akan terlepas dari kesusahan dan ujian dan ramai antara manusia ini lebih cenderung untuk menipu sebagai pilihan.

Hakikatnya pilihan ini adalah salah sama sekali. Apabila kita tidak bercakap benar, pada masa hadapan tidak mustahil kita akan mencuri (khianat) dalam apa jua termasuk dalam hubungan kita dengan orang lain.

Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda, "Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa seseorang ke Syurga.

Dan apabila seorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatatkan di sisi Allah bahawa dia sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah oleh kalian membuat pendustaan, kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan membawa seseorang ke Neraka. Dan jika seseorang sentiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allah bahawa dia sebagai pendusta (pembohong)." (HR Bukhari dan Muslim)

Setiap amalan yang kita lakukan dan tutur kata yang kita katakan akan dinilai dihadapan Allah ketika di Mahkamah Agung Hakiki nanti. Ia termasuklah setiap amalan dusta atau kejujuran yang kita kerjakan. Jika timbangan amal keburukan lebih berbanding kebaikan sudah semestinya azab yang menanti, akan tetapi jika amalan kebaikan yang lebih maka nikmat syurga yang tiada bandingan hebatnya menanti.

Islam menuntut kita supaya jujur dalam apa jua yang kita lakukan termasuk jika akibat kita berlaku jujur itu pahit kesannya. Imam al-Ghazali membahagikan sifat jujur atau benar (siddiq) sebagai berikut.

1. Jujur dalam niat atau berkehendak maksudnya adalah tiada dorongan bagi seseorang dalam segala tindakan dan gerakannya selain kerana dorongan dari Allah SWT.

2. Jujur dalam perkataan (lisan), iaitu sesuainya berita yang diterima dengan berita yang disampaikan. Setiap orang harus memelihara perkataannya. Dia tidak berkata kecuali kata-kata yang jujur. Barangsiapa yang menjaga lidahnya dengan selalu menyampaikan berita yang sesuai dengan fakta yang sebenarnya, ia termasuk jujur jenis ini.

Menepati janji juga termasuk jujur jenis ini.

3. Jujur dalam perbuatan/amaliah, iaitu beramal dengan bersungguh-sungguh sehingga perbuatan akhirnya tidak menunjukkan sesuatu yang ada dalam batinnya dan menjadi tabiat bagi dirinya. Pentingnya berkata benar atau jujur dalam Islam hingga disebutkan dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman; "Wahai orangorang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah Swt. dan ucapkanlah perkataan yang benar.” (Al-Ahzab/:70).

Dalam ayat diatas dapat diamati bahawa untuk mencapai tahap keimanan yang hakiki mestilah bertakwa kepada Allah dan untuk mencapai takwa kepada Allah itu mestilah kita wajib berkata benar dalam apa jua tindakan dan perkataan kita.

Jujur merupakan sikap yang tulus dalam melaksanakan sesuatu yang diamanahkan, baik berupa harta mahupun tanggungjawab.

Orang yang melaksanakan amanah disebut al-Amin, yakni orang yang dipercayai, jujur, dan setia. Dinamakan al-Amin kerana segala yang diamanahkan kepadanya menjadi selamat dan terjamin dari segala bentuk gangguan, baik gangguan yang datang dari dirinya sendiri mahupun dari orang lain.

Sifat jujur dan benar merupakan sesuatu hal yang sangat penting dalam segala aspek kehidupan seperti dalam kehidupan rumah tangga, perusahaan, perniagaan, dan hidup bermasyarakat. Sifat-sifat dan akhlaknya yang sangat terpuji merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad SAW berjaya dalam membangunkan masyarakat Islam. Salah satu sifatnya yang menonjol adalah kejujurannya sejak masa kecil sampai akhir hayat baginda sehingga dia mendapat gelaran al-Amin (orang yang dipercayai atau jujur). Insan yang jujur dan amanah ini juga pernah berpesan kepada umatnya: Dari Ibnu Mas’ud RA ia berkata : Rasulullah SAW bersabda: “Wajib ke atasmu berlaku jujur, kerana sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Dan terus-menerus seseorang berlaku jujur dan memilih kejujuran sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada kederhakaan, dan derhaka itu membawa ke neraka. Dan terus menerus seorang hamba itu berdusta dan memilih yang dusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta”. (HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Tirmidzi.)

Sebagai umat Islam yang cintakan Rasulnya yang benar dan menyebarkan kebenaran, tidak sepatutnya kita pula yang tidak berkata benar atau berdusta.

Ia sama sekali bercanggah dari apa yang diperjuangkan oleh baginda SAW. Apakah kita mahu lihat Islam itu dipandang hina dan hancur akibat dari tingkah laku dan sifat kita sendiri?. cukuplah fitnah yang begitu banyak dilemparkan oleh musuh Islam sebelum ini janganlah kita pula yang menambah rempah ratus dalam masakan bangkai fitnah kepada agama kita sendiri.

Sebelum mengakhiri kalam penulisan ini, saya mengajak pembaca semua untuk menanam sikap benar dan jujur dalam kehidupan. Itulah prinsip kejayaan Rasulullah SAW sebelum baginda dilantik menjadi Rasul lagi.

Membangun dan majunya Islam itu juga kerana masyarakatnya hebat dalam benar dan jujur dalam pekerjaan serta ibadat mereka. Ia terbukti apabila Islam pernah menjadi hebat dalam pelbagai ilmu dan menjadi rujukan oleh pihak barat. Adakah kerana faktor lain?. Tidak, ia adalah kerana kejujuran dan kebenaran dalam hati yang membenarkan perlakuan dan perbuatan. Rasulullah SAW bersabda: "Dari Anas RA, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Tidak akan lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lisannya. Dan tidak akan masuk syurga orang yang (membuat) tetangganya itu tidak aman dari kejahatannya” (HR. Ahmad)

Marilah kita hidupkan kembali sifat yang terpuji, didikan baginda Rasulullah SAW kepada kita. Tidak sukar berkata benar dan tidak menjadi masalah untuk jujur dalam segenap amalan. Buktikanlah bahawa kita di pihak yang benar dengan kebenaran kerana agama kita agama yang benar dan diredhai.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang siddiqin (BENAR), lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah Telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar”. (Al-Ahzab: 35).

Wallahualam.

Tags: jujur, kehidupan
Subscribe

Posts from This Journal “jujur” Tag

  • Bersikap jujur setiap masa

    KETAHUILAH sikap jujur adalah sifat terpuji, ALLAH SWT menjanjikan pahala berlipat ganda kepada individu berbuat demikian. Sikap jujur bukan sahaja…

  • Raih untung reda ALLAH

    ALLAH SWT berfirman: "Dan ALLAH menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (al-Bai') dan mengharamkan riba." (Surah Al-Baqarah: 275).…

  • Keutamaan ikhlas Allah melihat kepada hati

    DALAM menjalani kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan dugaan, sifat ikhlas sangat penting dipraktikkan. Sifat ikhlas mestilah datang dari hati…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments