mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kematian tundukkan ego, darjat

SETIAP ayat al-Quran yang diturunkan membawa pengajaran tersendiri. Surah Saba', ayat 14 yang diturunkan menceritakan mengenai kewafatan Nabi Sulaiman sebagai ingatan terhadap kita bahawa Nabi yang hebat turut tak terlepas menghadapi kematian.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melalui segmen Ibrah berkongsi dengan lebih lanjut kisah ini. Pengajaran demi pengajaran Allah SWT titipkan menerusi ayat-Nya agar kita mengambil iktibar daripada kisah dan peristiwa yang sudah terjadi. Al-Quran bukan sekadar untuk kita baca ayat-ayatnya, namun apa yang lebih baik adalah kita melihat dan mengkaji setiap inti pati ayat yang dibaca.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melalui segmen Ibrah berkongsi mengenai Kewafatan Nabi Sulaiman. Beliau memetik ayat al-Quran, Surah Saba', ayat 14 pada permulaan segmen yang bermaksud: "Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya.

Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina."

Apabila melihat ayat ini, dapat kita lihat Allah SWT merakamkan peristiwa kewafatan Nabi Sulaiman di dalam al-Quran.

Jarang kita dapati kisah kewafatan anbiya di dalam al-Quran. Pasti kita tertanya, mengapa Allah SWT merakamkan kisah kewafatan Nabi Sulaiman ini di dalam al-Quran.

Membaca terjemahan ayat tersebut sahaja secara kasar kita dapat menilai, Nabi Sulaiman yang hebat itu juga mati.

Sehebat manapun kita, setinggi mana darjat dan kedudukan kita, pasti kita akan mati.

Tiada seorang pun daripada kita akan terkecuali. Itu melalui penilaian kasar kita terhadap ayat tersebut.

Mati rahsia tak terungkai

Segmen Ibrah ini membawa kita melihat dan mengkaji lebih jauh lagi.

Mati ini sebagai satu rahsia Allah SWT. Tiada seorang pun daripada kita yang mengetahui bila masa ajal akan menjemput kita. Berbeza dengan Nabi yang disampaikan oleh Jibril kepada mereka tentang maut dengan izin Allah SWT.

Ayat sebelumnya, Nabi Sulaiman dikurniakan dengan pelbagai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Sekalipun dilimpahi dengan pelbagai nikmat kekayaan dunia, namun Nabi Sulaiman tetap bersedia dan memilih mati untuk ke negeri abadi. Mati bukanlah satu penamat. Bahkan mati adalah perpindahan daripada alam dunia ke alam akhirat.

Segala apa yang kita lakukan di dunia, menjadi bekal kita di akhirat. Sekiranya segala nikmat dan kekuasaan yang diberikan oleh Allah SWT dan kita gunakan demi kemaksiatan. Maka, apabila tibanya Malaikat Maut di hadapan kita, pasti kita akan menafikan kehadirannya.

Tetapi apabila kita melihat Nabi Sulaiman memilih mati sedangkan banyak lagi nikmat kurnia yang boleh dinikmati oleh Baginda.

Nabi Sulaiman mampu menundukkan Jin, angin bahkan melembutkan tembaga dengan izin Allah SWT, namun tiada sekelumit riak dan segala kelebihan itu digunakan untuk melebarluaskan agama Allah SWT.

Ibrah kedua yang boleh kita belajar merujuk kepada ayat sebelumnya apabila Allah SWT menundukkan benda ghaib kepada Nabi Sulaiman.

Angin dan Jin adalah tentera dan pekerja Nabi Sulaiman yang ghaib, yang tidak mampu kita lihat.Ini mengajarkan kepada kita, perkara yang kita tidak nampak oleh mata kasar kita, ia ada dan kita wajib percaya.

Surah ini turun kepada Rasulullah SAW ketika Musyrikin Quraisy bukan sahaja tidak mahu mendengar kata-kata Rasulullah SAW serta berlalu pergi, bahkan lebih teruk lagi, mereka mengejek-ngejek apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW mengenai perkara ghaib.

Kewujudan alam ghaib

Surah ini digambarkan sebagai satu oksigen buat Rasulullah SAW. Lalu surah ini nak mengajarkan kaum Quraisy betapa kisah alam ghaib ini wujud melalui cerita Nabi Sulaiman.

Pengajaran ketiga menerusi ayat kewafatan Nabi Sulaiman ini, bukan sengaja Allah SWT bawakan kisah anai-anai dalam peristiwa ini.

Allah SWT mahu mengajar kita, anai-anai ini kecil sahaja ukuran saiznya. Namun, ia tetap punya peranan dan jangan sekali-kali kita merendahkan peranan mereka.

Anai-anai yang kecil ini boleh memakan benda yang penting yang ada pada Nabi Sulaiman iaitu tongkat tempat Baginda bersandar, sedangkan makhluk lain, ingin menyentuhnya sahaja berasa takut.

Makhluk kecil anai-anai ini yang menjadi asbab kepada kematian Nabi Sulaiman AS mengajar kita agar kita menundukkan ego kita, biar sebesar mana darjat dan pangkat kita, pasti di penghujungnya kita akan menemui kematian.

Mati adalah janji Allah SWT yang pasti buat hamba-hamba-Nya.
Tags: darjat, ego, mati
Subscribe

Posts from This Journal “mati” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments