mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Rohingya Saudara Kita ”

Petikan Khutbah Jumaat : 02 Disember 2016 JAIS

“Rohingya Saudara Kita ”

Krisis kemanusiaan, siri-siri penindasan, pembunuhan dan kezaliman yang berterusan dilakukan. Hari ini, kita menjadi saksi pula terhadap musibah yang ditimpakan ke atas kaum Muslim Rohingya di Arakan, yang dilakukan oleh kerajaan pemerintah mereka sendiri. Apakah ertinya semua ini? jais.jpgBilakah kesengsaraan ini semua akan berakhir? Bilakah manusia mahu berubah meninggalkan perangai buas, primitif dan durjana yang telah pun dihapuskan oleh agama?.

Rohingya adalah nama satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine yang dahulunya dikenali sebagai Arakan. Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia Selatan, terutamanya orang Bengali. Sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah berketurunan Arab, Parsi dan Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Moghul

Masalah yang berlaku ini adalah berpunca daripada kerajaan Myanmar yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan ini hanya memasuki negara tersebut pada kurun ke-19 ketika pemerintahan Britain. Menurut Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara itu sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka sahaja yang boleh dianggap sebagai warganegara.

Namun, ini bukanlah suatu alasan yang munasabah untuk mereka ditindas, dibunuh, diseksa dan diusir dari tanah air yang telah lama mereka diami. Apakah pemerintah di Myanmar sudah hilang kewarasan sehingga membenarkan perlakuan ganas itu dilakukan ke atas sesama manusia? Tidakkah mereka sedar bahawa manusia hidup saling memerlukan? Tidakkah mereka tahu bahawa setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dan merasai nikmat keamanan?.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1;“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu bermula dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya isterinya Hawa, dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebutnyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dan mengawasi kamu”

Islam mengajar kita suatu hakikat yang azali bahawa semua manusia berasal dari keturunan yang sama. Kita semua berasal dari Nabi Adam AS dan kita seharusnya menerima sesiapa sahaja manusia sebagai sebahagian dari persekitaran dalam hidup kita. Islam meletakkan dasar bahawa semua manusia adalah sama. Apa yang membezakan antara mereka hanyalah taqwa, tahap kewaspadaan dan ketaatan mereka kepada Tuhan yang telah mencipta mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Setiap individu mendapat hak-hak asasinya tanpa dipinggirkan apatah lagi ditindas dan didiskriminasikan. Tindakan yang dilakukan oleh kumpulan pelampau dan tentera Myanmar sesungguhnya tidak dapat diterima oleh mana-mana tamadun dan agama. Ia adalah kezaliman yang sangat jelas dan melampau. Apatah lagi keganasan itu dapat disaksikan melalui media massa antarabangsa dan tempatan.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada an-Nu’man Bin Basyir R.Anhu; “Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan saling menyayangi adalah bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggotanya merasakan sakit, maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga malam dan merasakan demam”.

Kita juga perlu menginsafi bahawa pelbagai musibah yang berlarutan ke atas umat ini adalah ujian daripada Allah SWT. Ia adalah sebahagian fitnah yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Thauban R.Anhu;“Akan tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana bilangan kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada ketika itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.” Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab, “cintakan dunia dan takut mati”.

Kekuatan yang akan mempertahankan nasib dan maruah setiap warga Muslim. Kekuatan yang kita imbau dalam sejarah mulia seorang khalifah kerajaan Abbasiyyah bernama al-Mu’tasim Billah. Apabila seorang wanita Muslimah dianiaya dan dimalukan di sebuah pasar di negeri Amuriah, dia mengadu dari perbatasan yang jauh itu kepada khalifah di Baghdad. Walaupun tanpa media eletronik dan tanpa media sosial, aduan itu tetap sampai. Lalu Khalifah al-Mu’tasim bangkit dan menyahut: “Ya wahai ibu. Aku datang kepadamu!” Beliau berangkat bersama tenteranya lalu bertindak membela wanita ini dan menakluk bandar tersebut.

Asas kekuatan ini bukanlah terletak pada kelebihan harta dan kekayaan. Bukan juga pada bangsa dan keturunan. Tetapi ia terletak pada jiwa dan akidah kita, iaitu cinta akhirat dan keinginan berjuang untuk agama sehingga terkorban mati kerananya.

Memperingati nasib yang telah menimpa saudara-saudara kita, Muslim Rohingya di Arakan, Myanmar, marilah kita bertekad untuk membantu mereka dengan sedaya upaya kita, iaitu:

1. Umat Islam hendaklah sentiasa mendoakan ketabahan, keamanan dan kesejahteraan buat mereka. Kita doakan agar mereka tetap bertahan dengan iman dan akidah mereka, serta dilimpahi kesabaran dalam menghadapi musibah dan penindasan musuh yang tidak terperi itu.

2. Umat Islam hendaklah terus mendesak agar para penguasa Muslim dari seluruh dunia Islam mengenakan tekanan dan bantahan ke atas apa yang telah dilakukan terhadap warga Muslim Rohingya di Myanmar.

3. Umat Islam hendaklah sama-sama bertekad untuk memberikan bantuan kepada saudara-mara kita yang tertindas itu. Semoga dengan bantuan-bantuan itu, mereka akan dapat mempertahankan hak untuk hidup secara aman dan bermaruah di bumi mereka sendiri.

4. Umat Islam wajib berusaha ke arah penyatuan umat Islam seluruhnya, ke arah membentuk kekuatan bagi menghadapi segala penindasan yang telah berpanjangan ini. Kita harus mengenepikan pertelingkahan dan pertembungan yang tidak menguntungkan umat selama ini.

5. Umat Islam hendaklah menginsafi betapa perlunya berdikari menegakkan agama ini, tanpa meletakkan harapan pada golongan bukan Islam yang hanya membiarkan penyeksaan berterusan dilakukan ke atas umat ini.

“Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya pandangan mereka akan terbeliak kaku.” (Ibrahim ; 42)
Tags: khutbah, saudara
Subscribe

Posts from This Journal “saudara” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments