mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Peka dengan taklik yang dilafazkan

ADA sesetengah suami isteri kurang memberi perhatian atau tidak ambil kisah akan janji (lafaz taklik) yang pernah dilafazkan sebaik selesai upacara akad nikah suatu ketika dahulu. Ada pula pasangan yang sikit-sikit rujuk kepada lafaz taklik yang pernah dilontarkan di bibir suami. Alasannya, kerana tidak mahu berlaku permasalahan dalam rumah tangga mereka. Itu tindakan pasangan yang peka dan berhati-hati dalam mengemudi alam rumah tangga.

Lumrah manusia, mudah lupa dengan janji yang pernah dilafazkan. Mungkin dalam sesetengah hal, tidak mengapa. Namun lain pula dengan janji yang dilafazkan suami, jika tidak diambil peduli maka jatuhlah talak (sebagaimana yang dilafazkan). Perihal agama perlu sentiasa diingat-ingatkan, tidak mahu sudah terhantuk baru tengadah. Tambahan pula, ALLAH SWT ada berfirman dalam Surah Al-Ma'idah ayat satu menyuruh hamba-Nya supaya patuh pada janji  yang dilafazkan.

PERLU BERWASPADA

Minggu ini Rehal mendapatkan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Tuan Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor untuk mengulas lebih lanjut mengenai cerai taklik.

Kongsi beliau, dari segi bahasa, perkataan taklik itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab - a'laqa yang bermaksud dikaitkan atau disandarkan. Menurut istilahnya pula, suatu perceraian berlaku akibat daripada perlanggaran janji atau syarat yang dikaitkan dengan talak. Secara mudah fahamnya, cerai taklik adalah cerai yang dikait atau digantung dengan sesuatu perkara atau janji/syarat.

Beliau menjelaskan, cerai taklik akan berlaku apabila pelanggaran kepada syarat atau larangan yang diberikan. Sebagai contoh, suami berkata kepada isterinya: "Jika kamu keluar rumah pada malam ini gugur talak ke atas kamu".

"Talak akan berlaku apabila isteri itu, keluar rumah pada malam tersebut kerana isteri telah melanggar larangan atau tegahan yang dibuat oleh suami. Jika isteri tersebut tidak keluar rumah pada malam tersebut maka tidak gugur talak, kerana tidak melanggar syarat.

"Antara contoh lain lagi, kebiasaannya selepas akad nikah dilafazkan, suami dikehendaki menyebut lafaz taklik di hadapan kadi atau jurunikah dan saksi, antaranya janji yang dinyatakan dalam lafaz tersebut: "Tiap-tiap aku (suami) tinggalkan atau tidak aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu dia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka tertalaklah isteriku itu dengan satu talak. Dan, sekiranya perkara  yang dijanjikan oleh suami itu gagal ditunaikan, maka suami sudah dikira melanggar taklik atau janji. Walau bagaimanapun perlanggaran taklik ini hendaklah disabitkan oleh mahkamah syariah," katanya.

Menurut beliau lagi, lafaz cerai taklik adalah suatu lafaz yang diucapkan atau melalui bahasa isyarat yang digunakan untuk menyatakan niat menjatuhkan talak dengan mengaitkan pasangan  dengan sesuatu perkara.

AMARAN PADA PASANGAN

Pada masa ini lazimnya setiap pasangan yang bernikah di Malaysia, pengantin lelaki yakni si suami dikehendaki melafazkan taklik di hadapan kadi, naib kadi atau pendaftar perkahwinan dan saksi sebaik sahaja akad nikah dijalankan. Lafaz taklik adalah  sebagaimana yang tercatat pada sijil nikah dan ia ditetapkan oleh pihak berkuasa, walau bagaimanapun lafaznya berbeza antara negeri-negeri di Malaysia. Lafaz taklik yang seperti ini adalah mengikat suami supaya menunaikan tanggungjawab dan janjinya.

Selain daripada itu, lafaz taklik juga boleh berlalu pada bila-bila masa dan dalam berbagai bentuk, ia bergantung kepada syarat atau larangan yang dikaitkan dengan talak. Syarat tersebut boleh dikaitkan dengan masa, tempat dan keadaan. Lafaz seperti ini biasa berlaku apabila pasangan suami isteri ini bertengkar atau timbul perasaan curiga dengan tindakan pasangannya lalu mereka meletakkan syarat tertentu yang dikaitkan dengan talak bertujuan sebagai amaran kepada pasangannya. Taklik seperti ini biasanya suami akan meletakkan syarat atau amaran ke atas isteri.

RAMAI yang keliru dengan lafaz taklik ini, untuk memudah fahamkan lagi pembaca, dikemukakan dua situasi yang agak sama tetapi sedikit berbeza dan menjadi persoalan ramai.

SITUASI 1

Pasangan itu berkahwin, dan suaminya telah bertaklik jika isterinya menghisap rokok maka jatuh talak. Selang beberapa tahun, isteri terlupa larangan suami dan menghisap rokok semula. Adakah jatuh talaknya?

Keadaan ini jelas bahawa suami telah bertaklik dan melarang isterinya supaya tidak menghisap rokok. Larangan tersebut digantungkan dengan talak. Ini bermaksud jika isterinya menghisap rokok akan mengakibatkan jatuh talak. Apabila isteri tersebut menghisap rokok, maka isteri telah melanggar taklik atau syarat, dengan demikian telah gugur talak. Walaupun isteri itu terlupa.

SITUASI 2

Pasangan itu berkahwin dan suaminya bertaklik: "Isterinya tidak boleh berlaku curang dan perkara sebaliknya juga berlaku iaitu suaminya curang tetapi suaminya tidak merujuk perkara ini kepada mahkamah atau suaminya terlupa. Dalam masa yang sama mereka melakukan hubungan kelamin. Jika isterinya mengandung, adakah anak itu anak tidak sah taraf atau sebaliknya?.

Keadaan ini berbeza dengan persoalan di atas, tidak jatuh talak kerana isteri tidak melanggar syarat atau larangan yang dibuat oleh suami. Lafaz tersebut meletakkan larangan ke atas isteri supaya tidak berlaku curang, bukan kepada suami. Maka tidak ada halangan untuk melakukan hubungan kelamin kerana mereka masih suami isteri yang sah.

"Saya nyatakan di sini, antara syarat-syarat berlakunya cerai taklik adalah apabila suami mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata taklik, isteri pula hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah) dan perlanggaran iaitu perkara yang diikatkan atau disyaratkan.

"Apabila berlaku cerai taklik, bilangan talak yang jatuh adalah bergantung kepada jumlah talak yang dilafazkan suami semasa membaca lafaz taklik tersebut. Sebagai contoh, suami berkata kepada isteri: 'Jika kamu berlaku curang, maka gugur talak tiga' dan seandainya si isteri melakukan apa yang dikatakan suaminya maka jatuh talak seperti yang disebut dalam lafaz," katanya.

Bagaimanakah caranya untuk rujuk balik apabila bercerai taklik, tambah beliau, ia bergantung kepada bentuk taklik. Cerai taklik boleh dirujuk jika perceraian tersebut sabit jatuh talak satu atau dua (talak ruji'e).

Menurutnya, ada juga cerai taklik yang tidak boleh rujuk, seperti perceraian yang disabitkan secara taklik tebus talak (taklik khulie). Ini dikategorikan sebagai bain sughra. Taklik khulie ini biasanya sepertimana lafaz taklik yang ditetapkan oleh negeri-negeri. Ini bertujuan untuk mengelakkan suami rujuk sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan sabitkan talak. Sebagai contoh lafaz taklik khulie seperti "...dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan dia memberi kepada mahkamah syariah yang menerima bagi pihak saya RM10 maka pada ketika itu tertalak dia dengan cara talak khulie". Walau bagaimanapun pasangan yang bercerai secara taklik khulie, boleh disatukan semula dengan akad yang baharu.

Katanya, jika taklik itu disabit jatuh talak tiga, maka tidak boleh dirujuk dan tidak boleh nikah semula kerana bain kubro.

CERAI TAKLIK ATAU UGUTAN?

Beliau berkata, ramai yang bertanyakan apakah perbezaan antara cerai taklik dan ugutan atau amaran? Ini jawapannya, cerai taklik adalah cerai yang dikaitkan sesuatu dengan talak seperti yang diterangkan pada perenggan atas. Perkara atau syarat yang diberi itu berkemungkinan sebagai ugutan atau memberi amaran kepada pasangan supaya tidak berbuat sesuatu yang tidak disukainya bagi memastikan rumah tangga yang dibina sentiasa aman dan damai.

"Boleh disimpulkan bahawa tujuan meletakkan syarat itu adalah sebagai ugutan atau amaran supaya pasangannya tidak melakukan perkara tidak disukainya.

"Kebanyakan lafaz taklik di setiap negeri adalah berbeza. Ada yang berkisar kepada suami ghaib sehingga empat bulan lamanya atau suami yang gagal memberi nafkah dalam tempoh tertentu atau suami yang melakukan penderaan terhadap isterinya. Dan apabila perkara sebegini berlaku dan pihak isteri mempunyai bukti yang kukuh, pihak mahkamah syariah akan mensabitkan penceraian secara taklik," katanya lagi.

Menurutnya, ada sesetengah pasangan yang kurang arif mengenai hal ini. Apabila berlaku situasi (melibatkan lafaz taklik) barulah mereka tercari-cari langkah penyelesaian. Adakah talaknya jatuh atau tidak? Saran beliau, pasangan tersebut hendaklah melaporkan kesnya ke mahkamah syariah, kenapa? Supaya mahkamah syariah boleh membuat siasatan lanjut dan memutuskan sama ada sabit atau tidak.

Tegasnya, lafaz taklik adalah suatu yang lafaz akad iaitu janji atau niat dan setiap perjanjian itu perlu ditunaikan. Dan jika suaminya ada menyebut perihal talak dalam lafaz taklik itu maka, jatuhlah talaknya sebagaimana tersebut.

Ditekankan di sini, lafaz taklik yang diucapkan suami di hadapan kadi, naib kadi, pendaftar nikah atau saksi selepas akad adalah suatu cara untuk pihak isteri menuntut cerai daripada suami.

Contoh lafaz taklik di Selangor:-

"Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal dia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian dia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada mahkamah syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak dia dengan cara talak khuluk."

Contoh lafaz taklik di Kelantan:-

"Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal dia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama empat bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian dia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi."

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments