mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memahami sambutan Maulidur Rasul, Bukti kerasulan Nabi Muhammad

Bukti kerasulan Nabi Muhammad

Setiap kali melangkah masuk ke bulan Rabiulawal, setiap kali itu jugalah kita sering bertanya pada diri, adakah benar rasa kecintaan kita kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.

Apabila mengaku yang kita cinta Rasulullah SAW, pasti kita akan mengikut setiap apa yang disuruh oleh Baginda SAW. Sebelum wujud rasa cinta, kita harus percaya akan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Pertemuan menerusi segmen Ibrah di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membuka segmen itu dengan membacakan ayat Surah
Yasin. Ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: "Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari rasul yang telah diutus."

Kita sering mendengar dan melihat pelbagai majlis ilmu yang menyentuh mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW. Namun, pernahkah kita menilai selama ini, adakah kita mengetahui atau mempercayai.

Kalau benar kita mempercayai Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruh Allah SWT, adakah kita benar-benar memahami setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW selama ini. Jangan biar mulut kata percaya, hati hanya mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW itu Rasul, tetapi tiada usaha untuk mendekati ajaran dan sunah Baginda.

Bukti dipilih jadi Rasul

Untuk kita mempercayai, kita perlu kemukakan bukti. Menurut tafsir Tafhim al-Quran oleh Abu al-A'ala al-Maududi, beliau mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW itu dipilih sebagai Rasul oleh Allah SWT.

Pertamanya, umur 40 tahun sebagai bukti. Orang yang dari awal bercita-cita menjadi Nabi, pasti tidak akan menunggu sehingga umur 40 tahun. Pada umur 40 tahun itu membuktikan bahawa Rasulullah SAW sendiri tidak mengetahui bahawa Baginda akan menjadi Rasul.

Nabi SAW tidak pernah meramalkan Baginda akan menjadi Rasul. Ini membuktikan bahawa kerasulan ini bukanlah pilihan Nabi SAW bahkan ia pilihan Allah SWT dengan hikmah tersendiri.


Bukti yang kedua, pada usia 35 tahun, Baginda Rasulullah SAW dikenali oleh hampir keseluruhan kaum Arab Quraisy dengan gelaran al-Amin. Bahkan, sebut sahaja siapa musuh Baginda seperti Abu Jahal tetap mengenali Baginda dan menggelarnya dengan al-Amin dan orang yang berpekerti bagus.

Kita pasti sedia maklum mengenai peristiwa pertelingkahan yang membabitkan peletakan batu Hajarul Aswad. Apabila keputusan dibuat oleh Baginda Rasulullah SAW mengenai perkara itu, tiada seorang pun yang membantah.

Ketiga, ketika berusia 20 tahun, Baginda berada dalam dunia perniagaan dan ia berkembang maju. Baginda pula berkahwin dengan orang yang sangat bijak dalam dunia perniagaan, iaitu Khadijah.

Pilihan sebagai Rasul ini boleh menyebabkan Baginda akan dibenci. Maka, dapat kita lihat, ini bukanlah satu pilihan popular. Ini membuktikan pilihan Baginda sebagai Rasul ini adalah kerana perintah daripada Allah SWT dan bukanlah kehendak peribadi.

Bukti kerasulan Baginda SAW yang keempat merujuk kepada al-Maududi, ialah Baginda SAW tidak pernah muncul di mana-mana majlis keraian berbentuk hiburan yang dianjurkan oleh Arab Quraisy pada ketika itu.

Menjauhi program hiburan

Bentuk hiburan orang Quraisy pada ketika itu ialah syair. Seseorang yang menyertai keraian ini perlulah pandai mengarang syair dan membacakan syair itu. Baginda tidak pernah sekali-kali menyertai mana-mana program syair.

Tetapi apabila Baginda berdakwah, Baginda dituduh menyampaikan syair. Ini suatu tuduhan yang tidak berasas.

Bukti kelima, mari kita perhatikan setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali berbentuk peribadi. Apabila Nabi SAW memulakan dakwahnya, maka tiada apa yang dituturkan kecuali hanya bercerita tentang alam dan penciptaannya.

Baginda menyeru agar tidak berlaku zalim dan memerdekakan hamba. Ini bukanlah agenda peribadi dan perkara inilah yang ditunggu oleh semua orang agar sistem kasta yang menzalimi manusia dapat dihapuskan.

Nabi SAW tidak menjadi seperti ahli kitab yang sanggup mengubah ayat Allah SWT demi mengekalkan pengaruh dan kepentingan peribadi. Nabi SAW tidak menjadikan penerimaan manusia sebagai kayu ukur.

Yang keenam, bukti Baginda sebagai seorang Rasul ialah apabila seseorang meneliti apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, pasti akan mengatakan ini bukanlah ucapan seorang manusia.

Kepada orang yang benar-benar berfikir, pasti akan tertanya-tanya siapakah yang mengajarkan kepada Muhammad SAW tentang huruf. Inti pati dan isi kandungan penyampaian Nabi SAW juga terlalu tinggi.

Beberapa bukti ini sudah cukup untuk membenarkan kepercayaan kita kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Persoalan yang tinggal, adakah perakuan kepercayaan yang kita lakukan dengan lidah dan yakini dengan hati kita, kita dapat buktikan dengan amalan dan perbuatan. Tepuk dada tanya iman.


Memahami sambutan Maullidur Rasul


SEBAHAGIAN kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah berarak bersama kontijen perarakan sambil berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Pusat Islam Melaka, semalam. UTUSAN/AZLI AHAD


MEMPERINGATI junjungan mulia Nabi Muhammad SAW tidaklah terhad kepada hari tertentu ataupun hanya melalui acara tertentu. Ia sepatutnya disegarkan dalam ingatan setiap Muslim sepanjang masa. Ini kerana baginda adalah Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT membawa syariat untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Sungguhpun begitu amalan memperingati keputeraan Nabi SAW dengan sambutan maulid tidaklah pula menyimpang daripada ajaran agama. Malah aktiviti perarakan sambil membaca selawat atas Nabi SAW dan ceramah agama yang rutin dilakukan pada bulan Rabiulawal sangat signifikan untuk menyegarkan ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Amalan ini juga dapat ­meninggikan syiar Islam yang sesuai dengan kedudukannya.

Selain itu, masyarakat Islam diajak untuk memperbaharui kecintaan terhadap junjungan mulia dengan menghayati sirah hidup baginda dan liku-liku perjuangan dakwah menegakkan Islam sebagai pedoman bersama. Ini ­penting bagi mengelakkan pelaksanaan dakwah dan penyampaian ajaran agama yang menyimpang daripada landasan sebenar. Dewasa ini terdapat segelintir yang menyebarkan fahaman songsang dan ajaran sesat yang mengelirukan masyarakat.

Malah terdapat pula yang kurang ilmu, menjadi pak turut, bersikap keras hati dan merasakan dia sahaja yang betul sehingga mengabaikan tanggungjawab kerana taksub dan fanatik dengan fahaman tertentu. Salah faham dan perbuatan melampau seperti ini eloklah diperbetulkan dengan memilih jalan wasatiyyah (kesederhanaan) dan mempraktikkan ajaran Nabi SAW dalam konteks yang syumul dan menyeluruh.

Untuk tujuan itu, umat Islam juga diajak beramai-ramai menghadiri pelbagai program yang dirancang sempena bulan Rabiulawal bagi menimba ilmu demi memahami Islam dalam realiti kehidupan masa kini dan tidak terhad kepada pelaksanaan ibadah khusus semata-mata. Ini kerana syariat Islam juga berkait rapat dengan aspek kenegaraan, politik, sosial dan ekonomi.

Dalam pada itu, usah dipilih ustaz selebriti atau ustaz tertentu sahaja untuk menghadiri program ceramah sempena Maulidur Rasul. Yang lebih penting adalah, apa yang disampaikan dan bagaimana umat Islam berusaha menzahirkan kecintaan terhadap baginda. Diharapakan, segala pelajaran daripada ceramah agama dan majlis ilmu dapat diterjemahkan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Kaum Muslimin juga diajak mengamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW dalam segenap gerak geri kehidupan. Seperti mana Nabi Muhammad SAW dan para Anbia terdahulu menggembala kambing dan berniaga untuk menyara kehidupan diri dan keluarga maka umat Islam diajak bersikap produktif dan komited dalam kerjaya masing-masing. Usah curi tulang dan terlalu berkira-kira dalam melakukan pekerjaan seharian.

Yang lebih penting ikhlas dan tidak mengabaikan semua perintah agama. Begitu juga, persoalan halal dan haram hendaklah sentiasa dititikberatkan agar pekerjaan yang dilakukan dinilai sebagai ibadah.

Dalam konteks hubungan sosial dan kemasyarakatan, Nabi Muhammad SAW ialah role model dengan menunjukkan tatacara bergaul dan berbuat baik kepada semua manusia tanpa mengira perbezaan agama dan fahaman tertentu.

Untuk itu, perbuatan keji mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain hendaklah digantikan dengan mengingat dua perkara dan melupakan dua perkara. Ingatlah sentiasa semua kebaikan orang lain kepada kita dan ingatlah semua keburukan yang telah kita lakukan. Lupakan pula semua kebaikan yang telah dilakukan kepada orang lain dan lupakan semua keburukan yang pernah dilakukan kepada kita. Dengan cara ini diharapkan kehidupan bermasyarakat, berjiran dan bersahabat akan sentiasa harmoni dengan semangat ukhuwah yang sentiasa bertaut sepanjang masa.

Begitu juga dalam pergaulan dan tatacara berpakaian umat Islam diingatkan supaya sentiasa mematuhi syariat. Pergaulan bebas antara bukan mahram, ber­dua-duaan lelaki dan perempuan tanpa ikatan nikah adalah di­larang agama.

Adalah sesuatu yang tidak kena dengan sambutan Maulidur Rasul apabila masih ada yang selesa berpakaian mencolok mata sehingga menyebabkan diri sendiri dan orang lain terlibat berdosa. Ini diburukkan lagi dengan penggunaan media baharu untuk mempamerkan aksi lucah dan perbualan kotor yang boleh menyebabkan pelaku terpalit dosa sebanyak mana orang yang menonton, membaca dan menyebarkannya.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul kali ini kaum Muslimin diajak merapatkan saf dan barisan untuk membentengi diri, keluarga dan negara daripada pelbagai ancaman dalaman dan ­luaran yang bertujuan menyesatkan umat daripada ajaran Islam yang sebenar.

Usah juga dilupakan nasib saudara seagama di merata dunia termasuklah di Rohingya yang dinafikan hak untuk hidup dan melaksanakan ajaran Islam dengan pengusiran daripada kampung halaman selain pencabulan ke atas hak asasi manusia.

Lebih daripada itu, umat Islam diingatkan tidak hanya teruja berarak dengan baju Melayu sambil mengangkat sepanduk serta berqasidah dan marhaban sahaja. Ingatan dan kecintaan ter­hadap Nabi Muhammad SAW yang mulia hendaklah diterjemahkan dengan memperbanyak selawat dan mempraktikkan ajarannya sepanjang masa.

Tags: maulidurasul
Subscribe

Posts from This Journal “maulidurasul” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments