mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hidupkan sunnah sebagai tanda cinta; Tuntut ilmu hadis

Tuntut ilmu hadis

AJARAN Islam dibangunkan atas dua perkara iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Keduanya memiliki kaitan yang erat. Banyak ayat al-Quran sukar diertikan dengan benar dan tepat tanpa keterangan daripada sunnah Nabi Muhammad SAW. Contoh yang paling dekat dengan seseorang Muslim adalah mengenai tata cara solat yang tidak mungkin diketahui tanpa bantuan daripada sunnah Nabi SAW. Ini disebabkan al-Quran sendiri tidak menunjukkan kaedah solat dan al-Quran hanya menegaskan hanya wajibnya solat lima waktu itu saja.

Memikirkan betapa pentingnya pengetahuan mengenai hadis ini, Imam Abu Hanifah pernah berkata: "Tanpa sunnah tak seorang pun daripada kita akan dapat memahami al-Quran."

Mempelajari mengenai hadis Nabi SAW mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana dijanjikan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya bahawa orang yang mempelajari dan menghafal hadis-hadisnya akan dianugerahi oleh ALLAH SWT wajah yang bercahaya, penuh dengan pancaran cahaya (nur) keimanan yang menandakan ketenangan hati dan keteduhan batin.

AJAR HADIS

PUSAT Pengajian Asas dan Lanjutan Tahfiz (PPALT) di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Pelajar-Pelajar Tahfiz Malaysia (Tahfiz) mengorak langkah apabila bakal memperkenalkan pembelajaran hadis di pusat berkenaan.

Pengerusinya, Ustaz Mohd Zaidan Hamad, berkata ia adalah sebagai langkah awal dalam memperkenalkan pembelajaran hadis kepada pelajar di sekolah berkenaan.

Katanya, ini adalah antara salah satu usaha bagi memastikan pelajar yang dilahirkan di pusat berkenaan berkualiti dan boleh membimbing apabila selesai pengajian di pusat berkenaan.

"Peringkat permulaan ini, terbuka kepada pelajar dalaman yang berminat memandangkan hendak belajar hadis juga bukan sesuatu yang mudah  kerana ia memerlukan kesabaran. Di Tahfiz kita buka peluang kepada pelajar yang berminat tapi syaratnya mereka sudah hafaz 15 juzuk al-Quran tetapi jika ada yang bawah dari itu berminat, akan kita nilai.

"Elemen utama dalam belajar hadis ini adalah bacaan al-Quran kena lancar, untuk yang baru mula hafaz mereka akan guna teknik asas menghafaz al-Quran begitulah teknik yang sama digunakan untuk menghafal hadis dengan dipantau oleh guru-guru," katanya.

Menurutnya untuk memudahkan pemahaman, penerangan akan dibuat oleh tenaga pengajar dalam bahasa Melayu. Bahasa Arab digunakan untuk pelajar senior, pelajar baru  digalakkan untuk  membaca dengan lancar.

"Matan hadis semuanya dalam bahasa Arab. Tapi matan perkataan hadis tetap diajar dalam bahasa Arab sebagaimana yang dituturkan oleh Nabi SAW.

"Apa pun pelajar perlu hafaz kitab hadis 40 karya Imam Nawawi. Imam Nawawi adalah anak murid kepada Imam Shafie. Cuma syarah dia tak perlu hafal, syarah ni guru-guru akan syarahkan. Contoh niat berdasarkan Nabi SAW kata apa macam mana ini guru akan ajar, pelajar hanya baca dengar tapi yang rendah kita hendak minimum ialah mereka dapat hafal hadis 40 ini," ujarnya lagi.

Zaidan berkata, dari situ baru pelajar akan dinilai sebelum diserap masuk ke dalam kelas hadis.

"Peringkat kedua selepas mereka hafal hadis 40 ini barulah mereka akan belajar istilah-istilah hadis. Kitabnya adalah Musolahulhadis. Contoh apa itu matan? Rawi tu apa? Perawi-perawi?. Ada perawi ni penipu atau tak, itu seterusnya kita dapat analisa selepas mereka hafal 40 hadis ini, setakat mana pelajar boleh pergi.

"Persediaan hadis ini bukan setakat baca hadis, ada orang lepas  hafaz 30 juzuk al-Quran mereka boleh hafal hadis lagi, ada pelajar yang tak boleh capai 30 juzuk, kalau 10 juzuk ada setengahnya agak sukar untuk hafaz, kita akan tawarkan kelas-kelas a'lim antaranya mereka boleh  belajar hadis. Tapi syaratnya mesti 10 juzuk ke atas," katanya.

PENGASAS PPALT, Datuk Mustapa Othman, berkata setakat ini pusat berkenaan sudah mempunyai 70 pelajar dan enam tenaga pengajar berpengalaman.

"PPALT yang terletak di Beranang Selangor ini mempunyai empat blok yang boleh memuatkan kira-kira 160 pelajar dalam satu masa.

"PPALT turut menawarkan pembelajaran subjek akademik antaranya  Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Bermakna jika ada yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, pelajar tahfiz boleh ambil SPM secara persendirian, semua PPLAT akan uruskan seperti yang sudah dibuat sebelum ini,” katanya.

Menurut Mustapa, apa yang menariknya di PPALT ini ialah setiap hujung tahun - Disember, akan diadakan kem motivasi selama lebih dua minggu.

Antara perkara yang akan ditekankan dalam kem motivasi berkenaan adalah mengenai perkara asas fardu ain termasuk hal penyembelihan binatang, solat dan sebagainya.

Beliau berkata, sekarang ini atas inisiatif pelajar dan juga guru sebuah kumpulan qasidah terdiri daripada pelajar tahfiz PPALT sudah digerakkan dan ini adalah salah satu cara untuk mencungkil bakat pelajar-pelajar ini untuk diketengahkan, memandangkan qasidah turut memerlukan mereka yang tahu bermain alat-alat muzik.

Di samping itu juga bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran, sebuah perpustakaan mini akan diwujudkan di PPALT dan buku-buku di dalamnya akan ditaja oleh Perpustakaan Negara.

"Perpustakaan Negara akan beri rak dan juga buku-buku serta mengajar pelajar–pelajar cara mengemas kini data simpanan buku. Ini adalah kemudahan khusus untuk mereka mengulang kaji pelajaran.

Tahfiz adalah sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai matlamat dan dasar seiring dengan dasar pendidikan negara.

Tahfiz mempunyai hasrat dan cita-cita besar dalam memartabatkan ilmu hafazan terutamanya dalam bidang pengajian al-Quran dan as-Sunnah dalam kalangan pelajar Islam.

Sejak ditubuhkan, Tahfiz sedar mengenai beban yang perlu dipikul dan liku-liku perjalanan serta cabaran yang perlu dihadapi bagi melaksanakan tanggungjawab sosial.

Bagaimanapun ia bukanlah penghalang untuk Tahfiz terus melangkah seiring dengan badan-badan bukan kerajaan lain dalam merealisasikan matlamat asalnya.

Objektif penubuhan  PPALT

Objektif penubuhan Pusat Pengajian Asas dan Lanjutan Tahfiz (PPALT) ini didasari atas semangat untuk pengisian serta mendalami ilmu hafazan al-Quran bagi remaja dari seawal umur 10 tahun untuk melahirkan mereka sebagai  seorang al-hafiz mahupun al-hafizah. Selain remaja, pusat pengajian ini turut menerima sesiapa sahaja yang ingin mempelajari ilmu hafazan al-Quran.

Visi

Menjadikan PPALT sebagai sebuah institusi pusat pengajian asas tahfiz yang mampu memartabatkan ilmu hafazan al-Quran dan Hadis serta mampu menguasai ilmu pengetahuan agama Islam dari segi tauhid, fiqh, akhlak, bahasa Arab dan sebagainya.

Misi

Melahirkan lebih ramai anak remaja dari seawal umur 10 tahun yang cintakan ilmu hafazan al-Quran dan segala ilmu al-Quran sebagai seorang hafiz dan hafizah.

Mengimarahkan dan memupuk budaya membaca dan menghafaz al-Quran dalam kalangan masyarakat serta dapat menguatkan lagi ukhuwah dengan fikrah Islam, menghayatinya, melaksanakannya dan memperjuangkannya.

Menjadikan Islam sebagai ad-din dalam diri bagi segala urusan duniawi mahupun ukhrawi.

Hidupkan sunnah sebagai tanda cinta


Bersalaman dan menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan (gambar kanan) antara sunnah Rasulullah SAW yang menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. - Foto hiasan
Kegagalan memahami definisi sunah antara faktor ada dalam kalangan kita yang mengabaikannya dengan alasan ia hanya perbuatan sunat, apabila dikerjakan mendapat ganjaran pahala dan tidak pula berdosa jika ditinggalkan.

Sedangkan, konteks sunah itu luas merangkumi segala perkara wajib yang perlu dilaksanakan termasuk menunaikan solat lima waktu, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.

Perkara sunat hanyalah sebahagian kecil daripada sunah Nabi. Antaranya, galakan memberikan senyuman ketika bertemu orang lain kerana ia juga satu sedekah yang memasukkan kegembiraan dalam hati dan mengeratkan ukhuwah.

Oleh itu, mencontohi Nabi Muhammad SAW adalah dengan melaksanakan sunah Baginda. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sunah Rasulullah bersifat sejagat

Pensyarah Kanan I'jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sukki Othman, berkata, keadaan umat Islam hari ini yang agak goyah dengan pelbagai bentuk penindasan sepatutnya menjadi petunjuk untuk bersama mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam.

Katanya, cara terbaik untuk merealisasikannya adalah dengan mencontohi Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan kerana sunah Baginda bersifat sejagat serta sesuai diamalkan oleh umat Islam serta bukan Islam.

Marilah bersama melakukan perubahan ketara apabila menyambut Maulidur Rasul dengan tekad untuk menjadikan Nabi Muhammad sebagai role model seterusnya menjunjung sunah dibawa Baginda sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

Tambah Mohd Sukki, adalah malang jika seorang Muslim itu berasa malu untuk mengamalkan perkara yang pernah dilakukan Rasulullah SAW tetapi pada masa sama berbangga pula meniru perbuatan daripada budaya lain.

Tanda mencintai seseorang ialah kita ingin sentiasa dekat dengannya dan dalam konteks Rasulullah SAW, cara terbaik adalah dengan mengikut sunah yang boleh kita pelajari daripada hadis sahih serta sirah hidup Baginda SAW.

Lakukan secara istiqamah

Mohd Sukki berkata, tidak sukar untuk mencontohi Rasulullah SAW malah amalan yang dilakukan Baginda boleh ditiru dengan syarat seorang itu sentiasa bersungguh-sungguh serta istiqamah melakukannya.

Antara amalan paling mudah dilaksanakan adalah dengan memasang niat yang baik kerana ia akan mendorong kita melakukan perbuatan murni. Niat adalah amalan hati dan antara sunah yang sangat mudah dilaksanakan.

"Ulama sependapat niat adalah wajib bagi membezakan suatu amalan itu dikira sebagai ibadah atau adat, bahkan ia penting bagi mendidik diri supaya lebih ikhlas melaksanakan ibadah semata-mata kerana Allah SWT," katanya.

Umat Islam juga dituntut menunaikan sunah yang wajib dalam kehidupan seperti menuntut ilmu selain sunah sangat digalakkan seperti memperbanyakkan zikir dan berselawat.

Perkara itu boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Alangkah indahnya apabila dalam diri umat Islam terpancar percikan daripada bayangan Rasulullah SAW melalui perlakuan, percakapan serta amalan Baginda yang dicontohi.

Inilah cara terbaik kita mempersembahkan Islam kepada yang belum Islam lagi.

Rasulullah sebagai idola

Kita biasa mendengar keistimewaan Baginda SAW sebagai nabi, pemimpin, ketua keluarga, suami, bapa, sahabat dan jiran yang disampaikan melalui ceramah atau pengajian agama.

Semua itu adalah panduan untuk kita menjadi seorang yang berjaya bukan sahaja di dunia, juga akhirat. Meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan Allah SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman kita untuk mencontohi Baginda dalam menjalani kehidupan menuju alam kekal abadi.

INFO: Rahsia dan kunci kejayaan Rasulullah SAW

* Keperibadian yang unggul
* Akhlak dan perwatakan yang terpuji
* Pembicaraan dan perkataan yang selari dengan perbuatan
* Mempunyai sifat bijaksana dan berhikmah dalam setiap tindakan.
Tags: hadis, istiqamah, rasulullah, sunnah
Subscribe

Posts from This Journal “rasulullah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments