mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Didik anak berinteraksi bersama al-Quran, Ilmu tentukan generasi berakhlak

Ilmu tentukan generasi berakhlak

Memiliki ilmu pengetahuan menjadi asas penting menjalankan tugas sebagai khalifah kerana agak sukar seseorang yang tidak berilmu melaksanakan apa yang diperintahkan dengan sempurna.

Membicarakan tajuk 'Pengguna dan Pengamal' dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata manusia perlu berusaha mempelajari dan mengajarkan ilmu kepada orang lain.

Umat Islam hendaklah menjadi insan yang sentiasa mencintai pembelajaran dengan menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan pelbagai pihak seperti di masjid, surau dan tempat kerja.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan."

"Justeru, dalam hidup ini setiap saat dan di mana juga kita berada tiada istilah untuk berhenti belajar. Imam Al-Ghazali berkata, belajar atau menuntut ilmu sangat penting dan menyifatkan ia sebagai perkara yang terpuji," katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)." (Surah at-Taubah, ayat 122)

Ilmu membolehkan manusia mengetahui banyak perkara dan bagi yang belajar bersungguh-sungguh disertai niat ikhlas, bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan, malah akan memperoleh pahala dan diampuni dosanya.

Cari guru

Dalam konteks rumah tangga adalah disarankan kita menjadi pengamal ilmu yang baik dengan mempelajari ilmu secara berguru daripada mereka yang arif menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Caranya ialah mencari mereka yang dikategorikan sebagai 'guru keberanian' yang mampu memberikan kata-kata perangsang atau motivasi supaya jiwa kita tenang.

Kebiasaannya, guru mempunyai semangat berani memiliki pengalaman dan berjaya mengemudi rumah tangga dengan baik.

Mendapatkan bantuan daripada guru sedemikian mampu membentuk diri supaya lebih berani dan tidak lari daripada masalah dalam rumah tangga, sebaliknya menguruskan permasalahan dengan mencari jalan penyelesaian.

Mengurus dan membelanjakan harta amanah Allah SWT yang menjadi satu keperluan bertujuan mencapai kehidupan diberkati.

Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Pelajari ilmu keibubapaan

Peranan suami untuk mengutip seberapa banyak ilmu memantapkan diri dan keluarga dalam urusan pengurusan harta kerana ia membabitkan kefahaman mengenai peranan nafkah isteri, anak, zakat fitrah, zakat harta, perbelanjaan, hutang keluarga.

Begitu juga dalam membesarkan anak, ibu bapa perlu tahu ilmu keibubapaan kerana dunia semakin kompleks dan sikap anak remaja juga sukar untuk difahami.

Mendalami ilmu mendidik anak memerlukan ibu bapa mendapatkan pandangan mereka berpengalaman. Allah SWT menurunkan undang-undang keluarga Islam sebagai panduan ke arah melahirkan keluarga yang baik.

Hanya keluarga baik dapat membentuk masyarakat cemerlang yang akhirnya menjadikan negara juga cemerlang.

Ilmu rumah tangga penting sebagai permulaan melahirkan insan kamil selain memastikan hak ahli keluarga terpelihara.

Semua yang dilakukan akan menghasilkan keputusan baik apabila dilakukan berpandu kepada ilmu yang benar.

Didik anak berinteraksi bersama al-Quran



Yusof berkongsi ilmu bertajuk, Anak-anak jambatan ke syurga.
SETIAP pasangan mendambakan cahaya mata untuk menjadikan hidup sekeluarga lebih bermakna. Namun apa yang lebih penting bagaimana ibu bapa membimbing anak masuk syurga.

PU Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof Arbain, 34, berkata, ALLAH SWT menyebut dalam al-Quran bahawa anak adalah perhiasan hidup kepada ibu dan bapa.

“Ini bermakna ibu bapa berasa seronok dan bahagia jika ada anak. Ibu bapa juga adalah anak kepada kedua orang tuanya.

“Mereka yang mempunyai ibu bapa di dunia patut bersyukur kerana dapat menikmati kebahagiaan bersama,” kata beliau dalam sesi taddabur dan tazakkur Anak-anak jambatan ke syurga dalam program Children #QuranHour, di Putrajaya, 4 Disember lalu.

ALLAH berfirman: “Harta dan anak-pinak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal-amal soleh yang berterusan adalah lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah Al-Kahf: 47)

Yusof berkata, selama ini kita membaca al-Quran tetapi usaha untuk memahami isi kandungannya adalah perkara penting. Selain menjadi perhiasan dunia, anak juga disebut oleh ALLAH sebagai ujian kepada ibu bapa.

Firman-Nya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH jualan pahala yang besar.” (Surah At-Taghabun: 15)

Yusof menjelaskan sebagai perumpamaan, anak kita belajar di sekolah ada banyak ujian dan kebanyakan mereka mahukan ujian yang senang. Begitu juga anak adalah ujian ibu dan bapa.

“Untuk dapat ujian yang senang, anak perlu memudahkan urusan ibu bapa dan keluarga, dan bukan menyusahkan mereka, apatah lagi di sisi ALLAH dan Rasul-Nya.

Setelah mengetahui anak sebagai perhiasan dan ujian keluarga, bagaimana kita hendak masuk syurga sekeluarga? Oleh itu anak itu satu jambatan yang kuat untuk bantu ibu bapa masuk syurga,” katanya.

Menurut beliau, cara menjadi anak ‘jambatan ke syurga’ pertama selalu doakan ibu bapa untuk mendapat keampunan daripada ALLAH. Antara doa untuk ibu bapa terdapat dalam Surah Ibrahim, ayat 41 dan Surah Al-Israk ayat 24. Apabila  kita membaca dan memahami al-Quran, sebenarnya terdapat banyak doa yang anak boleh amalkan. Doa anak yang soleh adalah mustajab, yakni ALLAH akan makbulkan.

PENGUKUHAN KELUARGA

Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff berkata Children #QuranHour adalah program julung kali diadakan selepas #QuranHour diperkenalkan pada 2013.

“Sempena 1438H, #QuranHour pada Muharram dan Safar dimulakan dengan aktiviti pengukuhan keluarga dengan al-Quran melalui My Family #QuranHour. Antaranya, program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) dijalankan setiap Ahad jam 4 pagi, selama lapan siri sejak 9 Muharram lalu.

“Bermula Rabiulawal ini, kita memasuki fasa My School #QuranHour dengan mengadakan Children #QuranHour. Ini berketepatan dengan Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF) ke-4, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, sejak 2 Disember lalu.

“Kita hendak mengukuhkan keluarga dengan tema Ayah pemimpin masuk syurga sekeluarga, Ibu sebagai pendamping masuk syurga sekeluarga dan Anak-anak sebagai jambatan ke syurga,” katanya.

Tambah beliau, walaupun anak menyertai Children #QuranHour sejam bersama al-Quran, namun ia diharapkan menjadi cetusan untuk mereka berinteraksi dengan al-Quran. Ini bermakna anak tidak sahaja fokus terhadap kuantiti bacaan al-Quran, tetapi membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

“Kita harap anak-anak buka mata bahawa peranan mereka sangat penting sebagai jambatan untuk masuk syurga sekeluarga. Pengukuhan keluarga dengan al-Quran tersebut akan berterusan sehingga tiba 9 Zulhijjah 1438H untuk World #QuranHour,” katanya.

Pengerusi MICF, Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata, Children #QuranHour bersesuaian dengan MICF yang pertama kali diadakan di masjid. Lebih 80 peserta Kem Solat Kanak-Kanak sempena MICF turut berpeluang berinteraksi bersama al-Quran.

Seramai 300 peserta kalangan ibu bapa dan anak menyertai Children #QuranHour sempena MICF,  anjuran Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Sinar TV, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Zurriyat Adventures Sdn Bhd, Rumah Ngaji dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi).

Selepas sesi bertaddabur dan tazakkur, acara bacaan al-Quran dimulai dengan Surah Al-Fatihah oleh Yusof, Surah Al-Baqarah dari ayat 1 hingga 5 oleh adik Zafiera Nabila Kamarudin, 8, solidariti bacaan Surah Al-Baqarah oleh semua yang hadir, dan bacaan 24 surah terpilih oleh 24 peserta Cilik Rumah Ngaji @Al-Jauharah.

Penggerak Rumah Ngaji @Miri yang juga Wakil Rumah Ngaji Negeri Sarawak, Alina Abdul Razak berkata, seramai 70 kanak-kanak turut serta Children #QuranHour di Pusat Penerangan Islam, Kuching pada hari tersebut.

Tags: al-quran, didik, guru, ibubapa, ilmu, keluarga
Subscribe

Posts from This Journal “ilmu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments