mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bukan semua tasyabbuh dilarang, Harus ucap 
Merry Christmas

Harus ucap 
Merry Christmas

APA hukum dan bolehkah seseorang Muslim mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada mereka yang beragama Kristian?

Soalan ini sering berlegar-legar saban tahun dalam kalangan umat Islam.


ISLAM mengharuskan ucapan Krismas dengan syarat ia tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan atau memuliakan agama lain. - GAMBAR HIASAN

Ia juga sering kali menimbulkan polemik dan salah faham. Malah menjadi semakin rumit bagi mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan bukan Muslim baik 
secara kekeluargaan, kerjaya dan tinggal dalam kawasan kejiranan sama.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Bayan Linnas siri ke-81, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama muktabar dan situasi semasa Malaysia, ucapan itu kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah 
diharuskan.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan,” (Surah al-Maidah: 8)

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana ketidakadilan yang dilakukan akan menimbulkan kerosakan yang boleh menghancurkan kehidupan bersosial, memutuskan hubungan antara individu 
dan datang malapetaka yang besar.”

GARIS PANDUAN (DHAWABIT) UMUM

1 Ucapan tahniah adalah sebagai tanda perpaduan, hubungan kemasyarakatan yang erat dan harmoni. 
 Adapun melibatkan diri dalam upacara-upacara keagamaan khusus mereka, ia tetap tidak dibenarkan di sisi Islam.

2 Ucapan tersebut tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan, memuliakan dan menyetujui agama lain serta tidak juga menumpahkan kasih sayang terlalu tinggi melangkaui batas agama.

3 Ucapan tahniah tidak mengandungi sebarang bentuk penghargaan yang menyalahi syarak seperti menghadiahkan arak dan perkara tidak diizinkan dalam Islam.

4 Ucapan tersebut adalah kepada bukan Muslim yang tidak bermusuh dengan Islam, khususnya kepada seseorang yang mempunyai ikatan tertentu seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman pengajian dan rakan sekerja.

5 Menghadiri jemputan makan malam bukan Muslim, menziarahi bukan Muslim dan bertukar-tukar hadiah juga adalah dibenarkan. 
 Rasulullah SAW pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Sayidina Umar al-Khattab r.a.juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang tidak memeluk Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 memutuskan bahawa: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam 
kiriman ucapan tersebut.”


Bukan semua tasyabbuh dilarang

Baru-baru ini, penulis menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp berhubung mengucapkan selamat hari Krismas. Mesejnya dibuat dalam bentuk perbualan antara seorang Muslim dan Kristian. Kesimpulan daripadanya adalah melarang umat Islam mengungkapkan ucapan tersebut kerana ia dikatakan tasyabbuh (menyerupai) orang Kristian.

Memang ulama berbeza pandangan dalam hal ini. Antara mereka yang berpendapat hukumnya haram secara total adalah ulama silam (mutaqaddimin) seperti Syeikh Ibn ­Taimiyyah dan Syeikh Ibn Qayyim. Adapun ulama kontemporari (muta’akhkhirin) yang sependapat termasuklah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin (ulama terkenal Arab Saudi) dan Syeikh Abdul Aziz Baz (bekas Mufti Besar Arab Saudi).

Secara asasnya, pengharaman itu berdalilkan firman Allah SWT yang bermaksud: “..dan (hamba-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan.” (al-Furqan: 72)

Bagaimanapun, hidup dalam masyarakat maj­muk ­seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. ­Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia). Ini termasuklah dalam isu hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam. ­Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas, Ahad ini.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (ali-’Imran: 19)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah memutuskan bahawa:

1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Mengulas isu ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka. Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran.” (rujuk al-Mumtahanah: 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Al-Imam Ibnu Nujaim al-Hanafi rahimahullah berkata: “Ketahuilah, bahawa menyerupai Ahlul-Kitab (Yahudi-Nasrani) tidak dimakruhkan dalam semua tasyabbuh. Kita makan dan minum seperti mereka lakukan. Tasyabbuh yang haram itu, dalam perbuatan yang memang tercela dan perbuatan yang memang bertujuan tasyabbuh dengan mereka.” (Al-Imam Ibnu Nujaim al-Hanbali, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, bab 2 hal 11). - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 23 Disember 2016 4:30 PM

Tags: krismas, kristian, ucapan
Subscribe

Posts from This Journal “ucapan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments