mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Cinta beri kekuatan, tahan dugaan

CINTA punya kuasa luar biasa yang tidak dapat ditandingi yang bertandang tepat pada masa dan keadaannya.

Cinta, nada yang sinonim dengan remaja, melatari kehidupan belia. Walau janggal pada yang tua, namun wujudnya mengundang bahagia.

Cinta adalah subjek malar segar yang tidak pernah usang dimamah usia dan tidak dimakan masa. Cinta didasari rasa yang berkait dengan hati.

SOLAT dan doa menambahkan dan mengukuhkan kecintaan kepada Ilahi.


Justeru, tumbuh tamsilan jatuh hati saat jiwa rurut serta tersangkut pada rasa kasih, sayang dan cinta.

Pada masa sama, hati adalah raja yang akan menentukan hala tuju jasad seperti mana sabda Rasulullah SAW: "Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging, bila ia baik nescaya seluruh jasad akan baik dan bila ia rosak, nescaya seluruh jasad akan rosak pula, ketahuilah segumpal daging itu ialah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati akan mengarahkan seluruh pancaindera untuk mengikut hala tuju yang dibawanya. Jika dituju ke arah kebaikan maka baik perlakuan yang diterjemah oleh pancaindera.

Begitu juga jika hati menghala kepada kejahatan, akan menatijahkan kejahatan pada perbuatan.

Justeru, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm menyarankan supaya memenuhkan hati dengan cinta yang baik dan mulia supaya jasad lebih terkawal serta bahagia kerana tiada dua cinta dalam satu hati.

Cinta kepada Pencipta

Katanya, sewajarnya ia dipenuhi dengan cinta kepada Ilahi kerana ketika cinta Allah SWT menetap di hati, cinta yang lain akan sirna. Namun, jika hati ditakluki oleh makhluk, nescaya cinta Allah SWT sukar menjengah.

Melalui al-Quran, Allah SWT mengulangi kalimat berkaitan cinta tidak kurang daripada 80 kali. Maha Suci Allah tidak akan meletakkan sesuatu yang picisan dan terpinggir di tempat mulia. Jika sekali disebut dalam kitab suci sudah dikategorikan penting apatah lagi jika berulang-ulang.

Allah SWT menegaskan sifat orang Mukmin menerusi firman yang bermaksud:"Dan di antara manusia ada orang yang mengangkat sembahan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang yang beriman sangat cinta kepada Allah." (Surah al-Baqarah, ayat 165)

Sesungguhnya seseorang itu akan menjadi hamba kepada perkara yang dicintainya. Tatkala mencintai seseorang, seluruh tenaga dan upaya akan dipusatkan untuk memburu serta meraih kembali rasa cinta.

Segala-galanya sanggup dikorbankan termasuk masa, harta waima nyawa sanggup dipertaruhkan bagi membuktikan kecintaan mendalam.

Cinta memberi kekuatan untuk menahan dan menempuh dugaan, kepahitan serta kesengsaraan.

Tanpa batas baik mahupun buruk cinta yang diburu, pasti akan menagih keputusan, tindakan dan pengorbanan yang tidak terduga. Implikasi cinta yang buruk terkadang berakhir dengan tergadai maruah diri dan keluarga.

Kebaikan tanda cinta

Lain pula cerita jika cinta diarah kepada kebaikan akan memberi implikasi tinggi dalam nilai sanubari dan harga yang bakal dikecapi.

Contoh terbaik adalah sahabat yang sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga ke jalan Allah SWT dan menjadikan diri galang ganti semata-mata menyelamatkan nyawa Rasulullah SAW.

Segala-galanya dilakukan untuk meraih keredaan Allah SWT dan kecintaan Rasulullah SAW.

Semua bentuk sumber di seluruh kehidupan di dunia dan akhirat berpunca daripada-Nya termasuklah kejayaan, kebahagiaan, kekayaan, ketenangan dan keadilan.

Saat hati dilukai dan merintih inginkan sesuatu, hakikatnya hati dan diri itu sedang menginginkan Allah SWT. Ketika kejahilan membelenggu, ilmu yang dipinta itu juga sebenarnya menunjukkan keinginan diri kepada Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Justeru, yakinlah rasa yang lahir daripada setiap ujian, tekanan, kekurangan dan desakan petanda keinginan mendalam kepada Allah SWT.

Kualiti kehidupan yang terjejas disebabkan rasa takut dan dukacita akan dapat ditangani menerusi cinta kepada Allah SWT. Mulakan dengan mendekatkan diri kepada perkara dan insan yang dekat dengan Allah SWT terutamanya Rasulullah SAW.
Tags: cinta, dugaan
Subscribe

Posts from This Journal “cinta” Tag

  • Cinta Ilahi hati tenang, bahagia

    Islam itu agama yang indah kerana diciptakan oleh kuasa yang tiada tolok bandingnya. Apabila Allah SWT menciptakan setiap manusia, Allah lebih tahu,…

  • Nikmat mencintai Allah SWT amat besar ganjarannya

    KITA mungkin atau kerap kali berada di persimpangan antara kehendak dunia dan akhirat. Tetapi apa yang pasti, kita sering kali terpaksa pilih satu…

  • Cinta menuntut pengorbanan

    PERHATIKAN dan selami selembar demi selembar kisah Nabi Ibrahim yang diceritakan di dalam al-Quran. Detik-detik mendebarkan yang dialami oleh Nabi…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments