mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Zakat Ditaati; Kebahagiaan Dinikmati ”

Petikan Khutbah Jumaat 23 Disember 2016:JAIS

 “Zakat Ditaati; Kebahagiaan Dinikmati ”

Kebahagiaan merupakan matlamat hidup setiap insan. Pelbagai usaha dilakukan demi mencapai ketenangan, ketenteraman dan kepuasan dalam hidup ini. Islam memandu manusia untuk beroleh kebahagiaan sesuai dengan syariat Allah SWT.

jais.jpgKebahagiaan akan diperolehi apabila kita mentaati segala perintah Allah SWT termasuklah kita membantu insan lain yang dalam kesusahan seperti membayar zakat. Allah SWT akan menganugerahkan kebahagiaan dan ketenangan kepada manusia apabila mereka bersifat pemurah, prihatin dan kasih kepada orang lain.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 103;“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (Ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha mengetahui”.

Sesungguhnya ibadat zakat yang disyariatkan kepada manusia menjanjikan kebahagiaan kepada diri dan masyarakat, kemakmuran negeri dan negara serta kejayaan di dunia dan akhirat.

Antara kebahagiaan yang dijanjikan oleh Allah SWT ialah;

1. Berzakat akan menjadikan kita hamba yang bertaqwa. Maka dengan taqwalah, Allah SWT mengurniakan kejayaan dan kemudahan dalam hidup kita di dunia dan di akhirat seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Lail, ayat 5 hingga 11 yang bermaksud; “Jelasnya; adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya), serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikan kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)”.

2. Sesungguhnya zakat merupakan pelaburan yang amat menguntungkan kita di akhirat kelak. Gandaan pahalanya bukan sahaja satu atau sepuluh tetapi tujuh ratus kali ganda banyaknya. Malah ia sebenarnya melebihi daripada apa yang mampu kita gambarkan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261 yang bermaksud; “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.

3. Dengan berzakat, ia merupakan jalan yang disediakan oleh Allah SWT kepada kita untuk mencapai keredhaan-Nya. Disamping itu, ia menjadi tazkiyah an-nafs untuk kita tidak lalai dan leka dengan nikmat yang diperolehi.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat 37 dan 38 yang bermaksud; “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta membayar zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya, dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung”.

4. Zakat dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf. Disamping itu, ia merupakan bentuk penyucian harta dan jiwa bagi insan yang menunaikannya. Bagi golongan asnaf yang menerima sumbangan zakat, mereka akan dapat meningkatkan ekonomi keluarga, seterusnya menghilangkan rasa iri hati dan dendam sesama manusia. Natijahnya, kehidupan masyarakat akan aman, bersatu-padu, kestabilan ekonomi akan wujud, kecemerlangan pendidikan dan kesatuan ummah akan menjadi mantap dan jitu.

5. Zakat berperanan untuk mengelakkan daripada berlakunya penumpuan harta di kalangan golongan tertentu sahaja dalam masyarakat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Ali R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan (zakat) keatas orang-orang kaya dikalangan umat Islam pada harta mereka dengan batas sesuai dengan kecukupan fuqara’ antara mereka. Orang-orang fakir tidak akan kekurangan pada saat mereka lapar atau tidak berbaju kecuali kerana perilaku orangorang kaya di antara mereka. Ingatlah bahawa Allah akan menghisab mereka dengan keras dan mengazab mereka dengan pedih”.

Hadis ini memberi peringatan kepada kita semua, khasnya kepada orang-orang kaya supaya melaksanakan kewajipan zakat sebagai memenuhi amanah menyerahkan hak fakir dan miskin yang ada di dalam harta yang dimiliki.

Sebagai kesimpulannya, khatib ingin mengingatkan kepada sidang Jumaat sekelian;

1. Umat Islam wajib mengeluarkan zakat kerana ianya sama dengan kewajipan menunaikan solat.

2. Mereka yang enggan dan menafikan kewajipan zakat boleh terkeluar daripada Islam.

3. Tunaikan zakat atas harta yang kita miliki seperti emas, wang simpanan, perniagaan, pendapatan yang diperolehi, pelaburan saham, pertanian dan penternakan demi mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat,

4. Golongan yang enggan mengeluarkan zakat akan ditimpakan azab yang amat dahsyat di akhirat nanti.

“(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”. (al-Tawbah : 35).
Tags: khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments