mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Kebaikan Diamali, Kesejahteraan Hidup Dinikmati

Petikan Khutbah Jumaat 06 Januari 2017: JAIS

“Kebaikan Diamali, Kesejahteraan Hidup Dinikmati ”

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran yang mengandungi panduan bagaimana untuk memperoleh kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat. Jika diteliti, sememangnya antara intipati ajaran Islam adalah mengenai kesejahteraan. Perkataan Islam itu sendiri bermakna kesejahteraan dan keselamatan. Oleh itu, tanpa kesejahteraan, manusia akan sentiasa dibelenggu dengan kerisauan dan ketakutan.

jais.jpgSyariat Islam bertindak sebagai sumber kehidupan yang teratur dan harmoni untuk mewujudkan asas-asas keselamatan dan kesejahteraan berlandaskan kepada memelihara lima perkara utama iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Jika syariat Islam ini diabaikan, pelbagai masalah dalam kehidupan harian, urusan negara, ekonomi dan sosial akan timbul dan menyebabkan Islam hanya tinggal pada nama sahaja.

Islam telah menunjukkan suatu kaedah yang boleh menjaga kesejahteraan iaitu kaedah Al-Khair (kebaikan) dan At-Taqwa. Oleh kerana taqwa kepada Allah dan amalan-amalan kebaikan yang dikerjakan seperti solat dan zakat yang ditunaikan pasti memberikan kejayaan kepada umat Islam.

Kejayaan ini termasuklah keamanan yang dinikmati. Ini sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj ayat 77: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).

Firman Allah ayat 73 Surah Al-Anbiya’ untuk mencapai kesejahteraan kepimpinan mereka dan yang dipimpin:“Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami”

Islam adalah agama yang menganjurkan kebaikan dan tidak menyuruh kepada keganasan atau ekstremis yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Malah Islam menggesa umatnya untuk bermasyarakat seperti amalan solat berjemaah dan membantu yang susah ibarat sekawan lebah yang sama-sama membina sarang dari bahan-bahan sekitarnya dan sentiasa aktif di dalam proses pembinaannya. Ini bermakna amalan ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji yang ditunaikan bersama adalah satu proses pembinaan diri dan masyarakat ke arah kesejahteraan.

Umat yang berjaya mengatasi bangsa lain dalam kemajuan dan tamadun ilmu sains, pendidikan, perubatan, ketenteraan dan sebagainya.

Islam tidak pernah menyekat kebebasan kepada umatnya dalam urusan-urusan kehidupan seperti mencari rezeki, berpolitik, berhibur, bersukan dan sebagainya. Malah sebaliknya diberikan kebebasan di dalam batas-batas yang ditentukan oleh Allah SWT. Islam menyuruh kita mencari kebaikan dalam urusan-urusan ini untuk mencapai kepentingan umum dan diri sendiri tetapi dalam masa yang sama menolak segala unsur-unsur haram, penipuan dan kemungkaran. Ini kerana unsur-unsur ini boleh mengakibatkan kemudharatan diri, kemusnahan harta benda, kemunduran ekonomi dan kesengsaraan hidup yang akhirnya merosakkan masyarakat dan negara.

Al-Quran telah menceritakan bahawa manusia yang tiada amalan taqwa dan kerja-kerja kebaikan sebaliknya banyak dosa dan maksiat yang dilakukan akan mengundang kepada kebinasaan dan kehancuran. Sebagai contoh, kaum Nabi Nuh tenggelam dalam banjir besar kerana menghina Nabi Nuh AS, kaum ‘Ad yang mempunyai kepakaran membina bangunan telah dibinasakan oleh Allah dengan ribut angin sejuk lagi kencang selama 7 malam 8 hari kerana kemaksiatan mereka, kaum Tsamud pula binasa semua di kediaman masing-masing akibat gempa bumi yang dahsyat kerana perbuatan syirik mereka dan akhir sekali kaum Nabi Luth yang melakukan dosa liwat musnah dengan azab turunnya hujan batu kepada mereka.

Allah SWT berfirman dalam Surah Hud ayat 82:“maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah kami, kami jadikan kaum lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada dimuka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu."

Allah turunkan kesejahteraan dan keberkatan sebagaimana firman Allah ayat 96 Surah Al-A’araf yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi tetapi mereka dustakan, lalu kami seksa mereka lantaran apa yang mereka telah usahakan”.

Islam amat menggalakkan umatnya agar memperbanyakkan amalan kebaikan yang memberikan faedah yang berpanjangan dan boleh dinikmati kita semua iaitu nikmat kesejahteraan. Negara sejahtera dan negeri berkat kerana amalan kebaikan penduduknya. Amalan kebaikan orang lain pun, kita dapat merasai kesan kebaikannya. Allahu Akbar! Besarnya nikmat kurniaan Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:“…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, dengari dan hayatilah pedoman dan panduan berikut:

1. Umat Islam hendaklah menyuburkan amalan kebaikan dan taqwa di dalam diri pada sepanjang masa.
2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa kesejahteraan datang dengan sebab amalan kebaikan dan taqwa.
3. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa kemusnahan dan kebinasaan pula datang menimpa atas sebab perbuatan dosa dan kemungkaran.
4. Umat Islam hendaklah hormat-menghormati, tolong-menolong dan nasihat-menasihati dalam kebaikan dengan semangat persaudaraan Islam.

" Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (At-Taubah :71)

Tags: kebaikan, kesejahteraan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kebaikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments