mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Memperkasa Generasi Khaira Ummah

Petikan Khutbah Jumaat: 13 Januari 2017 / 14 Rabiulakhir 1438 JAWI

"Memperkasa Generasi Khaira Ummah"

Kajian mengenai masa hadapan merupakan suatu bidang ilmu yang agak asing di kalangan sebilangan besar umat Islam. Walau bagaimanapun, sejak awal tahun 1970an, ilmu ini mula mendapat perhatian yang serius oleh pemikir Islam secara khusus, serta membincangkannya sesuai dengan konteks masyarakat Islam hari ini.
jawi_logo.jpg
Perkara utama yang perlu difahami ialah konsep masa hadapan membolehkan manusia bergerak dan bertindak. Walau pun hakikatnya, manusia tidak mampu mengubah atau mengembalikan masa silam tetapi manusia mampu mengawal masa hadapan yang titik mulanya adalah masa kini.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Qasas ayat 77:Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”

Namun, perlu diingatkan bahawa mengkaji masa hadapan bukanlah untuk meramal masa hadapan. Bahkan ia adalah suatu disiplin ilmu yang bertujuan untuk meneroka pelbagai altenatif masa hadapan yang timbul hasil daripada beberapa keputusan dan tindakan yang diambil pada masa kini.

Justeru, ia lebih bersifat suatu ilmu alat untuk memahami perubahan yang berlaku dalam sesuatu masyarakat serta memberi panduan dalam merencana kaedah penyesuaian diri yang perlu dilaksanakan untuk menangani perubahan tersebut

Kajian masa hadapan ini juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar sesuai dengan amanah kita sebagai khalifah Allah SWT yang membuat segala perkara yang baik termasuklah kebajikan dan pembinaan sesebuah ketamadunan Islam. Kemuncaknya, kita mencapai hubungan rohani yang hebat iaitu Taqarrub ilallah (mendekati Allah SWT).

Hal yang tersebut perlu direalisasikan dalam bentuk kenegaraan dan membina sebuah tamadun Islam yang gemilang seterusnya dapat melahirkan Khaira Ummah. Ini selari dengan pengumuman Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang menginginkan generasi masa depan Malaysia yang membawa kepada segala kebaikan dan manfaat.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110: Maksudnya: “Kamu adalah sebaik baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik”.

Khaira Ummah perlu dijadikan teras untuk mempertahankan kedaulatan Islam dan bangsa bertiang serikan kepada tiga prinsip utama iaitu:

Pertama: Ummatan Wasata iaitu umat yang mengambil pendekatan berimbang, adil dan tidak ekstrim. Sebagaimana unjuran pendekatan prinsip wasatiyyah yang dibawa Malaysia selama ini. ia juga bercirikan keterbukaan pandangan dan empati bagi melahirkan norma masyarakat majmuk yang matang serta harmoni.

Kedua: Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba melaksanakan kebajikan. Sifat ini akan melahirkan masyarakat berilmu yang mencipta kemajuan, masyarakat yang berbudaya saintifik dan teknologi penaakul (ڤنعقول (alam yang berdaya saing, berkeyakinan dan sentiasa mahu maju ke depan di luar kepompong selesa watan mahupun melangkau sempadan.

Ketiga: Yanfa’un Nas iaitu mengambil daripada pesanan Nabi SAW bahawa yang terbaik di kalangan umat Islam adalah yang paling bermanfaat kepada manusia. Dengan itu, generasi yang terbina akan mengangkat kesejahteraan dan kebajikan masyarakat.

Dalam mengangkat kembali kemasyhuran Islam seperti di abad ke-8 dan ke-9, marilah kita pegang kepada pandangan Ibnu Khaldun tentang tiang asas terbinanya tamadun iaitu

(i) penguasaan ilmu sains, matematik dan logik.

Di dalam dunia serba moden, Islam perlu mengambil semula tempatnya di puncak dunia dengan menguasai kemahiran yang penting dalam dunia moden.

(ii) keupayaan untuk mentadbir sebuah masyarakat dengan adil dan saksama dengan cara moden yang terbaik untuk kebaikan masyarakat; dan

(iii) kemampuan untuk terus hidup di dalam keadaan yang mencabar dan tidak sekali-kali mengaku kalah.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Masyarakat Islam perlu memberikan tumpuan terhadap pembangunan generasi yang berkualiti Khaira Ummah ini untuk masa hadapan yang lebih baik.

Kedua: Komitmen semua pihak termasuk pihak berwajib amat penting dalam memastikan kualiti generasi ini tidak dirosakkan dengan program-program yang tidak bermanfaat.

Ketiga: Agenda pemerkasaan generasi muda mesti dilaksanakan secara seimbang dan holistik mencakupi aspek rohani, jasmani, emosi dan juga intelek.

Marilah kita merenungi firman Allah SWT di dalam Surah An Nisa’ ayat 9 yang berbunyi: Maksudnya: “Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang yang jika ditakdirkan mereka meninggalkan anak-anak yang daif di belakang mereka akan merasa bimbang terhadap anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul.”.
Tags: generasi, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments