mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Karam Di Lautan Kesesatan ”

Petikan Khutbah Jumaat 03 Februari 2017: JAIS

"Karam Di Lautan Kesesatan ”

Umat Islam wajib menjaga akidah dengan baik dan sempurna. Penjagaan akidah dengan baik dan sempurna adalah matlamat terpenting antara matlamat utama pensyariatan Islam iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Penjagaan akidah adalah amat penting bagi menjamin kemaslahatan beragaman umat Islam sepertimana kita bersungguh-sungguh menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

jais.jpgDemikianlah kepentingan Maqasid Syariah (ة َ ع ْ َ ِ س َ ش ْ ِصد ا َ ق َ م (dalam menjamin kemaslahatan beragama umat Islam supaya tidak terperosok dalam kancah kesesatan dan penyelewengan yang akhirnya membinasakan kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al- An’am ayat 153;“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) menceraiberaikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran, fahaman atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam, sedangkan ianya bukan daripada ajaran Islam, bahkan bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sehingga tahun 2016, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memfatwakan sebanyak 41 ajaran atau fahaman yang sesat dan menyeleweng, antaranya ialah Qadiani, Syiah, Liberalisme agama, Millah Abraham, Hizbut Tahrir, Kumpulan Negara Islam Indonesia, Tariqat Naqsyabandiah Khalidiah di bawah pimpinan Md. Aleh Solihin, Tariqat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan banyak lagi.

Antara faktor yang mendorong seseorang itu terjebak dengan ajaran sesat ialah kejahilan dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Selain itu, faktor Iman yang lemah juga akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan pujukan dan hasutan golongan perosak akidah yang mungkin berselindung disebalik imej Islam.

Terdapat 216 ciri ajaran sesat yang wujud dan antara ciri utama ajaran tersebut yang sama dalam kebanyakan ajaran sesat ialah:

1. Memesongkan pentafsiran ayat Al Quran;
2. Tidak wajib melakukan solat Jumaat;
3. Mendakwa perlu membayangkan wajah guru ketika beribadat ;
4. Menggunakan buku yang bertentangan dengan hukum syarak;
5. Mengubah dan menyeleweng zikir-zikir bersesuaian dengan ajaran;
6. Mendakwa ajaran mereka adalah wahyu dari Allah;
7. Menambah atau menterjemah syahadah dengan sendiri;
8. Mengkafirkan orang lain yang tidak mengikut ajaran mereka;
9. Mempercayai pengamalan nikah batin ;
10. Mendakwa diri (guru) sebagai Imam Mahdi;
11. Mengamalkan taqiyyah iaitu berpura-pura mengamalkan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 44;“Tidakkah engkau memerhatikan (Wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan), dan mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan”.

Percayalah, tiada jalan pintas ke syurga. Tiada pahala percuma tanpa ibadah yang berpaksikan kepada akidah yang benar.

Mimbar Jumaat ingin menyeru dan merayu para Jemaah supaya memberi perhatian kepada beberapa perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah menjauhi dan menolak setiap ajaran dan fahaman yang menyalahi akidah dan amalan Ahli Sunnah wal Jamaah.
2. Umat Islam hendaklah mendalami ilmu agama daripada guruguru yang bertauliah serta diyakini pengajarannya yang benar dan tepat.
3. Umat Islam hendaklah melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang betul dan menyuburkan roh agama dalam jiwa anak-anak supaya tidak terpedaya dengan anasir-anasir sesat.
4. Umat Islam yang terlibat dalam mana-mana ajaran sesat hendaklah segera bertaubat, meninggalkan ajaran tersebut dan tidak menyebarkannya lagi.

“Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya”. (Ibrahim ; 3).
Tags: khutbah, sesat
Subscribe

Posts from This Journal “sesat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments