mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Pendidikan Anak Satu Kewajipan ”

Khutbah Jumaat : 10 Februari 2017 JAIS

“Pendidikan Anak Satu Kewajipan ”

Anak-anak merupakan anugerah daripada Allah SWT, sekaligus ianya menjadi suatu amanah yang wajib ditunaikan tanggungjawabnya. Disamping ia juga merupakan ujian dari Allah SWT untuk membuktikan siapakah yang layak menerima ganjaran jais.jpgbesar yang dijanjikan. Jika kita berjaya, Allah mengurniakan pahala yang amat besar.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taghabun ayat 15;  “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar”.

Tugas utama ibubapa terhadap anak-anak adalah memberikan ilmu yang secukupnya, sama ada melalui pendidikan di rumah mahupun di sekolah.

Adapun ilmu yang utama untuk diterapkan ke dalam diri mereka adalah ilmu keagamaan dan juga penekanan terhadap akhlak-akhlak yang mulia.

 Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 74 ;“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteriisteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa”.

Untuk memperkukuhkan ilmu dalam diri anak-anak, ibubapa mestilah meluangkan masa untuk duduk bersama mereka dan membantu mengulang kaji pelajaran yang dipelajari di sekolah.

Bantulah mereka dengan kemampuan yang ada pada diri kita, sama ada dengan buah fikiran mahupun semangat dan motivasi.

Keakraban kita sebagai ibubapa dengan anak-anak terutama dalam membantu mengatasi masalah-masalah persekolahan dan masalah-masalah peribadi, sekaligus dapat menjauhkan mereka daripada perkara-perkara yang negatif seperti ;

1. Keluar berpeleseran kerana inginkan perhatian orang lain,
2. Bersikap kurang ajar terhadap orang tuanya,
3. Mengambil jalan mudah menyelesaikan masalah dengan dadah dan sebagainya.

Ibubapa juga bertanggungjawab menyedia dan mewujudkan suasana pembelajaran yang sebaiknya bagi anak-anak di rumah yang aman dan tenteram.

ibubapa perlu berperanan menanamkan sifat sabar dalam jiwa anak-anak.

Didiklah anak-anak agar sentiasa melazimkan diri dengan doa kerana sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi orang yang beriman dan bersabar, bahkan ianya sangat membantu kejayaan seseorang pelajar.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 87 ;“… dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Didiklah anak-anak supaya menghormati guru sebagaimana mereka menghormati ibubapa.

Ingatlah,tanpa keredaan guru, ilmu yang dipelajari oleh anak-anak tidak akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

Antara adab-adab terhadap guru adalah ;

1. Sentiasa memulakan salam apabila bertemu atau berselisih dengan guru.
2. Tidak membantah kerja-kerja atau tugasan yang diberikan oleh guru.
3. Tidak menyinggung perasaan guru sama ada melalui percakapan atau perbuatan.
4. Meminta izin sebelum bertanya sesuatu.
5. Merendahkan diri, mengelakkan daripada berhujah dengan guru.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Israk’ ayat 23 ;“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.

Mengakhiri khutbah hari ini mimbar ingin berpesan agar;

1. Umat Islam khususnya ibu bapa hendaklah menerapkan pendidikan agama terhadap anak-anak dan seluruh ahli keluarga merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak.

2. Umat Islam hendaklah memperuntukkan masa tertentu untuk bersama anak-anak dan membantu menyelesaikan sebarang masalah harian mereka.

3. Umat Islam mestilah mewujudkan persekitaran yang baik dan kondusif untuk proses pendidikan yang lebih berkualiti kepada anak-anak.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa memberi galakan dan rangsangan kepada anak-anak supaya mereka menjdii orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (at-Tahrim ; 6).
Tags: anak, guru, khutbah, pendidikan
Subscribe

Posts from This Journal “pendidikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments