mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tepis kekeliruan berpoligami

SESUNGGUHNYA dunia ini sudah sampai ke penghujung. Itulah yang boleh diputuskan apabila mutakhir ini muncul segelintir generasi yang memiliki pemikiran sebagaimana Barat. Ada yang nampak jelas kebatilannya dan ada juga kelihatan baik tetapi terdapat simpang siur yang disembunyikan sehingga menimbulkan keraguan sesama Muslim.

Kekeliruan untuk memahami konsep poligami yang sebenar ini telah menimbulkan perdebatan sengit sehingga terjadi penolakan terhadap hukum poligami.

Antara kenyataan yang sering dimomokkan, poligami dianggap sebagai suatu bentuk penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita. Ada pula sesetengahnya yang tanpa segan mengatakan tidak kepada poligami dan sebahagian pula menentang secara halus.



Kenapa begitu? Marilah kita rungkai perselisihan ini menurut al-Quran dan as-Sunnah. Sepertimana firman ALLAH yang bermaksud: "Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwini wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwini) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya." (Surah An-Nisaa: 3)

ALLAH membolehkan seorang suami itu mengahwini lebih daripada satu isteri, tetapi harus bersikap adil dan yakin tidak akan berbuat aniaya dalam urusan pembahagian giliran serta nafkah.

USAH DISALAH GUNA

Poligami, sungguhpun dibenarkan dalam Islam, namun sering menimbulkan kontroversi. Isu keadilan, hak dan kemampuan adalah antara persoalan yang kerap timbulkan.

Pendakwah, Ustazah Noraslina Jusin berkongsi dalam Rehal mengenai pertanyaan ramai wanita di luar sana. Antara soalan yang sering menerjah, adakah poligami itu membawa kebaikan atau penganiayaan bagi kaum wanita?

"Saya menyedari, setiap kali persoalan poligami ini diutarakan, pasti ada dua pandangan yang mendominasi. Walaupun, kedua-dua kumpulan ini tidak mengharamkan poligami, tetapi satu pihak dilihat agak longgar sehingga seakan-akan menggalakkannya, sementara satu pihak lain kelihatan sangat rigid dan menetapkan syarat yang ketat sehingga menggambarkan poligami ini adalah lebih baik dijauhkan!.

Oleh itu, saya berpandangan adalah baik kedua-dua sudut pandang ini ditanggapi sebagai sesuatu yang menjadi check and balance kepada perlaksanaan poligami sehingga ia tidak disalahgunakan oleh kaum lelaki yang tidak berkelayakan. Serta tidak pula menyekat golongan lelaki yang  layak berpoligami dengan usaha untuk berlaku adil, memiliki kemampuan fizikal, material dan sebagainya.

"Saya juga berkeyakinan, setiap sesuatu yang dihalalkan dalam syariat ALLAH pasti mengandungi hikmah dan kebaikan, cuma bagaimana untuk mendapatkan kebaikan itu tetap tergantung kepada individu dan bagaimana jalan melaksanakannya," katanya.

Tambah beliau lagi, kes poligami yang berantakan sehingga berlaku perceraian yang menyebabkan anak-anak hidup merana dan sebagainya, demikian itu bukan kerana pensyariatan poligami.

Punca utama permasalahan ini adalah kegagalan individu yang mengamalkan poligami tersebut. Ia tidak jauh berbeza dengan kes penganiayaan berkait pernikahan bukan poligami seperti kecurangan suami isteri, keluarga yang kucar-kacir, tanggungjawab yang tidak dilaksanakan, anak-anak menderita dan sebagainya (menjadi penyebab utama adalah individu yang bersangkutan, bukan kerana kelemahan syariat pernikahan).

Justeru, perkahwinan sama ada poligami mahupun monogami, kedua-duanya adalah syariat Ilahi. Pihak yang mencemari 'kemuliaan' itu adalah pengamal yang menjalaninya. Jika benar pelaksanaan poligami sebagaimana diwahyukan Ilahi dan dituntun Nabi SAW, kebaikan yang ada padanya pasti menyerlah dan penganiayaan kepada kaum perempuan dan anak-anak sebagaimana yang sering digembar-gemburkan dapat dipadamkan.

Demikian juga, walaupun rata-rata artikel, ruang forum dan komen berkait poligami yang tersiar banyak mengetengahkan sisi buruk pengalaman mereka berpoligami. Sedangkan masih ada sejumlah pengamal poligami yang menjalani kehidupan dalam suasana penuh harmoni. Mungkin sahaja kisah kebahagiaan mereka tidak diuar-uarkan.           

Hindari fitnah setelah berpoligami

USTAZAH Noraslina yang juga kolumnis Majalah I menjelaskan, bukan suatu keadilan bagi Muslimah lagi beriman dan berakal waras, memandang isu poligami ini dari sisi negatif berikutan 'termakan' cerita buruk poligami tanpa menambah ilmu dan maklumat mengenai kemuliaan yang terselit di sebalik pensyariatannya.

"Saya berpandangan baitul Muslim adalah asas penting untuk melahirkan masyarakat Islam yang kuat dan cemerlang. Sekiranya poligami berlaku dalam sesebuah keluarga, pihak yang terlibat harus sama-sama bersinergi menjayakannya. Jika tidak, bimbang bukan pahala diraih, sebaliknya mengundang fitnah dan padah yang menggugat harmoni."

Di pihak suami:

Berusaha semampu mungkin bersikap adil dalam semua perkara bermula dari sekecil hal sehingga sebesar-besar perkara. Jauhi sikap pilih kasih apatah lagi berat sebelah dalam tindakan (ketika membuat keputusan).

Tidak bercerita kelebihan isteri di hadapan isteri yang lain, sehingga menimbulkan kecemburuan (yang amat), permusuhan dan rasa persaingan yang kurang sihat demi merebut perhatian suami.

Sentiasa mengingatkan isteri agar berlaku adil antara mereka dalam menceritakan kebaikan yang ada pada diri isteri yang lain, tanpa diselubungi kecemburuan dan dengki. Utamakan niat melakukan kebaikan bukan untuk menarik kecintaan suami, tetapi meraih reda dan kecintaan ALLAH.

Walau bukan tujuh hari bersama, tetapi bilangan hari yang kurang itu juga mampu menyamai kualiti tujuh hari perkahwinan monogami. Ia tidak mustahil, tetapi perlu diusahakan.

Di pihak isteri pertama:

Bukanlah mudah untuk relakan suami berkahwin lagi, namun jika dilakukan untuk mendapat reda-Nya, sementelah suami pula seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga, tanamkanlah ketakwaan kepada ALLAH dengan mengutamakan kesabaran atas apa yang telah ditakdirkan.

Tidak memburukkan suami dan madu sama ada di depan atau di belakangnya. Bersikap adil dalam menilai kebaikan mereka dan diharapkan sikap yang mulia ini menjadi teladan kepada wanita yang memandang negatif kepada syariat poligami ini.

Jauhi daripada mendengar perihal buruk yang memecahbelahkan hubungan suami isteri dan ambil sikap tabayyun jika terdengar berita yang kurang menyenangkan.

Menyuburkan ukhuwah antara anak dengan madu, begitu juga sebaliknya bagi menjamin keharmonian keluarga.

Teruskan memberi khidmat bakti sebaik-baiknya kepada suami dengan memperbaiki kelemahan dan menambah baik kelebihan sedia ada.

Di pihak pihak isteri yang baru dinikahi:

Bukan mudah untuk wanita melakukan pengorbanan dengan mengahwini lelaki yang sudah beristeri. Mohonlah kepada ALLAH agar pengorbanan ini beriring ketakwaan dan kecintaan kepada-Nya.

Menggunakan waktu terluang bagi menambah amalan yang diredai-Nya, memperkaya ilmu dan mempertingkat kemahiran rumah tangga.

Hulurkan bantuan kepada madu dan anaknya, apabila mereka memerlukan pertolongan kerana ini menggambarkan sikap ihsan demi mencari keredaan ALLAH.

Berlapang dada untuk mengalah dalam sesuatu urusan keluarga.

POLIGAMI SECARA SENYAP

"Poligami terbaik menurut sunnah adalah poligami yang dilakukan dalam pengetahuan isteri pertama. Tidak digalakkan 'sorok-sorok' dalam poligami, demikian kefahaman saya.

"Walaupun, menurut enakmen undang-undang Syariah dan Keluarga Islam di Malaysia, keizinan isteri tidak diperlukan untuk berpoligami, tetapi bertindak memberitahu isteri terlebih dahulu adalah penghormatan kepadanya.

"Tambahan pula, ia bertepatan dengan salah satu Maqasid Syariah (objektif syariah) poligami itu sendiri, iaitu untuk menuntut pengorbanan perasaan isteri pertama selain isteri kedua. Pengorbanan perasaan yang berat ini jika dilakukan kerana Islam dan untuk meraih kebaikan, besar ganjarannya," katanya lagi.

Ujar beliau lagi, tindakan menyembunyikannya menyebabkan isteri kedua terpaksa berkorban perasaan, manakala isteri pertama tidak tercabar dengan ujian ini. Ia juga menjadi kayu ukur kepada kemampuan suami bagi mendapatkan persetujuan isteri pertama; selain membuktikan kelayakannya untuk membantu wanita Islam lain dengan mengahwininya.

Beliau berkata, ini menunjukkan kewibawaannya dalam menangani dua isteri secara terbuka. Kelayakan ini juga pasti akan menyumbang kepada kebijaksanaannya membahagikan peranan sebagai suami kepada dua keluarga.

ADIL DALAM BERPOLIGAMI

Kebenaran ALLAH kepada lelaki yang ingin berpoligami adalah dengan syarat mampu dan adil. Jika tidak mampu cukup memadai dengan seorang isteri.

Beliau mengulas, adil dalam poligami bukan bermaksud sama rata, tetapi sesuai, tepat dan munasabah dengan keadaan. Ringkasnya, keadilan ialah setiap pihak mendapat hak sesuai keperluannya; oleh itu, suami tidak dituntut/perlu menyediakan segala kelengkapan isteri-isterinya sama sahaja daripada bentuk, rupa, jenis, nilai dan seumpamanya antara satu sama lain, tetapi hendaklah mengikut kesesuaian isteri-isteri berkenaan dalam menunaikan hak mereka dari sudut nafkah zahir seperti rumah, pakaian, perbelanjaan harian, hak giliran (bermalam) dan bermusafir bersama.

"Jika isteri pertama memiliki anak yang ramai, maka kereta yang disediakan mungkin daripada jenis MPV, tetapi bagi isteri kedua yang memiliki anak seorang atau belum memiliki anak lagi, kereta sedan sudah memadai.

"Adapun, adil dari sudut perasaan (kecenderungan hati suami dalam mencintai isteri) tidaklah dituntut. Walaupun begitu, ini tidak bererti suami boleh mengabaikan perasaan isteri lain kerana dia lebih menyayangi isteri seorang lagi.

"Dan, pada saya, kemampuan suami untuk mengawal emosi isteri-isteri juga adalah termasuk dalam adil yang dimaksudkan. Jangan sampai, emosi isteri yang lebih disayangi diambil perhatian berat, sedangkan emosi isteri lain, ditanggapi sambil lewa," jelasnya.

SATU PILIHAN @ TAKDIR?

"Pada saya, pertanyaan ini sebaiknya dijawab oleh wanita atau isteri yang menjalani hidup berpoligami atau sedang dihadapkan dengan pilihan untuk di poligami. Hanya mereka yang mampu menjawabnya dengan tepat. Dan tentunya masing-masing memiliki jawapan yang berbeza sesuai dengan kondisi dan keadaan daripada mereka sendiri.

"Saya meyakini hidup, mati dan jodoh, semua itu ditentukan oleh-Nya. Manusia hanya dituntut berikhtiar dan bertawakal kepada-Nya. Layanan istimewa dan khusus yang diberikan buat seorang suami selama perkahwinan berlangsung, seharusnya bukan untuk menjauhkannya dari ruang keizinan berpoligami; akan tetapi semua itu adalah tanggungjawab dan curahan bakti yang sewajarnya dilaksanakan seorang isteri sebagaimana diperintahkan Ilahi," katanya.

Menurut beliau lagi, saling memberi dan menerima dalam ikatan rumah tangga bahagia. Bukan atas alasan saling memiliki, tetapi lebih kepada atas dasar mencintai kerana Ilahi. Apa yang pasti, pada saat ini, anda adalah seorang isteri dan ibu. Usah terlalu memikirkan kemungkinan yang belum pasti berkenaan suami akan berpoligami apabila mendengar rakan atau saudara terdekat mengalaminya.

Yakinlah, apabila ALLAH menentukan ketetapan, tiada siapa dapat menghalang walaupun seluruh dunia bersatu. Sebaliknya, tiada sebarang kuasa pun yang dapat mengadakan sesuatu melainkan apa yang diizinkan oleh-Nya. Mengapa harus sibuk memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan meninggalkan sesuatu yang memang pasti dalam hidup ini?

NASIHAT BUAT SUAMI

Lelaki tidak perlu berbangga kerana boleh berpoligami! Nasihatnya, usah bermain dengan perkataan poligami untuk menundukkan wanita. Sebaliknya, tunjukkan sifat berhemah, lemah lembut dan perhatian serta jalani kehidupan berumah tangga bersama seorang isteri terlebih dahulu dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Sesungguhnya kehidupan Rasulullah SAW bermonogami selama 25 tahun dan berpoligami selama 10 tahun meletakkannya sebagai teladan yang sempurna. Majoriti umatnya yang bermonogami boleh belajar bagaimana menghadapi seorang isteri dengan penuh kesetiaan. Manakala minoriti umatnya yang berpoligami juga boleh meneladani Rasulullah SAW dalam meratakan keadilan dalam kalangan isterinya.

Rasulullah SAWbersabda yang bermaksud:  "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." (Riwayat Tirmizi)

Tags: poligami
Subscribe

Posts from This Journal “poligami” Tag

  • Poligami lahirkan keluarga mithali?

    KEHIDUPAN berkeluarga yang aman damai adalah impian setiap daripada kita. Tidak yang berkahwin mengharapkan mahligai yang dibina berakhir dengan…

  • Sikap perempuan burukkan poligami

    BRO sudah beberapa kali menyatakan bahawa Bro menyokong poligami. Bagi Bro, lelaki yang berani bernikah lebih daripada satu dan wanita yang…

  • Berpoligami pun satu jenayah?

    JENAYAH di bawah perundangan sivil ditakrifkan sebagai suatu perbuatan menyalahi undang-undang negara yang membawa hukuman. Ini bermakna sesuatu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments