mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Muliakan tetamu

WAHAI orang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin dan memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)" (Surah An-Nuur: 27)

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Al-'Adiy bin Sabit ketika seorang wanita dalam kalangan Ansar berkata: "Wahai Rasulullah, aku sedang berada di rumah dan tidak ingin sesiapa yang datang untuk menemuiku.

Akan tetapi, ada seorang lelaki daripada keluargaku terus-menerus meminta keizinan untuk menemuiku, sedangkan aku pula tidak ingin menemuinya." Lalu turunlah ayat ini untuk menjelaskan keadaan yang berlaku. (Lubab An-Nuqul fi Asbab An-Nuzul, Imam Jalaluddin Abd Rahman bin Abi Bakar As-Suyuthi: Halaman 143)

ALLAH menyatakan dalam ayat ini khususnya kepada orang yang beriman bahawa setiap dalam kalangan kita ada kawasan persendirian. Kawasan tersebut adalah tempat kita menginap (rumah). Di rumah inilah kita melakukan sesuatu yang kita senangi dan tinggalkan apa yang kita tidak mahukan.

USAH TERUS MASUK

ALLAH memberi peringatan, kita sama sekali tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki kawasan persendirian ini. Apatah lagi kawasan tersebut bukan milik kita.

Syarat yang perlu dipenuhi sebagai tetamu:

-Pertama: Kita diberikan izin oleh pemilik rumah untuk memasukinya.

-Kedua: Memberi salam sebagai tanda menghormati.

Kedua-dua syarat ini ditetapkan ALLAH demi menjaga hak tuan rumah supaya tidak dicabuli dengan mudah. Atas dasar inilah, seseorang yang memasuki rumah orang lain tanpa pengetahuan pemiliknya (sama ada mencuri, atau sekadar suka-suka) adalah satu dosa yang patut dijauhi dan hindari. Hal ini secara tidak langsung mengundang fitnah yang besar dalam masyarakat kerana dalamnya banyak perihal 'sulit'.

HAK TUAN RUMAH

Sebagaimana tetamu mempunyai syarat sebelum masuk ke rumah orang lain, tuan rumah juga mempunyai hak ke atas tetamu yang perlu ditunaikan. Hal ini ditunjukkan kaum Ansar ke atas golongan Muhajirin.

Orang Ansar meraikan Muhajirin sebagai tetamu besar dalam negaranya sehingga seluruh bentuk bantuan ditawarkan secara terbuka. Bahkan ada ketikanya penduduk Madinah ini lebih mengutamakan tetamunya Muhajirin) daripada masyarakat mereka sendiri (dalam bab meraikan).

Adab tuan rumah ke atas tetamu:

- Menyambut kedatangan tetamu dengan berdiri sebagai tanda hormat. Hal ini sebagaimana hadis riwayat  Bukhari dalam kitab sahihnya bahawanya, Fatimah RA ada menceritakan, setiap kali  dia mengunjungi rumah ayahandanya (Rasulullah SAW), maka Baginda SAW akan bangun menyambut kedatangannya.

- Mengucapkan salam pertemuan, bersalaman, dan bertanya khabar. Hal ini membuka jalan kebaikan dan menggembirakan tetamu.

- Kedatangan tetamu disusuli dengan bersalaman sebagai tanda persaudaraan.

- Mempersilakan tetamu masuk dan menyediakan tempat duduk yang baik kepadanya. Hal ini menyebabkan tetamu berasa lebih selesa dan tidak segan menerima pelawaan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Dawud, diceritakan: "Ketika Rasulullah SAW duduk bersama sahabat, datang ayah susuan Baginda SAW.

Lalu Rasulullah  SAW menghamparkan kain alas sebelum ayah susuan Baginda SAW duduk. Kemudian, datang pula ibu susuan dan saudara susuan Baginda SAW, maka Rasulullah SAW juga menghamparkan kain sehingga mereka duduk di atasnya."

- Menyediakan juadah dan melayan tetamu dengan baik. Melayan tetamu termasuklah dengan menggunakan aras suara menyenangkan, menuturkan kata-kata yang baik, memberi perhatian dan tumpuan saat tetamu berbicara serta tidak merendahkan maruahnya.

- Menyediakan tempat tinggal sebaik mungkin. Hak ini ditunaikan jika tetamu berhajat untuk menginap. Sebagai tuan rumah, kita perlu fahami hak tetamu yang wajib ditunaikan adalah selama tiga hari. Manakala selebihnya adalah sedekah.

Namun kadangkala tuan rumah kurang selesa untuk membenarkan tetamu menginap. Sekiranya berlaku sedemikian sampaikanlah dengan cara yang baik dan bukan terus menidakkan. Ia bertujuan agar tetamu tidak berkecil hati dengan layanan yang diberikan.

RUANG KEBAIKAN

Tetamu yang hadir sebenarnya membuka ruang kebaikan dan kebajikan kepada tuan rumah. Secara tidak langsung ia juga memberi kelebihan kepada kita yang meraikan. Sudah pasti ALLAH menganugerahkan balasan baik dan memberkati setiap kebaikan yang kita lakukan ke atas tetamu.

Janganlah meraikan tetamu yang ternama sahaja, atau mereka yang mempunyai kedudukan, pangkat, jawatan dan kekayaan. Tetamu yang miskin dan kurang bernasib baik dilayan dengan acuh tak acuh. Ingatlah, kita bukan selamanya tuan rumah, ada masa kita juga adalah tetamu sebagaimana kita menjadi tetamu-Nya di bumi ini.

Tags: adab, tetamu
Subscribe

Posts from This Journal “tetamu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments