mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Imarahkan Masjid, Fadhilat Diraih ”

Petikan Khutbah Jumaat 10 Mac 2017 JAIS

“Imarahkan Masjid, Fadhilat Diraih ”

Masjid merupakan rumah Allah yang mulia. Mengimarahkan masjid bermaksud memakmurkan rumah Allah dengan membinanya dan beribadah di dalamnya.

jais.jpgMasjid menjadi tempat perkumpulan umat Islam melakukan pelbagai aktiviti ibadah, berukhuwwah dan saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan.

Mengimarahkan masjid terbahagi kepada dua cara, iaitu secara fizikal dan secara spiritual (kerohanian).

Pertama: Imarah secara fizikal

Mengimarahkan masjid secara fizikal ialah dengan membina dan menyiapkan bangunan masjid supaya orang ramai dapat melaksanakan solat di dalamnya. Ganjaran bagi sesiapa yang menginfakkan hartanya untuk tujuan pembinaan masjid ialah dibina untuknya yang seumpamanya dalam syurga.

Hadis daripada Uthman bin Affan R.Anhu bahawa nabi SAW bersabda;“Sesiapa yang membina untuk Allah sebuah masjid, Allah akan membina untuknya yang seumpamanya di dalam syurga”. (Riwayat Imam at-Tirmizi).

Saidatina ‘Aisyah R.Anha menceritakan bahawa nabi SAW memerintahkan agar sebuah masjid dibina di sesuatu kawasan, dan hendaklah dibersihkan dan diwangikan. (Riwayat Ibnu Majah).

Kedua: Imarah secara spiritual,

Manakala mengimarahkan masjid secara spiritual pula ialah aktiviti kerohanian seperti melakukan ibadah di dalam masjid sama ada solat, zikir, i’tikaf, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Termasuk dalam maksud zikir ialah majlis ilmu yang dilaksanakan di dalam masjid.

Kedua-dua pihak baik yang menguruskan pengajian ilmu mahupun yang hadir mendengarnya dikira sebagai mengimarahkan masjid.

Abu Hurairah R.Anhu berkata bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Malaikat akan berselawat kepada seseorang daripada kamu selagi mana dia berada di tempat solatnya yang dia telah solat padanya selagi mana tidak terbatal wuduknya. Malaikat berdoa: Ya Allah berilah keampunan untuknya, ya Allah berilah rahmat kepadanya”. (Riwayat al-Bukhari)

Mereka yang mengimarahkan masjid dengan melazimi masjid setiap hari adalah bukti dan tanda adanya iman. Bahkan hanya orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat sahaja yang akan mengimarahkan masjid.

Imam Fakhruddin al-Razi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan bahawa ketika seorang musyrik ditawan dalam peperangan Badar, dia berkata kepada orang Islam; “Sekalipun kamu semua telah mendahului kami dengan Islam dan hijrah serta jihad, sesungguhnya kami telah mengimarahkan Masjid alHaram”.

Dakwaan orang musyrik ini telah disangkal oleh Allah SWT menerusi ayat 17 dan 18 surah al-Taubah yang bermaksud; “Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka. Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan agar mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.

Hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri R.Anhu bahawa nabi SAW bersabda; ِ إ َ ذ وا له ُ د َ ه ْ اش َ ف َ ِ د ج ْ س َْ اإلا ُ اد َ ح ْ ع َ ٌ لَ ُ ج َ الس ُ م ُ ح ْ ً َ ؤ َ ا ز ِن ا َ ِإلًم ا ِ ب “Apabila kamu melihat seseorang yang berulang alik ke masjid, maka perakuilah bahawa dia seorang yang beriman”. (Riwayat Imam Ahmad).

Hadis daripada Ibn Mas’ud R.Anhu bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Akan berlaku pada akhir zaman satu kumpulan yang duduk di dalam masjid-masjid secara berkumpulan, perbicaraan mereka adalah hal-hal dunia, maka janganlah kamu duduk bersembang dengan mereka, sesungguhnya Allah SWT langsung tidak memerlukan mereka”. (Riwayat al-Tabrani).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin berpesan kepada hadirin sekalian dengan perkara-perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah meneguhkan keimanan kepada Allah SWT dengan mengimarahkan masjid.
2. Umat Islam mestilah meyakini akan fadhilat dan ganjaran yang besar disediakan untuk mereka yang mengimarahkan masjid.
3. Umat Islam perlu memastikan kehormatan dan kesucian masjid dan surau agar sentiasa dipelihara.
4. Umat Islam hendaklah bertanyakan pada diri sendiri apakah sumbangan kita kepada masjid sebelum kita bertanya apakah sumbangan masjid kepada kita.
5. Semua masjid hendaklah membudayakan membaca al-Quran dan terjemahannya selepas setiap kali solat fardhu supaya umat Islam sentiasa dimuliakan dan diberkati Allah SWT.

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah Ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan Ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang”. (al-Nuur : 36).
Tags: khutbah, masjid
Subscribe

Posts from This Journal “masjid” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments