mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Memelihara Keamanan dan Kesejahteraan Tanggungjawab Bersama”

Petikan Khutbah Jumaat 24Mac 2017: JAIS

“Memelihara Keamanan dan Kesejahteraan Tanggungjawab Bersama”.

Antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap hambanya di muka bumi ini adalah nikmat keamanan dan kesejahteraan. Ia perlulah dilaksanakan dalam kehidupan kita seharian tanpa mengira status sosial, pegangan agama, fahaman, bangsa atau keturunan.

jais.jpgKisah Nabi Allah Ibrahim seawal beliau sampai ke bumi Mekah al-Mukarramah lantas berdoa kepada Allah SWT supaya menganugerahkan keamanan dan keselamatan untuk bumi Mekah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 126: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, Iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

Nabi Allah Ibrahim menyedari keamanan adalah lambang kesejahteraan dan kebahagiaan diri dan masyarakat. Dengan keamanan, manusia mampu mencapai segala kebahagiaan, ketenangan, kebaikan dan juga mampu melakukan pembaharuan yang diimpikan oleh manusia.

Menyuburkan dan mengekalkan keamanan adalah amat penting bagi sesebuah masyarakat. Ini kerana.

Pertama : Dapat menjamin kehidupan yang harmoni.
Kedua : Dapat menjadikan kita umat yang dihormati dan disegani bangsa lain.
Ketiga : Dapat memberikan keselesaan untuk beribadat kepada Allah SWT tanpa dibayangi perasaan takut dan bimbang. Keempat : Merealisasikan objektif agama Islam iaitu sebagai rahmat kepada seluruh alam, samada manusia dan juga makhluk lain.

Secara umum, prinsip yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika menyelesaikan segala permasalahan masyarakat Islam yang timbul adalah sentiasa menjuruskan kepada keamanan dan kesejahteraan. Prinsip yang sama juga dipraktikkan oleh Baginda SAW ketika berdakwah dan berdepan dengan musuh.

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.Anhu. bahawa Rasulullah SAW bersabda; ِ“Seseorang Muslim yang sempurna (keIslamannya) ialah seseorang yang sejahterakan kaum Muslimin daripada lidahnya dan daripada tangannya dan seorang mukmin adalah dia yang memberi jaminan rasa aman kepada manusia atas darah dan harta mereka”. (Riwayat at-Tirmidzi)

Sebagai contoh, usaha pertama Baginda SAW apabila berada di kota Madinah adalah membuat perjanjian dengan kabilah dan puak yang mempunyai pelbagai budaya dan fahaman. Maka terhasillah Piagam Madinah atau Perlembagaan Madinah di mana intipati utama adalah keamanan dan kesejahteraan. Piagam tersebut menegah penduduk Madinah yang mempunyai pelbagai latar belakang, budaya dan fahaman dari melakukan sebarang bentuk keganasan dan penindasan.

Sebagai rakyat biasa, di peringkat individu mestilah patuh kepada pemerintah, tidak menceroboh hak orang lain, beramanah dalam menjalankan tugas, sentiasa berlapang dada, berusaha meningkatkan ketakwaan dan keikhlasan kepada Allah SWT dalam apa jua tindakan.

Di peringkat masyarakat pula, sama-sama mematuhi peraturan, saling tolong-menolong, menghindari fitnah-memfitnah, bersikap terbuka, saling hormat menghormati, prihatin terhadap apa yang berlaku dan tidak mementingkan diri sendiri. Di samping itu, sentiasalah bertoleransi sesama manusia tanpa mengira batasan agama, fahaman, bangsa dan sebagainya.

Sebagai pemerintah sesebuah negara, para pemimpin mestilah berusaha menjaga keamanan negara dan rakyat sentiasalah bersikap amanah dalam menjalankan tugas dengan menjadikan prinsip adil sebagai asas dalam menentukan sesuatu perkara tanpa menekan dan menindas rakyat. Selain itu, hendaklah memberikan hak-hak yang sewajarnya bagi rakyat melalui apa jua mekanisma yang boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan sesebuan negara.

Mengakhiri khutbah hari ini, pengajaran yang dapat kita sama-sama hayati ialah;

1. Umat Islam hendaklah memahami ajaran Islam secara menyeluruh termasuk menghayati konsep keamanan dan kesejahteraan sebagaimana dianjurkan oleh Islam.
2. Umat Islam hendaklah berlapang dada dan bertolak ansur dalam menjalani kehidupan seharian.
3. Umat Islam hendaklah membantu dan menyokong mana-mana pihak yang ingin menjadikan Islam sebagai asas keamanan kepada kehidupan ummah.
4. Umat Islam hendaklah memelihara keamanan dan kesejahteraan negeri dan Negara kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama.
5. Umat Islam wajib menjauhkan diri masing-masing dari mencetuskan suasana tidak aman dan tenteram dalam Negara.
6. Umat Islam wajib bersatu padu berganding bahu dalam membasmi anasir-anasir yang menggugat kestabilan dan keamanan Negara.

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya”. (Al-A„raaf : 56).
Tags: keamanan, kesejahteraan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “keamanan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments