mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Mawaddah, Rahmah dan Sakinah”

Petikan Khutbah Jumaat : 31 Mac 2017 JAIS

 “Mawaddah, Rahmah dan Sakinah”

Perkahwinan disyariatkan sebagai satu cara meramaikan umat manusia, membentuk keluarga bahagia, menghubungkan silaturahim, memelihara keturunan dan merupakan satu sunnah yang dituntut oleh Islam.

Melalui surah ar Rum ayat 21 yang dibacakan di awal mukadimah khutbah tadi menjelaskan bahawa Allah SWT telah menjadikan jais.jpghikmah perkahwinan sebagai satu jalan untuk pasangan suami isteri mewujudkan kasih sayang (Mawaddah) dan saling cinta-mencintai (Rahmah) antara satu sama lain. Kasih sayang yang terjalin dari hubungan perkahwinan yang sah itu akhirnya akan membuat kita berfikir tentang kebesaran Allah SWT. Penghujungnya akan lahirlah ketenangan(Sakinah) dalam rumahtangga, sejahtera dalam masyarakat dan harmoni dalam sebuah negara.

Bakal suami yang perlu diberi perhatian ialah seorang yang menghayati agama, memiliki akhlak mulia dan mampu memimpin dan membimbing keluarga. Hadis daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Apabila datang meminang kepada kamu orang yang kamu redha agama dan akhlaknya, maka hendaklah kamu kahwini akan dia, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar”. (Riwayat At-Tirmizi).

Bakal isteri yang menjadi pilihan hendaklah dari kalangan seorang yang beragama sepertimana hadis daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda; Lazimnya wanita dikahwini kerana 4 perkara, hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mawaddah hanya terjelma di alam perkahwinan apabila suami isteri saling memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing. Apabila telah dijab qabul, maka termeterai tanggungjawab seorang suami memberi nafkah zahir dan batin terhadap isteri. Menyediakan keperluan asas sebaik mungkin yang meliputi makanan yang mencukupi, pakaian mengikut keperluan dan tempat tinggal yang selesa, selaras dengan kemampuan suami.

Sebuah hadis daripada Muawiyah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang hak seorang isteri ke atas suaminya, maka Nabi SAW menjelaskannya bahawa seorang suami hendaklah memberi makanan dan pakaian kepada isterinya dan tidak memukul di wajahnya, tidak menghinanya dan tidak meninggalkannya melainkan di rumah tempat kediamannya. Isteri pula perlu tunduk dan patuh kepada perintah suami selagi tidak melanggar perintah syarak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Hak seorang suami ke atas isterinya ialah isteri tidak meninggalkan tempat tidur suaminya, rela dengan gilirannya yang ditetap oleh suaminya, taat pada perintah suami, tidak keluar rumah tanpa izin suami dan tidak membenarkan orang yang dibenci suami masuk ke dalam rumah”. (Hadis riwayat At Tabrani).

Dalam membina rumahtangga bahagia yang mendapat keredhaan Allah mestilah memiliki sifat Rahmah atau kasih mengasihi antara satu sama lain. Sikap bertolak ansur, memahami antara satu sama lain, berlaku adil dan ihsan merupakan antara ciri sifat rahmah yang perlu ada dalam sesebuah rumahtangga.

Bahasa komunikasi bukan hanya melalui bahasa pertuturan (lisan) tetapi juga bahasa badan atau bahasa perantaraan melalui telefon dan lain-lain. Suami juga perlu memelihara percakapan ketika bersama isteri kerana biasanya isteri mudah mengingati perkataan yang diucapkan oleh suami. Jika perkataan itu kasar tentu akan memedihkan hatinya yang tidak mustahil menjadi barah hingga melahirkan dendam kesumat isteri terhadap suaminya.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 19; . Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik...”

Apabila sifat mawaddah dan rahmah berjaya dibina dan terbentuk dalam sebuah keluarga, maka akan lahirlah Sakinah(ketenangan) bukan sahaja kepada pasangan suami isteri tetapi juga rumahtangga yang dibina.

Suami akan melakukan tugas dengan ikhlas, jujur dan amanah. Manakala isteri pula sentiasa bekerjasama, hormat menghormati dan bertimbang rasa dalam pergaulan. Maka lahirlah suami isteri cemerlang yang membina mahligai rumahtangga dalam rahmat dan naungan Allah.

Rumahtangga yang tenang dipenuhi dengan amalan agama seperti berdoa, berzikir, membaca Al Quran, solat berjemaah, majlis ilmu, makan minum bersama dan seumpamanya.

menghayati kesimpulan dari khutbah hari ini iaitu:

1. Umat Islam hendaklah ingat bahawa Allah mensyariatkan perkahwinan ke atas hamba-Nya sebagai suatu ibadah dan ia wajib dibina dengan penuh mawaddah, rahmah dan sakinah.

2. Umat Islam wajib membina kerukunan rumahtangga dengan berkasih sayang, saling bekerjasama, hormat menghormati, berkomunikasi dengan lembut dan mesra bagi memikul hak dan amanah yang diberikan Allah kepada setiap pasangan.

3. Setiap pasangan hendaklah menjauhi perkara-perkara yang boleh meruntuhkan rumahtangga seperti menyebarkan hal-hal keaiban rumahtangga.

4. Umat Islam hendaklah berpegang kepada matlamat perkahwinan untuk mendapatkan keredhaan Allah, supaya dapat melahirkan zuriat yang menyejukkan mata semua orang.

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteriisteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa”. (Al-Furqan : 74).
Tags: khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments