mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Sempurnakan agamamu

Petikan Khutbah Jumaat: 31 Mac 2017 JAKIM

Sempurnakan agamamu

Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah memberi penekanan pentingnya meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah SWT. Ini termasuk dalam soal perkahwinan dan hubungan suami isteri serta kekeluargaan yang dipandang penting dan mulia.


jakim.jpgAllah SWT telah meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan dalam diri manusia. Ini bukti jelas betapa Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar Ruum ayat 31:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.”

Menurut Islam terdapat empat hukum berkahwin iaitu wajib, sunat, makruh dan haram. Berkahwin menjadi wajib apabila seseorang itu berkemampuan fizikal dan mental serta bimbang jika diri akan terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan zina.

Perkahwinan boleh menjadi sunat apabila seseorang itu yakin tidak akan terjebak dengan zina dan maksiat. Namun, pada masa sama dia juga tidak ragu untuk berkahwin kerana mampu menyediakan keperluan asas dan menjaga kebajikan isteri dengan baik. Ada kala ia menjadi makruh seandainya seseorang itu bimbang akan melakukan kezaliman terhadap isteri seperti tidak mampu menyediakan keperluan asas. Dan ada ketikanya ia menjadi haram jika seseorang itu mempunyai kesanggupan berkahwin, tetapi menimbulkan bahaya kepada bakal isterinya seperti lelaki yang berkahwin dengan tujuan menyakiti bakal isterinya.


Yakinlah, jika usaha mencari rezeki telah dijalankan dengan teratur, Allah akan permudahkan rezekinya selepas berkahwin. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah an-Nuur ayat 32: Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang bujang dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya, lagi Maha Mengetahui.”

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Saad bin Abi Waqqas RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya:
“Daripada Saad bin Abi Waqqas RA berkata bahawa Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu baginda tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: “Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak.”

Ingatlah, perkahwinan bukan suatu bebanan tetapi amanah dan tanda ketaatan kita kepada Allah SWT dan kecintaan kepada sunnah Rasulullah SAW.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Perkahwinan adalah cara hidup semula jadi manusia dan asas perkembangan masyarakat secara tersusun dan teratur demi kelangsungan hidup masyarakat yang sihat dan sejahtera.
Kedua: Perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga sepanjang perkahwinan.
Ketiga: Sentiasa mendahulukan syariat Islam dan keredhaan Allah SWT dalam usaha membina rumah tangga yang bahagia.
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nuur: 30)
Tags: agama, kahwin, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “agama” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments