mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jahil mata, hati jika tiada ilmu

UMUR atau usia adalah modal bagi seorang Mukmin mendekati dan mendapat syurga Allah SWT. Ertinya bagi mereka yang taat, usia dimiliki adalah untuk menambah ketaatan kepada Allah SWT, manakala yang berdosa, menjadikan usia peluang memohon keampunan daripada Allah SWT.

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali: "Apakah manusia itu tidak malu apabila Allah SWT menghulurkan waktu baginya untuk bertaubat, tetapi dia terus-menerus melakukan dosa kepada Allah SWT."

Menerusi rancangan Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Muhamad Juoi di radio IKIMfm, beliau


BERDOA memohon keredaan Ilahi supaya hidup sentiasa diberkati. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
menjelaskan Islam sangat indah dan mereka yang tidak mendapati keindahan Islam disebabkan tidak dapat melihat kebaikan ajaran Islam.

Analoginya seperti seekor kelawar yang tidak dapat melihat pada waktu siang, bukan kerana hari yang tidak terang, tetapi siang hari terlalu terang sehingga mata kelawar tidak mampu melihatnya.

Membicarakan mengenai keindahan agama Islam, ia berkait rapat dengan bagaimana kita melihat agama dari sudut pandangan mata hati.

Kejahilan akan memudarkan pandangan terhadap kemurnian Islam, begitu juga hati yang kotor tidak mampu melihat indahnya ajaran agama Islam.

Dengan kata lain, ada dua sebab seorang Mukmin tidak dapat melihat keindahan agama Islam iaitu disebabkan oleh kejahilan akal fikiran dan hati yang degil.

Hakikatnya, keindahan Islam akan terlihat oleh hati yang suci.

Dominasi tamadun dunia

Islam agama yang sempurna tanpa cacat cela.

Keindahan Islam umpama pokok rimbun yang syumul, di dalamnya terdapat akidah, muamalat, ibadah, akhlak yang melengkapkan ajarannya untuk diamalkan oleh manusia.

Ketika negara Barat hari ini mendominasi tamadun dunia dengan kejayaan, Islam sudah mendominasi tamadun dunia sejak 1600 tahun dahulu.

Pembangunan fizikal dan rohani hari ini sebenarnya telah berhutang kepada tamadun Islam. Bahkan, pencapaian kejayaan tamadun Barat hari ini adalah hasil pembelajaran daripada tamadun Islam yang dibina oleh orang Islam.

Sederhana itu indah, begitulah ajaran agama Islam.

Kesederhanaan ajaran Islam memberi keindahan kepada agama ini. Contohnya, Islam membenarkan pemilikan harta, malah tidak menghalang manusia mencari kekayaan namun dengan cara yang disyariatkan.

Bagi yang kaya, dididik mengeluarkan zakat dan sedekah sehingga mereka yang miskin diberi peluang untuk bersama menikmati manfaat nikmat Allah SWT.

Jahil selami Islam

Ajaran agama yang fleksibel dan mesra menjadikan Islam sesuai, sebati dan serasi dengan amalan kehidupan manusia.

Namun persoalannya, mengapa ajaran Islam yang indah tidak lagi kelihatan indah bagi sesetengah manusia? Jawapannya, ia disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, sikap orang Islam itu sendiri yang tidak mengamalkan ajaran Islam dan propaganda bukan Islam terhadap Islam.

Ilmu yang jelas penting untuk kita melihat keindahan Islam. Seperti orang buta melihat gajah, walau bagaimana hebat gajah itu, pada mata orang buta ia tidak terlihat kehebatannya.

Begitulah dengan cara kita melihat agama. Justeru, ilmu membolehkan seorang melihat keindahan Islam dengan jelas.

Mata hati yang terang dapat melihat cahaya agama yang indah. Islam akan terus mekar menyinar jika pengamalnya sentiasa berusaha menjaga kemurniannya.

Umat hendaklah menghapuskan kejahilan ilmu, perangi kedegilan dengan amalan, sampaikan Islam dengan cara hikmah, lemah lembut dan akhir sekali perjuangkan Islam dengan cara yang terbaik.

Berkongsi kata-kata Hassan al-Banna: "Seseorang itu akan merasa kemanisan Islam hanya bagi mereka yang menegakkan Islam."
Tags: hati, ilmu, jahil, mata
Subscribe

Posts from This Journal “jahil” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments