mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Menjunjung perintah"

Petikan Khutbah Jumaat:  (21 April 2016 / 24 Rejab 1438) JAKIM

“Menjunjung perintah"

Kita sedia maklum bahawa Rasulullah SAW sering melalui pelbagai liku kehidupan penuh suka dan duka yang menyentuh hati nurani kita. Hakikatnya, walaupun baginda seorang pesuruh Allah SWT yang dikasihi, namun jakim.jpgAllah SWT redha menurunkan ujian kepada baginda. Bahkan ujian ini tidak sedikit pun menjejaskan keimanan baginda SAW kepada Allah SWT.

Sejarah telah menceritakan bagaimana baginda telah kehilangan kasih sayang seorang bapa, belaian kasih ibu, kemanjaan seorang datuk, pembelaan seorang bapa saudara dan kecintaan seorang isteri. Tambah menyedihkan, baginda SAW terpaksa menghadapi penentangan yang berterusan oleh puak kafir Quraish.

Bagi mengubat rasa sedih ini, maka baginda SAW dijemput oleh Allah SWT mengikuti satu pengembaraan eksklusif untuk memantapkan hati dan menenangkan jiwanya. Ini adalah satu kemuliaan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Israa ayat 1:
Maksudnya:Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Israk dan Mikraj juga mengajar kita bahawa setiap kepayahan yang dilalui akan menjadi mudah jika ditempuhi dengan kesabaran, tetap pendirian dan istiqamah kepada ajaran Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Insyirah ayat 5-6:
Maksudnya: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Allah SWT telah memberikan kemuliaan kepada baginda SAW dengan tiba di Sidratul Muntaha. Lebih istimewa, Allah SWT telah memuliakan baginda SAW dan umatnya dengan menfardhukan solat sebagai mikraj kepada Allah SWT. Solat juga adalah sebaik-baik penghampiran kita kepada Allah dan meninggikan darjat hambaNya.

Ibadat solat ini, bukanlah sekadar pergerakan dan bacaan, bahkan ia adalah penghampiran, kekhusyukan, tumpuan akal, dan munajat kita kepada Allah SWT. Untuk itu, kita perlu mengenali Allah SWT yang merupakan maksud utama kepada pengabdian diri kita.

Firman Allah SWT dalam Surah Az Zariyat ayat 56:
Maksudnya:Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Apa yang pasti, solat yang sempurna menjadikan seseorang itu bersifat mulia dan solat juga yang dapat mencegah dari melakukan perkara keji dan mungkar.

Selain itu, kesempurnaan solat juga mampu memberikan ketenangan kepada hati manusia. Terutamanya hati yang sangat akrab dengan Allah SWT melalui solat yang khusyuk.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun ayat 1:
Maksudnya:Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

Syeikh Abdul Halim Mahmud menyatakan bahawa seharusnya solat kita itu bersifat sempurna, tersisih dari alam kebendaan, tersisih dari alam nafsu dan syahwat, tersisih dari alam fitnah, agar diri orang yang melakukan solat itu tertumpu sepenuhnya kepada Zat Tuhan yang mengurniakan nikmat solat itu sampai ia merasakan kelazatan dan kenikmatan wujud di sisi tuhan dengan penuh kebahagiaan kerana perhubungan dan pendekatan diri kepada Allah SWT. Justeru, kita perlu memastikan kualiti solat dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya mendapat solat yang khusyuk.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib mengajak sidang jemaah sekalian melaksanakan beberapa tuntutan iaitu:
Pertama: Tingkatkan keyakinan kepada Allah dengan menghayati isi kandungan Al-Quran.
Kedua: Menyoroti sejarah kehidupan Rasulullah SAW untuk diambil pengajaran dan tauladan.
Ketiga: Bersungguh-sungguh menjunjung perintah melaksanakan solat dengan penuh berkualiti dan sempurna.
Maksudnya : Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam:59)
Tags: khutbah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments