mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Pekerjaan Sebagai Hamparan Sejadah”.

Petikan Khutbah Jumaat 28 April 2017M / 01 Syaaban 1438H: JAIS

“Pekerjaan Sebagai Hamparan Sejadah”.

Islam memandang mulia kepada orang yang bekerja dan membenci orang-orang yang malas dan suka meminta-minta.

jais.jpgNabi SAW mengingatkan melalui hadis riwayat daripada Zubair bin al-Awwam R.Anhu dengan sabdanya bahawa;“Sekiranya seseorang darimu membawa tali pergi memberkas kayu, dan dipikul di atas belakangnya, kemudian dijual, lalu Allah memelihara air mukanya, itu lebih baik dari dia meminta-minta sama ada diberi atau tidak

Sesungguhnya para nabi Alaihimus Solatu Wassalam yang telah diutuskan juga bekerja. Nabi Adam bertani, Nabi Idris tukang jahit, nabi Nuh dan Zakaria tukang kayu, Nabi Daud bertukang besi. Nabi Musa mengembala kambing. Nabi Muhammad juga berniaga. Begitu juga dengan para sahabat. Abu Bakar AS-Siddq menjual pakaian, Umar Bin alKhattab mengusahakan perniagaan kulit, Uthman bin Affan seorang pedagang yang amat berjaya,

Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, az-Zubair bin al-Awwam, Amr bin al-Ash dan lainlain sahabat Radiallahu Anhum. Para sahabat memiliki pekerjaan masing-masing dalam rangka mencari penghidupan di dunia bahkan mereka menggunakan harta pencarian mereka untuk diinfaqkan kejalan Allah.

Islam menggalakkan umatnya bekerja keras kerana hamparan dunia ini ditabur dengan pelbagai rezeki Allah sama ada diatas permukaan bumi atau dari dalam perut bumi, dilautan dan diangkasa. Semuanya boleh diusahakan oleh manusia dengan akal dan ikhtiar yang dibekalkan oleh Allah kepada manusia. Islam tidak menyuruh kita solat secara berterusan atau duduk beriktikaf didalam masjid sepanjang masa.

Saidina Umar sendiri pernah mengusir orang yang sedang berdoa didalam masjid sedangkan ketika itu telah masuk waktu dhuha sambil berkata: “Langit tidak menggugurkan emas dan perak dengan hanya berdoa”.

Ibadah tidak hanya tertumpu pada solat, puasa, zakat, haji, zikir, baca al-Quran, bersedekah, berjihad dijalan Allah dan seumpamanya. Bahkan Islam turut memasukkan dalam maksud ibadat ialah bekerja.

Rasulullah SAW pernah mengajar kepada para sahabat secara tidak langsung maksud bekerja sebagai ibadat.

Abu Hurairah R.Anhu meriwayatkan bahawa pada suatu ketika, beberapa orang sahabat melihat seorang pemuda yang kuat dan rajin bekerja. Mereka pun berkata; Alangkah baiknya jika dia berjihad di jalan Allah. Rasulullah segera menjawab: Jangan kamu berkata seperti itu. Jika dia bekerja untuk menafkahkan anak-anaknya yang masih kecil maka dia berada dijalan Allah. Jika dia bekerja untuk menafkahkan kedua orang tuanya yang sudah tua, maka dia dijalan Allah. Dan jika dia bekerja untuk memenuhi keperluan hidupnya, maka dia dijalan Allah. (Riwayat al-Baihaqi).

Pekerjaannya mempunyai nilai-nilai ibadah yang diredhai dan diterima oleh Allah. Antara perkara-perkara tersebut ialah;

1. Pekerjaan yang dijalani mestilah pekerjaan yang baik dan patuh syariah. Tidak boleh bagi seorang muslim bekerja dalam bidang yang digolongkan oleh Islam sebagai maksiat dan mendatangkan kerosakan seperti bekerja di kelab malam, tempat pelacuran, perjudian, arak, institusi kewangan tidak patuh syariah dan seumpamanya.

2. Bekerja dengan tekun dan bertanggunjawab. Islam bukan sekadar menyuruh umatnya bekerja tetapi dalam masa yang sama memerintahkan agar bekerja dengan tekun, amanah dan bertanggungjawab.

3. Niat bekerja sebagai ibadat dan mencari redha Allah.Bekerja dengan niat yang baik kerana Allah, akan mengangkat martabat pekerjaan itu daripada pekerjaan yang biasa-biasa sahaja kepada pekerjaan sebagai satu ibadat.

Pekerjaan itu mampu menjana pahala yang amat besar bahkan dianggap sebagai amal soleh. Pekerjaan itu seolah-olah suatu hamparan sejadah yang luas. Diberi keberkatan di dunia dan diberi pula ganjaran yang baik di akhirat.

4. Tidak mengabaikan kewajipan kepada Allah. Walau apa pun pekerjaan kita, namun kewajipan kita terhadap Allah jangan diabaikan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.

Islam memandang mulia kepada orang yang bekerja untuk menyara kehidupan diri dan keluarganya dengan pendapatan yang bersih dan halal.

Keletihan dalam mencari rezeki yang halal sepanjang hari akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah.

Bahkan keletihan dan susah payah dalam mencari rezeki akan diberi pengampunan dosa-dosa yang lalu oleh Allah SWT.

Hadis daripada Anas Bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesiapa yang tidur dalam keletihan kerana mencari rezeki halal, maka dia tidur dalam kemapunan Allah SWT”. (Riwayat al-Tabrani).

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188;  “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia Dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Takutlah dengan pendapatan yang tidak bersih atau tidak halal khususnya amalan rasuah yang berlaku dalam urusan pentadbiran dan seumpamanya.

Akibat menggunakan harta hasil rasuah itu, maka akan hilang barakah dan rahmat daripada Allah. Mereka tidak akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. Dicabut rasa tenang dan bahagia dalam kehidupan rumah tangga walaupun dilihat keluarga itu penuh dengan kesenangan.

Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar Jumaat ingin menyeru dan berpesan kepada sidang jumaat sekalian bahawa;

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa tujuan diciptakan itu adalah bertujuan untuk beribadat.

2. Umat Islam hendaklah mencontohi para Nabi yang rajin bekerja dan beribadah.

3. Umat Islam hendaklah mencari rezeki melalui pekerjaan yang baik dan patuh syariah.

4. Umat Islam hendaklah rajin bekerja dan menjauhi sifat-sifat malas dan meminta-minta.

5. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa pekerjaan yang haram membawa ke neraka.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpahlimpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. (al-Qasas ; 77)
Tags: khutbah, pekerjaan
Subscribe

Posts from This Journal “pekerjaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments