mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi”.

Petikan Khutbah Jumaat: 5 Mei 2017 / 8 Sya’ban 1438 JAKIM

“Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi”.

Islam suka kepada umatnya yang gigih dan tekun bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. Jika diperhatikan, seorang pekerja yang baik akan sentiasa memperuntukkan masanya menilai dan memperbaiki jakim.jpgtugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sebagai pekerja, kita perlu sedar bahawa peningkatan kualiti dalam perkhidmatan kepada rakyat menjadi satu tanggungjawab yang berat untuk dilaksanakan.

Islam menyuruh umatnya bekerja dengan kuat dan amanah supaya mereka dapat memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Qasas ayat 26:
Maksudnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah yang kuat, lagi amanah.”

Di samping dua kriteria ini, kualiti terbaik akan terhasil apabila tertanamnya keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT bahawa setiap apa yang dilakukan sentiasa di awasi dan di rekod.

Firman Allah SWT dalam Surah At Taubah ayat 105:


Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”


Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar penyertaan tenaga buruh yang berumur 15 hingga 64 tahun di negara ini naik sebanyak 68 peratus iaitu 14.92 juta orang. Ini menunjukkan bahawa ekonomi negara masih dapat dikekalkan dalam keadaan guna tenaga penuh iaitu kadar pengangguran di bawah 4 peratus.

Justeru, salah satu daripada strategi tumpuan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11) adalah aspek pekerja yang berinovasi dan produktif.

Sememangnya, pekerja inovatif dan produktif mempunyai integriti dan sikap yang betul terhadap pekerjaan. Ini sekaligus mendorong mereka bekerja ke arah kecemerlangan di samping sentiasa tabah dalam menghadapi cabaran dan rintangan dengan sikap positif, tidak sombong atau cepat berpuas hati.

Malah mereka setia kepada organisasi, mengamalkan meritokrasi, dan mahu belajar secara berterusan dan mengikuti perkembangan teknologi supaya tidak ketinggalan.


Inovasi akan memacu pertumbuhan ekonomi dengan pelbagai penambahbaikan atau pembaharuan proses, teknologi dan model perniagaan yang meningkatkan lagi produktiviti.

Selain itu, inovasi juga dapat meningkatkan kecekapan dan output secara keseluruhan bagi setiap sektor.

Oleh itu,
latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) serta penyelidikan (research) melalui peningkatan kerjasama antara institusi pendidikan dengan pihak industri serta meningkatkan program latihan kemahiran yang berfokus dan sokongan bagi aktiviti inovasi perindustrian dan sosial adalah sangat digalakkan oleh kerajaan.

Langkah ini dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja berkemahiran tinggi dalam kalangan pekerja tempatan, meneruskan agenda transformasi latihan kemahiran di Malaysia dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran setaraf dengan negara-negara maju di dunia.

Sebagai pekerja,
kita perlu mengamalkan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat melalui peningkatan tahap kemahiran (upskilling), latihan semula untuk meningkatkan kemahiran sedia ada (reskilling) dan latihan baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada (multiskilling).


Islam sentiasa mendorong dan memberi kebebasan kepada umatnya untuk berkerja, hidup dalam kemuliaan dan tidak membebankan orang lain.

Islam juga meletakkan prinsip dan menetapkan nilai yang perlu dipelihara supaya pekerjaan itu dipandang oleh Allah sebagai ibadah di samping memperoleh keuntungan di dunia dan di akhirat kelak.


Antara prinsip tersebut ialah pertama, pekerjaan yang dilakukan hendaklah halal dan baik serta mendatangkan manfaat bukannya kerosakan seperti berjudi, sihir, mencuri, menipu, bekerja di tempat maksiat dan sebagainya.

Kedua, bekerja dengan profesional dan amanah supaya kita sentiasa berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang kesilapan.

Dan ketiga, niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah dan beribadah kepada-Nya.


Firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan ayat 20:

Maksudnya:Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluknya).

Imam Al-Qurthubi menjelaskan bahawa ayat ini merupakan landasan kenapa bekerja itu disyariatkan sebagai wahana mencari penghasilan baik sama ada melalui perniagaan, pembuatan atau sebagainya. Hari ini, warga pekerja telah mendapat peluang yang begitu luas dalam menyumbang ke arah pembangunan diri, ekonomi dan sosial negara. Oleh itu, marilah kita bekerja dengan tekun sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 17: Maksudnya: oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepada-Nya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib mengajak sidang jemaah sekalian melaksanakan beberapa tuntutan iaitu:
Pertama: Pekerja berkemahiran adalah tonggak kepada perubahan struktur ekonomi dan keutamaan pembangunan negara.
Kedua: Pekerja hendaklah sentiasa bekerja dengan kuat, bersungguh-sungguh dan amanah kerana itu adalah satu ibadah.
Ketiga: Pemimpin dan seluruh pekerja di dalam organisasi perlu memupuk budaya kerja yang positif dan menghindari budaya kerja yang negatif.

Maksudnya : “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu; mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Surah Al-Mulk:15)
Tags: khutbah, kreatif, pekerjaan
Subscribe

Posts from This Journal “pekerjaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments