mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memahami munculnya mazhab

Memahami munculnya mazhab

MAZHAB atau 'madhhab' adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada aliran pengamalan hukum–hakam syarak oleh seseorang Muslim yang terhasil daripada metode imam–imam tertentu dalam memahami dalil–dalil syarak daripada al-Quran dan as-Sunnah.



Metode ini akhirnya melahirkan pandangan oleh imam–imam dan juga pengikut yang akhirnya terhimpun sebagai satu aliran mazhab.

Fenomena bermazhab bukanlah sesuatu yang telah wujud semenjak zaman Nabi Muhammad SAW.

Ini kerana kewujudan Rasulullah SAW sebagai tempat rujuk dan juga wahyu yang turun daripada ALLAH SWT kepada Rasul-Nya sama ada dalam bentuk al-Quran mahupun sunnah, serta dapat diterima oleh kaum Muslimin pada zaman tersebut secara langsung. Selepas kewafatan Baginda SAW, umat Islam hilang sumber rujukan dalam menangani pelbagai masalah, sehingga sahabat telah mewujudkan suasana yang baharu untuk menyelesaikan masalah kehidupan mereka yang berkaitan hukum-hakam agama.

Maka timbullah beberapa alternatif, antaranya ialah dengan merujuk kepada fuqaha dalam kalangan sahabat, seperti Abu Bakar, Umar, Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Mas’ud, Huzaifah bin Yaman dan ramai lagi, ataupun melalui keputusan syura dalam kalangan segelintir sahabat yang dipanggil untuk berbincang oleh khalifah.

Selepas zaman Umar RA, golongan sahabat mula bertebaran ke seluruh tanah jajahan milik umat Islam.

Mereka ini menjadi rujukan rujukan penduduk setempat dan mempunyai ramai pengikut. Pada waktu itu, sekiranya wujud sebarang perbezaan pendapat kalangan mereka, ia tidak dapat diselesaikan melalui syura sepertimana zaman sebelumnya.

Jarak dan masa telah membuatkan mereka sukar untuk berhubung antara satu sama lain. Berbeza keadaannya ketika mereka berada di Madinah pada zaman Abu Bakar RA dan Umar RA.

Wujud Perbezaan

Pada zaman tabiin, perbezaan pendapat ini semakin berkembang disebabkan banyak faktor lain. Golongan tabiin yang menjadi anak murid kepada sahabat membawa pendapat guru-guru mereka dan mengembangkannya.

Tabiin yang tinggal di Hijaz, di mana terletaknya Makkah dan Madinah yang dihuni majoriti sahabat, segala permasalahan baharu yang timbul akan segera dicari jawapannya menerusi hadis-hadis yang masih lagi terpelihara dalam kalangan mereka.

Sementara mereka yang mendiami tempat yang agak jauh dari tanah Hijaz seperti Iraq khususnya, mereka menghadapi kesulitan untuk merujuk kepada hadis-hadis dalam menyelesaikan permasalahan baharu yang timbul.

Ini disebabkan kurangnya hadis yang sampai kepada mereka kerana amat sedikit dalam kalangan sahabat yang tinggal di sana.

Tidak kurang juga, faktor seperti  munculnya ramai pembawa hadis palsu di Iraq kalangan munafik dan juga golongan Rafidah.

Untuk mengelakkan hadis palsu ini terus berkembang, mereka meletakkan syarat yang ketat dalam menerima sesuatu hadis.

Antaranya, penggunaan kaedah qiyas terhadap dalil–dalil yang sedia ada, dan mengambil metode induktif dalam meletakkan kaedah tertentu untuk dijadikan hukum asal yang diqiyaskan kepada hukum hakam baru yang tidak ada dalil jelas mengenainya.

Zaman seterusnya menyaksikan dua metode ini mula bertapak dengan kukuh. Ia menjadi dua aliran utama dalam memahami hukum dan mengeluarkan hukum-hakam fiqh untuk diamalkan oleh kaum Muslimin.

Metode ahli Hijaz pada waktu itu dikenali sebagai aliran ahli hadis. Manakala metode ahli Iraq yang berpusat di Kufah pula dikenali sebagai aliran ahli rakyi (menggunakan akal dan pendapat dalam mengeluarkan hukum-hakam yang baru).

Aliran ahli hadis kemudiannya dikenali melalui tokohnya, iaitu Imam Malik. Manakala ahli rakyi diketuai oleh Imam Abu Hanifah.

Konflik mazhab

Perbezaan pendapat antara dua aliran ini pada asalnya harmoni. Tetapi menjadi keruh apabila diwarnai dengan ketaasuban  pengikutnya.

Untuk menyelesaikan masalah, Imam Syafie pula membawa metode baharu yang menggabungkan antara kedua-dua aliran tersebut. Aliran baharu ini dapat dilihat dalam disiplin ilmu baharu yang disusunnya, iaitu ilmu usul al-Fiqh melalui karya agung beliau Al-Risalah.

Metode Imam Syafie ini akhirnya membentuk alirannya sendiri dan mempunyai pengikut setia. Aliran ini akhirnya membentuk aliran ketiga dalam kalangan kaum Muslimin selepas dua aliran sebelumnya.

Anak murid Imam Syafie, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal pula telah memulakan aliran yang keempat dengan memodifikasikan aliran Imam Syafie dengan menumpukan kepada hadis dan periwayatannya.

Ahmad bin Hanbal berjaya mendapat pengikut yang ramai melalui perjuangannya yang cekal mempertahankan akidah ahli sunnah dalam berhadapan dengan pihak penguasa yang beraliran Mu'tazilah.

Bagaimanapun, aliran Imam Ahmad ini agak berbeza dengan aliran ahli hadis yang di pelopori oleh Imam Malik kerana beliau menolak beberapa prinsip Imam Malik seperti ijmak ahli Madinah dan lain–lain lagi.

Mazhab yang pupus

Selain empat aliran utama ini, terdapat juga ulama lain yang bertaraf mujtahid pada zaman tersebut yang mempunyai aliran pemikiran mereka tersendiri dan berbeza dengan empat aliran yang sedia ada.

Sama ada kerana kurang popular ataupun kurang pengikut, aliran pendapat yang dipelopori ulama seperti Laith bin Sa'ad, Al-Auzaa'i, Hassan Al-Basri, Al-Tobari dan lain–lain lagi akhirnya pupus ditelan zaman.

Sehingga kini, empat aliran yang pertama tadi mendominasi aliran pemikiran umat Islam dalam usaha mereka beramal dengan hukum-hakam syarak melalui dalil–dalil daripada al-Quran dan sunnah.

Aliran pemikiran yang terbina melalui kaedah tersendiri ini akhirnya dikenali sebagai mazhab.

Mazhab–mazhab ini akhirnya disandarkan kepada pengasasnya, seperti Mazhab Maliki - Imam Malik bin Anas, Mazhab Hanafi- Imam Abu Hanifah bin Nu'man, Mazhab Syafie-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie dan Mazhab Hanbali dinisbahkan kepada Iman Ahmad bin Hanbal.

Kesemua mereka ini berada dalam bidang usul al-Fiqh dan lebih dikenali sebagai mujtahid mutlaq.

Istilah mazhab ini akhirnya bertambah luas, apabila pengikut mereka mula mengembangkan mazhab dan ajaran imam masing-masing dengan mengeluarkan pelbagai fatwa baharu untuk menyelesaikan permasalahan semasa.

Fatwa–fatwa mereka ini akhirnya memperkayakan khazanah hukum-hakam yang dikenali sebagai pendapat mazhab mereka.

Ulama terkemudian mengembangkan pula metode imam mazhab mereka dengan mengeluarkan pelbagai fatwa baharu yang dikenali sebagai mujtahid mazhab.

Mereka tidak membina aliran mereka sendiri. Sebaliknya berlindung di bawah payung mazhab imam masing-masing menggunakan metode mereka dalam memahami al-Quran dan sunnah untuk mengeluarkan hukum-hakam syarak.

Metode ini akhirnya melahirkan pandangan imam–imam tersebut dan pengikut mereka. Kemudian ia terhimpun sebagai satu madrasah dan aliran mazhab.

Sesiapa yang mengatakan mazhab itu sekadar pendapat imam tertentu dan tidak merujuk kepada dalil, maka ia adalah suatu kesilapan.

Mereka ini sama ada termasuk golongan taasub yang kuat mempertahankan mazhab imam mereka dengan membelakangkan dalil ataupun golongan yang anti mazhab dan menentang perbuatan bermazhab dengan alasan perbuatan itu membelakangkan dalil.

Tags: mazhab
Subscribe

Posts from This Journal “mazhab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments