mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Kunci Ke Syurga”.

Petikan Khutbah Jumaat:  (19 Mei 2017 / 22 Sya’ban 1438) JAKIM

.“Kunci Ke Syurga”

Islam amat memuliakan insan yang bergelar ibu dan bapa. Memuliakan ibu atau bapa, bukanlah dengan memberi harta yang berlimpah ruah tetapi dengan akhlak yang baik dari anak-anak. Ini adalah antara ciri-ciri orang beriman yang dicintai oleh Allah SWT. Atas kemuliaan dan ketinggian kedudukan ibu dan bapa di dalam agama, maka Allah SWT mewajibkan kita berlaku ihsan kepada kedua-duanya.

jakim.jpgFirman Allah SWT dalam Surah An Nisa ayat 36: Maksudnya: Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa….”

Para pentafsir al-Quran menjelaskan bahawa maksud berbuat baik kepada ibubapa ialah kita berusaha mencari keredhaan dan menggembirakan hati kedua-duanya. Keredhaan Allah SWT adalah bergantung kepada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan ibubapa menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

Anak-anak yang mengasihi ibu bapa mereka akan sentiasa memelihara akhlak dan sahsiah diri menuju jalan kemuliaan. Antara sikap mulia anak-anak kepada ibubapa adalah berlemah lembut, berbudi bahasa, tidak derhaka dan sentiasa ingat pengorbanan mereka.

Setidak-tidaknya ada lima Nilai Teras Keluarga Bahagia berkonsepkan KASIH iaitu Kasih Sayang, Berakhlak, Sihat, Selamat, Berilmu dan Harmoni yang boleh diamalkan. Namun, jika elemen nilai ini diketepikan maka terjadilah kes anak yang berjaya dalam hidup, punya nama, pangkat dan harta tetapi gagal menyantuni ibubapanya. Lebih memilukan, ia mendatangkan tekanan emosi yang teruk kepada ibubapa sehingga menjejaskan tahap kesihatan mereka.

Menurut kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia kelima (KPKM-5), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2014, terdapat kira-kira 2.77 juta warga emas berusia 60 tahun dan ke atas iaitu 9 peratus daripada 30.49 juta populasi penduduk di negara ini.

Apa yang membimbangkan, ada di kalangan mereka yang tinggal berseorangan ataupun bersama pasangan mengalami rasa kesunyian dan rendah tahap interaksinya dengan ahli keluarga. Oleh itu, situasi ini perlu diberi perhatian serius oleh anak-anak kerana ia mungkin memberi kesan kepada kestabilan emosi, kesihatan dan ekonomi ibu dan bapa kita.

Dewasa ini, masih ada lagi masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab kepada ibubapa mereka. Bahkan masih ada juga yang tidak mempedulikan nasib ibubapa dan kurang prihatin terhadap kesusahan ibubapa mereka. Ingatlah, bahawa mereka sudah terlalu banyak berkorban dan berjasa dalam membesarkan kita. Justeru, menghayati pengorbanan mereka dalam tempoh sehari adalah tidak memadai. Bahkan kita dituntut mengenang jasa mereka dengan kasih sayang sepanjang hayat kita.

Firman Allah SWT dalam Surah al- Ahqaf ayat 15:
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dan telah melahirkannya dengan bersusah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”

Sememangnya cabaran menjaga ibubapa yang telah lanjut usia adalah berat. Namun, jika kita sabar dan ikhlas melayan mereka nescaya sudah tentulah kebaikan juga yang dibalas oleh Allah SWT. Yakinlah, bagi balasan baik Allah SWT telah menjanjikan kebaikan yang tidak terkira terhadap ketaatan dan amal bakti yang dicurahkan oleh seorang anak kepada ibu bapanya.


Sebagai anak kita bertanggungjawab memuliakan ibubapa dengan mentaati mereka, menggembirakan mereka, bersyukur dan menghargai mereka dan sentiasa mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dengan amalan mulia ini, Allah SWT memberkati rezeki dan umur kita, menghapuskan dosa dan menjadi jaminan untuk kita memasuki syurga.


Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sungguh hina, Sungguh hina, Sungguh hina”. Lalu baginda SAW ditanya: “Siapakah Ya Rasulullah?” jawab baginda SAW: “Sesiapa yang mendapati kedua ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripada keduanya, tetapi dia tidak dapat masuk ke syurga (dengan memelihara mereka sebaik-baiknya).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menyeru sidang Jumaat sekalian untuk sama-sama menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan iaitu:


Pertama: Mentaati dan mematuhi kedua ibubapa melebihi segala-galanya selagi mana mereka tidak menderhakai Allah SWT.
Kedua: Mengutamakan kasih sayang terhadap ibubapa dengan menghormati dan membalas jasa mereka.
Ketiga: Umat Islam dilarang menyakiti hati ibubapa kerana ia termasuk dosa besar dan balasannya sangat berat di sisi Allah SWT.

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Surah Al ‘Ankabut : 8)
Tags: ibubapa, kasih, khutbah, syurga
Subscribe

Posts from This Journal “kasih” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments