mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hijrah rakaman pengajaran teragung

SETELAH diangkat menjadi nabi dan rasul, Nabi Muhammad SAW bertungkus-lumus menjalankan usaha dakwah kepada tauhid. Dakwah itu menuntut kepada kesungguhan dan keikhlasan serta pengorbanan dan penderitaan. Ia diteruskan di Makkah sehingga 13 tahun lamanya, satu tempoh yang lama berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran.

Suatu ketika, Baginda SAW telah bermimpi melihat negeri yang terletak di kawasan yang dipenuhi pohon kurma. Itulah bumi Yathrib yang telah dipilih ALLAH SWT sebagai ‘Darul Hijrah ‘ bagi kaum Muslimin. Maka berangkatlah kaum Muslim dari Makkah, dan sebahagian yang berada di bumi Habsyah menuju ke Yathrib. Mereka berhijrah bersama agama dan tauhid, meninggalkan tanah tempat tumpah darah dan harta-benda mereka.

Benarlah perancangan ALLAH itu mengatasi segalanya. Hari ini kita sibuk bercakap tentang soal perancangan, hala tuju, sasaran dan sebagainya, namun segala perancangan yang kita fikirkan itu, mustahil berlaku melainkan dengan izin Tuhan. Sepertimana firman ALLAH: "Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan ALLAH menggagalkan tipu daya (mereka), kerana ALLAH sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." (Surah Al-Anfal: 30)

Bertitik tolak daripada perintah hijrah ini, maka bermulalah episod baharu dalam perjuangan Baginda SAW dan kaum Muslimin. ALLAH memilih bumi Madinah sebagai pusat penyebaran dan kekuatan Islam.

Hijrah yang dilakukan oleh Baginda SAW dan sahabat mempunyai banyak pengajaran dan iktibar. Antara pengajaran yang boleh diperoleh adalah :

1) Hijrah menuntut kepada transformasi holistik

Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, ia juga menuntut kepada perubahan positif yang holistik dan menyeluruh. Berhijrah daripada perkara yang ditegah dan dilarang ALLAH jua adalah tuntutan hijrah. Sabda Rasulullah SAW: “(Sebenar) Muslim adalah seorang yang menyelamatkan orang Muslim dari (kejahatan) lidah dan tangannya, (sebenar) orang yang berhijrah adalah seorang yang berhijrah (meninggalkan) apa yang dilarang ALLAH ke atasnya.” (Riwayat Muslim)

Sikap malas, pengotor, menangguhkan kerja, tidak produktif, ponteng kerja, tidak menjaga masa dan sebagainya adalah perkara yang ditegah ALLAH. Semua tabiat negatif ini haruslah ditinggalkan dan dijauhi. Hijrah menuntut kita berubah daripada keburukan kepada kebaikan, dosa maksiat kepada taubat dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.

2) Sabar dan yakin merupakan jalan kejayaan

Selepas 13 tahun bersabar berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran di Makkah, Baginda SAW dan sahabat berasai sinar kebahagiaan. Jika di Makkah mereka dibenci, diboikot, dihina dan dimaki, namun di Madinah mereka disantuni, diberikan perlindungan oleh warga Ansar dalam kalangan penduduk Madinah. Mereka mempunyai kenalan baharu, bahkan menjadi saudara bagi mereka. Kaum Muslimin berasa merdeka, mereka bebas beribadah, bebas ke sana ke mari. Sungguh mereka berasakan sinar kejayaan semakin hampir.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman - dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).” (Surah Ghafir: 51)

3) Bertawakal dan berpegang kepada tali Allah

Perjalanan hijrah bukanlah sesuatu yang mudah. Penghijrahan ini terdedah kepada pelbagai risiko. Hari ini, jika berhadapan dengan saat-saat getir dalam kehidupan, maka kita akan berasa sempit dada. Bahkan ada insan yang hilang arah tuju dalam kehidupan. Di sinilah pentingnya perasaan tawakal yang menyerahkan utusan kepada ALLAH di samping terus berpegang kepada tali ALLAH. Sepertimana firman ALLAH menerusi Surah At-Taghabun ayat 13.

4) Hijrah mengajar cinta hakiki dan persaudaraan

Hijrah turut memaparkan babak cinta dan persaudaraan sesama Islam. Lihatlah betapa teguhnya cinta dan kasih Abu Bakar RA kepada Rasulullah SAW. Sejarah telah mencatatkan, Abu Bakat RA menangis kegembiraan tatkala Rasulullah SAW telah memilihnya untuk menjadi teman Baginda SAW dalam perjalanan hijrah. Beliau kasihkan Rasulullah SAW lebih dari segala insan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah (sempurna) beriman salah seorang kamu sehingga aku (Rasulullah) menjadi insan yang paling dikasihinya daripada anaknya, bapanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat  Bukhari & Muslim)

Persoalan kepada diri kita, apakah Rasulullah SAW  telah menjadi manusia yang paling kita sayangi mengatasi kasih dan cinta kita kepada anak, ibu bapa, suami isteri dan segalanya?

Lihatlah bagaimana sahabat kalangan muhajirin dan Ansar telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW. Masjid menjadi pusat pertemuan dan berupaya menjadi pusat penyatuan di kalangan orang Islam. Akhirnya persaudaraan itulah yang menjadi sumber kekuatan kaum Muslimin. Mereka telah berjaya membuktikan, sedangkan masjid-masjid kita lengang, sunyi dan tidak bermaya. Kalaupun ramai yang berhimpun, hati-hati kita tidak bersatu bahkan saling membenci! - Moga dijauhkan ALLAH.

5) Perancangan teliti dan pengorbanan

Dua perkara penting yang menjadi elemen kejayaan hijrah adalah perancangan dan pengorbanan. Perjalanan hijrah telah menonjolkan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam merancang perjalanan, dan kesediaan sahabat dalam berkorban. Tidaklah dapat dinafikan bahawa, seorang pemimpin yang baik adalah seorang yang bijak merancang dan pengikut yang baik adalah seorang sanggup berkorban dan berjuang.

6) Ikhlas kunci mendapat manfaat

Seperti ibadah lain, hijrah jua menuntut kepada keikhlasan. Amatlah rugi sekiranya sesuatu usaha amal sama ada kecil atau besar dilakukan tanpa ikhlas. Sepertimana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal itu hanyalah berserta niat, dan setiap manusia mendapatkan apa-apa sesuai yang diniatkannya. Barang siapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah kepada ALLAH dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang diinginkannya atau wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa-apa yang ia inginkan itu.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sesungguhnya, hijrah itu sarat dengan pengajaran dan iktibar. Semangat hijrah wajar diterjemahkan dalam kehidupan seorang Muslim yang progresif dan dinamik. Hijrah sikap dan minda menjadi pemangkin ke arah umat cemerlang!

Tags: hijrah, ikhlas, sabar
Subscribe

Posts from This Journal “hijrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments