mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

FIRMAN ALLAH SWT: "Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Surah An-Nisaa': 34)

Segelintir fuqaha menyatakan pendapat mereka, hukumnya haram apabila seseorang isteri berlaku nusyuz terhadap suaminya kerana terdapat amaran keras daripada Nabi Muhammad SAW, sepertimana sabda Nabi yang bermaksud: "Sekiranya seseorang isteri itu meninggalkan tempat tidur suaminya (dengan sengaja) malaikat akan melaknatnya sehingga waktu pagi." (Riwayat Bukhari)

Kenyataan itu ditegaskan lagi dengan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa, Baginda SAW bersabda: "Sekiranya suami mengajak isteri ke tempat tidur lalu isteri menolak maka malaikat akan melaknat isteri berkenaan sehingga ke pagi hari." (Riwayat Muslim)

Berlakunya nusyuz

Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang isteri itu nusyuz kepada suaminya antaranya ialah wanita yang derhaka dalam mematuhi perkara yang diwajibkan ALLAH ke atas mereka seperti tidak taat kepada suami dan sengaja mencari marah suami dengan melakukan perkara yang suami tidak suka. Menolak ajakan suami ketika suami berhajat kepadanya juga tanpa sebarang sebab munasabah juga dikira sebagai nusyuz.

Dr Muhammad 'Uqlah dalam Kitab Nizam Al-Usrah fi Al-Islam memperincikan bahawa isteri yang nusyuz ialah isteri yang meninggikan diri daripada suaminya, meninggalkan perintah suami, menjauhkan diri daripada suami, mengelak diri daripada suaminya, membuat perangai sehingga mencabar ego suami dan memandang rendah martabat seorang seorang serta memperkecilkan suami.

Berdasarkan pandangan daripada Prof Dr Wahbah Al-Zuhaili dalam Kitab Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh  menjelaskan nusyuz isteri ialah derhakanya terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling benci membenci antara keduanya dan keluar rumah tanpa izin suami serta meninggalkan rumah dengan tidak ada sebab  syarie yang membolehkan atau menghalang suami daripada memasuki rumah.

Dalam konteks hari ini, boleh dikatakan bahawa nusyuz juga berlaku apabila isteri tetap mahu tinggal di rumah ibu bapanya sedangkan suaminya mengajaknya berpindah ke tempat lain.

Nusyuz boleh berlaku dalam perbuatan dan perkataan. Dalam perbuatan, isteri bermasam muka dengan suami, menjauhkan diri daripada suami, enggan menyahut panggilan suami  sedangkan sebelumnya dia mesra dengan suaminya. Nusyuz melalui perkataan pula adalah bercakap dan berinteraksi secara sedangkan sebelum itu isteri berlemah lembut dengan suami.

Didik isteri nusyuz

Al-Quran telah menggariskan panduan bagaimana caranya untuk mendidik isteri yang nusyuz dan ia dinyatakan ALLAH dalam  Surah An-Nisaa' ayat 34.  Daripada ayat berkenaan, boleh disimpulkan bahawa tindakan yang boleh dilakukan apabila seseorang isteri itu nusyuz adalah suaminya perlu memberi nasihat.

Antara nasihat yang baik termasuklah mengingatkan isteri untuk kembali kepada ALLAH selain menasihatinya perihal dosa dan kemurkaan ALLAH terhadap perbuatan nusyuz. Jika isteri terus bermasam muka di hadapan suami, sungguh pun suaminya mencuba bermacam cara, masih bercakap kasar sedang suaminya berusaha untuk berlemah lembut dengannya dan enggan bersama suaminya, suaminya perlu melakukan sesuatu seperti:-

1. Menasihatinya

Hendaklah suami menasihati isterinya dengan lemah lembut. Suami menasihati isteri dengan mengingatkan perlunya isteri mematuhi kewajipannya untuk taat pada suami. Nasihat berkenaan perlulah mendorong isteri untuk taat pada suami dan memotivasikan dengan menjelaskan betapa besarnya ganjaran pahala di dalamnya. Wanita yang baik adalah wanita solehah, yang taat, menjaga diri saat suami tidak ada di sisinya. Suami juga hendaknya  menjelaskan hukuman ALLAH kepada wanita yang nusyuz kepada suaminya.

Dan jika isteri menerima nasihat dan berubah, suami tidak boleh mengungkit akan setiap perbuatan isterinya sebelum ini, sebagaimana firman-Nya: "Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya." (Surah An-Nisaa': 34)

2- Melakukan hajr

Namun jika nasihatnya tidak diendahkan, suami perlulah mencari kaedah lain iaitu hajr (memboikot isterinya dalam tempoh menasihatinya untuk tidak nusyuz). Ia dijelaskan ALLAH dalam firman-Nya: "Dan hajrlah mereka di tempat tidur mereka." (Surah An-Nisaa': 34) .  Mengenai cara menghajr, ulama memberikan beberapa cara sebagaimana diterangkan oleh Ibnul Jauzi:

Tidak berhubungan intim walaupun isteri menginginkannya.

Tidak mengajak berbicara, namun masih tetap berhubungan intim.

Mengeluarkan kata-kata yang menyakiti isteri ketika di ranjang.

Pisah ranjang (Lihat: Zaadul Masiir, 2: 76).

Cara manakah yang kita pilih? Yang terbaik adalah cara yang sesuai dan lebih bermanfaat bagi isteri ketika hajr. Namun, tidak boleh seorang suami memboikot isteri melainkan di rumahnya.

Sebagaimana sabda Nabi SAW ketika Baginda SAW ditanya mengenai kewajiban suami pada isteri oleh Mu'awiyah Al-Qusyairi: "Dan janganlah engkau memukul isterimu di wajahnya, dan jangan pula menjelek-jelekkannya serta jangan melakukan hajr selain di rumah." (Riwayat Abu Daud no. 2142. Syaikh Al-Albani mengatakan hadis ini hasan sahih)

Namun jika melakukan hajr untuk isteri di luar rumah itu terdapat maslahat, maka silakan dilakukan kerana Nabi  SAW pernah melakukan hajr terhadap isteri-isteri  Baginda SAW di luar rumah selama sebulan. Dan, si suami perlu berhati-hati supaya hajr yang dilakukan tidak diketahui anak-anak bagi mengelakkan berlakunya sebarang keburukan di masa depan.

Berapa lama masa hajr? Ulama Malikiyah berpendapat bahawa tempoh hajr paling maksimum adalah empat bulan. Namun yang lebih tepat adalah pendapat jumhur ulama dalam kalangan Hanafiyah, Syafi’iyah, Hanabilah, masa hajr adalah sampai waktu isteri kembali taat (tidak nusyuz). Kerana dalam ayat hanya disebutkan secara mutlak, maka kita pun mengamalkannya secara mutlak dan tidak dibatasi.

Namun jumhur ulama berpandangan bahawa jika hajr yang dilakukan adalah dengan tidak berbicara pada isteri, maka maksimum hajr adalah tiga hari, meskipun isteri masih terus-terusan nusyuz kerana suami boleh melakukan cara hajr yang lain. Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang Muslim melakukan hajr (boikot dengan tidak mengajak bicara) lebih dari tiga hari." (Riwayat Bukhari no 6076 & Muslim no 2558)

Jika tidak lagi bermanfaat cara kedua ini, maka ada langkah berikutnya.

3 - Memukul isteri

Memukul isteri yang nusyuz dalam hal ini dibolehkan ketika nasihat dan hajr tidak lagi bermanfaat. Namun, suami haruslah memukul isteri dengan cara yang diajarkan Islam niat untuk mendidik bukan sebaliknya.

Suami perlu memukul isteri dengan pukulan yang ringan kerana tujuannya adalah untuk isteri kembali taat. Islam memberikan garis panduan bagaimana untuk memukul isteri supaya pukulan itu tidak mendatangkan mudarat antaranya tidak boleh memukul dengan pukulan yang keras, tidak boleh memukul di bahagian wajah dan anggota yang mudah cedera.

Sesungguhnya, terlalu besar ganjaran yang ALLAH sediakan untuk isteri yang solehah dan diredai suaminya. seperti sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Ummu Salamah RHA: " Setiap wanita yang meninggal dalam keadaan suaminya reda kepadanya, maka dia akan masuk syurga." (Riwayat At-Tirmizi)

Siapa yang tidak mahu masuk syurga, jadi sebagai isteri cubalah sedaya upaya merebut peluang itu dengan mentaati suami  dan melakukan kewajipannya. Sesuatu yang perlu dipandang serius, nusyuz juga boleh menggugurkan hak nafkah daripada suami. Sunat bagi suami berbuat baik dan mengambil hati isterinya dengan memberikan sesuatu yang menggembirakan perasaan isteri.

Nusyuz hanya isteri?

"DUA tiga hari ni, asal abang balik kerja mesti awak tidak ada di rumah, awak ke mana? Pagi tadi, awak tak mintak izin pun nak keluar rumah," tanya suami baik-baik, tapi isterinya menunjukkan wajah tidak berpuas hati.

Suami adalah nakhoda dalam sesebuah bahtera rumah tangga dan semestinya setiap apa yang diperintahkannya itu perlu ditaati dan bukannya dibangkang. Justeru, apa yang perlu dilakukan si suami apabila suri hatinya sering membelakangi?

Dalam menelusuri alam perkahwinan, sebuah rumah tangga itu tidak akan lari daripada ujian.  Pertengkaran, ketidakfahaman dan pelbagai permasalahan lain adalah biasa dalam kehidupan berumah tangga.

Bezanya, mampu atau tidak pasangan berkenaan bersabar dan bertahan. Berbalik kepada situasi di atas, apakah seorang isteri itu telah nusyuz, apabila suami berasa hati  kerana isterinya keluar rumah tanpa keizinan?  Ikuti kupasan lanjut berikut:

Nusyuz dari segi bahasa bermaksud tempat yang tinggi (menonjol). Sedangkan sudut istilah pula bermakna isteri yang derhaka kepada suaminya dalam perkara yang melibatkan ketaatan serta tindakan yang keterlaluan.

Mazhab Hanafi berpandangan nusyuz itu adalah apabila seseorang isteri keluar rumah  tanpa kebenaran suaminya. Manakala, jumhur ulama terdiri daripada ulama aliran mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menyatakan nusyuz terjadi saat isteri ingkar perintah si suami.  Sedangkan seorang isteri harus patuh kepada suaminya selagi perintah berkenaan tidak melanggar hukum syarak.

Al-Allamah Asy-Syaikh Abdurrahman bin Nasir al-Sa'di  dalam tafsirnya berkata:

"ALLAH berfirman: "Dan isteri-isteri yang kalian khuatir nusyuz, maksudnya mereka menarik diri dari mentaati suami dengan bermaksiat (tidak patuh) kepada suami, baik dengan ucapan ataupun perbuatan, maka suami hendaknya memberikan 'pengajaran' kepada isteri dengan cara yang paling mudah/ringan kemudian yang mudah/ringan.

Pertama: Berilah mau'izhah (mengingatkan seseorang dengan pahala dan hukuman yang dengannya dapat melunakkan hatinya) kepada mereka, dengan menerangkan hukum ALLAH dalam perkara taat dan maksiat kepada suami, memberikan anjuran untuk taat kepada suami serta mengingatkan  mereka akibat berbuat demikian terhadap suami.

Sekiranya isteri masih leka dengan perbuatannya, maka asingkanlah tempat tidurnya dan jangan menggaulinya dalam waktu dia berbuat demikian.  Jika isteri masih lagi tidak mahu berubah pukullah dengan pukulan yang mendidik.

Apabila isteri tidak lagi berbuat nusyuz dan isteri kembali mentaati kalian, janganlah kalian mencela dan mencerca mereka atas kesalahan mereka yang telah lalu, dan jangan menyelidiki/mencari-cari kesalahan yang akan bermudarat bila disebutkan serta menjadi sebab timbulnya kejelekan." (Taisir Al-Karim Al-Rahman, halaman 177)

Lihatlah betapa Islam menjaga hubungan kekeluargaan, setiap permasalahan yang mendatang akan diberi tunjuk ajar dan panduan bagi mengelakkan terjadinya sesuatu yang mendatangkan mudarat dan keburukan.

Isteri nusyuz suami dayus

PASTI terfikir juga di benak ini hanya isterikah yang melakukan kesilapan. Isteri apabila berbuat salah kepada suaminya ia boleh diertikan nusyuz. Tapi jika suami? Nusyuz bukan hanya dalam kalangan isteri, tetapi ia juga berlaku kepada suami. Seorang suami yang cuai dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam erti kata sebenarnya juga boleh dilabel sebagai dayus.

Menurut Muhammad Qutb dan Dr Muhammad 'Uqlah: "Jika isteri dianggap nusyuz apabila dia menderhakai suaminya, tidak menunaikan kewajipan dan kelaur rumah tanpa izin suaminya, maka suami juga boleh dianggap nusyuz dengan sebab dia enggan memberikan nafkah kepada isterinya.

Dr Mustafa Al-Khin dan Dr Mustafa Al-Bugha dalam Al-Fiqh Al-Manhaji menganggap bahawa nusyuz suami terjadi apabila berlaku pengabaian dan keengganan pada pihak suami  dengan tidak menunaikan giliran, tidak memberikan nafkah, mendera isteri, berkasar dengannya sama ada dengan perbuatan atau pertuturan.

Sehubungan itu, suami nusyuz atau dayus boleh ditakrifkan sebagai suami yang enggan menunaikan hak spiritual isteri iaitu berkomunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual dan memberikannya pendidikan agama serta tidak dikasari, dihina. Hak material isteri pula ialah pemberian mas kahwin dan nafkah yang wajib ditunaikan.

Sekiranya suami  dayus, isteri hendaklah bersabar. Isteri perlu mengingatkan suami mengenai kewajipan yang perlu dilakukannya seperti yang dinyatakan ALLAH SWT dalam Surah An-Nisaa; ayat 19.

Isteri juga boleh mengingatkan suami berkenaan dengan hadis Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa lelaki yang paling baik ialah suami yang baik terhadap isterinya. Walau bagaimanapun, kesabaran seorang isteri ada batas dan hadnya. Agama Islam adalah agama yang sempurna dan pasti ada penyelesaian untuk isteri yang berdepan dengan suami yang dayus.

Isteri boleh membawa kes ini kepada kadi atau ke mahkamah syariah untuk mendapat semula haknya dan mendapat keadilan sewajarnya sebagai seorang isteri. Dan jika masalah ini berpanjangan dan isteri sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi, maka jika perpisahan adalah jalan terbaik kepada pasangan berkenaan, lakukanlah.

Suami adil

KEPERIBADIAN Rasulullah SAW sebagai seorang suami perlu dijadikan teladan. Suami di luar sana perlu cenderung kepada gaya dan cara Baginda SAW mengemudi rumah tangga. Kekadang, bukan kerana isteri itu yang mahu nusyuz tetapi dek kerana perasaan tidak puas hatinya dengan sikap suami.

Kita tahu bahawa Rasulullah SAW memiliki ramai isteri. Di antara isteri-isterinya ada yang lebih Baginda SAW cintai daripada yang lain. Sebab, cinta adalah urusan hati yang berada di tangan-Nya sesuatu yang di luar kemampuan hamba.

Aisyah RAH adalah isteri yang paling dicintai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri menyatakan dan mengakuinya. Ditanyakan kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling dicintai?."

Baginda SAW menjawab: "Aisyah."

Ditanyakan: "(Kalau) dalam kalangan lelaki?"

Baginda SAW menjawab: "Ayahnya," (Riwayat At-Tirmizi, dinyatakan sahih oleh Al-Albani RHM dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi no 3890)

Rasulullah SAW tidak membezakan penggiliran di antara isteri-isterinya. Setiap hari Baginda SAW akan menemui semua isterinya. Baginda SAW mendekati semua isterinya tanpa 'menyentuh', hinggalah sampai di rumah isteri yang beroleh giliran di hari tersebut, lalu bermalam di rumahnya.

Tatkala Saudah telah lanjut usia dan dia khuatir jika Rasulullah SAW akan menceraikannya, dia berkata: "Giliran hariku untuk Aisyah."

Rasulullah SAW pun menerima tawaran tersebut. "Apabila seorang isteri khuatir nusyuz daripada suaminya…." (Riwayat Abu Dawud no 2135, hadis ini hasan sahih sebagaimana dalam Sahih Sunan Abi Dawud)

Aisyah berkata: "Rasulullah menggilirkan setiap isterinya, siang dan malamnya, kecuali Saudah bintu Zam'ah. Dia telah menghadiahkan siang dan malamnya untuk Aisyah isteri Nabi dalam rangka mencari reda Rasulullah." (Riwayat Bukhari no 2593)

Ketika bermusafir, Rasulullah SAW tidak mengutamakan isteri yang Baginda SAW cintai untuk selalu diajak bersamanya. Sebaliknya, Baginda SAW mengundi isteri-isteri manakah yang akan dibawa.

Termasuk keadilan Rasulullah SAW adalah ketika menikahi janda, Baginda SAW bermalam di kediamannya selama tiga hari agar terjalin perhubungan dengan isteri baharu. Setelah tiga hari, giliran isteri yang baharu tersebut sama dengan isteri-isteri yang lain.

Sikap adil Baginda SAW langsung tidak berkurangan walaupun saat Baginda SAW sakit.  Baginda SAW tetap bergilir di rumah isteri-isterinya. Sehinggalah Baginda SAW berasa payah kerana sakitnya semakin tenat. Aisyah meriwayatkan: "Ketika sakit Rasulullah bertambah parah, Baginda meminta izin kepada isteri-isterinya untuk dirawat di rumahku. Mereka pun mengizinkan …." (Riwayat Bukhari no 5714)

Pergaulan Rasulullah SAW dengan isteri-isteri Baginda SAW adalah teladan bagi orang-orang beriman. Oleh kerana itu, seharusnya kita mengenali dan mempelajarinya, lantas mencontohinya. Sebab, apa yang dilakukan Baginda SAW adalah bentuk pensyariatan dan petunjuk kepada umat Baginda SAW, agar dicontohi dan diteladani.

Tags: isteri, kahwin, keluarga, nusyuz, suami
Subscribe

Posts from This Journal “nusyuz” Tag

  • Bila cinta bertukar benci

    SUDAH berminggu-minggu saya menulis mengenai nafkah, terutama nafkah isteri. Saya turunkan nas daripada al-Quran dan hadis mengenai nafkah dan…

  • Isteri nusyuz tiada hak nafkah?

    KITA sering mendengar perkataan nusyuz yang sering dikaitkan dengan perangai isteri. Wanita terutama isteri sangat takut kepada perkataan nusyuz…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments