mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ayat koma Nabi Musa a.s.?

MEREMANG bulu roma apabila mendengar celoteh si penceramah begitu berani mendakwa sesuatu yang Allah tidak sebut dalam kisah Nabi Musa a.s. Lantas sabda Rasulullah SAW ini datang menjengah minda:

“Abdullah bin ‘Abbas r.a. berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa berkata-kata sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu, maka tersedia tempatnya dalam neraka,” - Sunan Tirmizi dan Musnad Ahmad.

Kisahnya, ramai berkongsi mesej tentang ayat al-Quran yang boleh digunakan untuk merawat sakit koma. Ia berikutan panggilan telefon seorang wanita kepada seorang penceramah yang muncul dalam televisyen.

Wanita tersebut meminta doa untuk merawat suaminya yang koma selepas kemalangan jalan raya. Ketika menjawab soalan, si penceramah mengajarnya beberapa teknik rawatan bersama sepotong ayat al-Quran:

“…… Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan),” (al-Nisa’ [4:164]).

Saya tidak berhasrat membincangkan ‘apakah ayat itu benar-benar mampu merawat sakit koma atau tidak.’


UMAT Islam digalakkan berdoa dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran kerana ia antara langkah mendekatkan diri kepada Allah. - GAMBAR HIASAN

Pendirian saya jelas! Al-Quran memang boleh digunakan untuk merawat sakit fizikal kerana seorang sahabat nabi pernah merawat seorang ketua kampung yang disengat binatang berbisa (jengking) dengan hanya membaca Surah al-Fatihah.

Setelah sembuh, sahabat nabi tersebut diberi upah sejumlah kambing. Mereka tidak menyentuh upah tersebut tanpa izin atau pengiktirafan Rasulullah SAW. Setelah mendengar kisah mereka, Rasulullah mengakuinya dengan bersabda:

“Bagaimana kamu tahu bahawa ia (Surah al-Fatihah) adalah jampi (ubat)?” Baginda kemudiannya menyambung sambil ketawa: “Kamu membuat keputusan yang benar! Bahagikanlah upah itu dan berikan aku sedikit daripada pembahagiannya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Walaupun begitu, kesan jampi atau ruqyah yang dibaca sangat subjektif bergantung kepada ‘keyakinan dan iman’ si perawat.

Buktinya dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW menjelaskan ‘iman dan yakin’ menjadi faktor keberkesanan:

“Pada suatu hari Abdullah Ibn Mas’ud r.a. bertemu dengan seorang lelaki yang ditimpa penyakit. Beliau membacakan ayat (al-Mu’minun [23:115-118]) dan lelaki tersebut sembuh daripada sakitnya. Beliau kemudiannya menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Ayat apakah yang engkau bacakan pada telinganya?... Rasulullah SAW lalu bersabda: “Demi yang jiwaku berada pada tangan-Nya (kuasa), sekiranya seorang lelaki yang yakin (dengan mukjizat al-Quran) membacanya (walaupun) kepada bukit sekalipun, sudah pasti bukit tersebut akan hilang (hancur),” (Tafsir Ibn Kathir). 


SILAP TAFSIR KISAH PENGSAN

Apa yang mahu ditegur adalah dakwaan berani si penceramah mengatakan ayat tersebut “telah Allah bacakan bagi menyedarkan Nabi Musa a.s. yang pengsan.” Beliau keliru dengan kisah pengsannya Baginda sebagaimana ayat ini:

“Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya (dengan percakapan yang tidak sama dengan percakapan makhluk), maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada pada tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku”, Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, baginda berkata: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku),” (al-A’raf [7:142-143]).

Jika diperhatikan, ayat ini ‘jelas’ menyebut Nabi Musa ‘sedar tanpa ada apa-apa bacaan daripada Allah.’

Sedarnya Baginda juga disebut secara umum tanpa tambahan perkataan - “…… Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan),” – sebagaimana dakwaan si penceramah. 


PENCERAHAN KISAH PENGSAN

Ayat yang didakwa si penceramah “dibacakan Allah bagi menyedarkan Nabi Musa daripada pengsan” itu letaknya dalam surah lain dengan konteks perbincangan yang lain sama sekali. Umpama putih dan hitam.

Ayuh kita lihat apa maksud sebenar firman Allah itu:

“Sesungguhnya Kami telah mewahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah mewahyukan kepada Nabi Nuh, dan para nabi yang diutus selepasnya; dan Kami juga telah mewahyukan kepada Nabi Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, nabi keturunannya, Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Kami juga memberikan kepada Daud: Kitab Zabur. Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu sebelum ini, juga para rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan), (al-Nisa’ [4:163-164]).

Memang benar percakapan Nabi Musa dalam surah al-A’raf itu adalah mukjizat Baginda yang khusus tetapi dakwaan ayat daripada Surah al-Nisa’ itu dibaca Allah bagi menyedarkan Baginda daripada pengsan sudah menjadi dua isu berbeza.

Sebarang dakwaan hubung kait antara kedua-dua ayat perlu disokong dalil al-Quran atau hadis. Tambahan pula ia muncul dalam dua surah berbeza dengan dua mesej berbeza.

Di dunia ini kita boleh diancam saman jutaan ringgit jika berani mencipta kata-kata palsu yang disandarkan kepada seseorang tokoh.

Al-Quran ini bukanlah kalam manusia tetapi kalam Allah. Sebarang dakwaan kosong tanpa hujah bakal mengundang kemurkaan Allah. Gerunilah amaran Allah dalam Surah al-An’am, ayat 93.

Walaupun ayat itu diturunkan Allah untuk memberi amaran keras kepada Musailamah al-Kazzab, nabi palsu pada zaman nabi (Tafsir Ibn Kathir), maksudnya tetap relevan kepada sesiapa yang berani mendakwa secara tidak betul atas nama-Nya.


BANYAK DOA BERDASARKAN NAS SAHIH

Sebenarnya Baginda Rasulullah SAW banyak mengajar doa-doa yang boleh digunakan merawat pelbagai penyakit.

Antaranya:


  • “Ya Allah! Aku mohon perlindungan dengan-Mu daripada hilangnya nikmat kurniaan-Mu, juga daripada berubahnya nikmat kesihatan kurniaan-Mu, juga daripada bencana ketentuan-Mu yang mengejut dan daripada semua kemurkaan-Mu,” - Sahih Muslim.

  • “Hilangkanlah (segala) sakit wahai Tuhan manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah (satu-satunya) yang Maha Penyembuh. Tiada penyembuhan melainkan penyembuhan yang Engkau berikan. Penyembuhan yang tidak akan meninggalkan bekas sakit,” - Sunan Abu Dawud.

Al-Quran adalah ubat yang sangat mujarab bagi orang beriman. Kita perlu galakkan umat Islam berdoa dengan ayat al-Quran kerana ia menjadi satu langkah mendekatkan mereka kepada Allah.

Walaupun begitu, selaku orang agama kita wajib berhati-hati dalam penggunaan ayat al-Quran kerana ia adalah kalam Allah yang mempunyai hak wajib dijaga dan ditunaikan.

Didiklah masyarakat dengan betul. Jangan sampai orang awam melihat ‘tingkap sebagai pintu’ kerana kecuaian kita membawa al-Quran kepada mereka.

Ya Allah! Bimbinglah kami semua!

Tags: hadis, nas
Subscribe

Posts from This Journal “nas” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments