mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Zakat; Menyucikan Jiwa Menyuburkan Harta”

Petikan Khutbah Jumaat 02 Jun 2017M / 07 Ramadhan 1438H: JAIS

“Zakat; Menyucikan Jiwa Menyuburkan Harta”.

Ibadah zakat fitrah telah disyariatkan pada tahun ke 2 hijrah iaitu merupakan tahun yang sama ibadah puasa disyariatkan.

jais.jpgDalam waktu kita menjalani ibadah puasa, marilah kita menghayati keperitan dan kesusahan golongan fakir dan miskin disekitar kita. Perit kelaparan kita hanya dirasai pada waktu siang hari sahaja tetapi mereka merasai kelaparan pada siang dan malam. Bahkan, kita berlapar hanya dalam sebulan di bulan Ramadhan tetapi mereka berlapar sepanjang tahun.

Terdapat dua jenis zakat yang wajib ditunaikan. Pertama zakat fitrah dan kedua adalah zakat harta. Bagi zakat fitrah ia digalakkan supaya menunaikannya diawal waktu agar agihan zakat ini dapat diberikan segera kepada asnaf fakir dan miskin supaya mereka dapat membuat persiapan lebih awal untuk menyambut hari raya pada tahun ini dengan perasaan gembira dan berbahagia.

Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang memudahkan kesusahan seseorang, nescaya Allah mempermudahkannya dalam kehidupannya didunia dan akhirat”. (Riwayat Ibnu Majah).

Yang perlu diambil perhatian berkaitan zakat fitrah ini ialah:

1. Allah SWT menjanjikan keberkatan, pertambahan rezeki, kebahagiaan dan ganjaran pahala yang besar kepada hamba-Nya yang menunaikan zakat fitrah. Begitu juga dengan zakat dan sedekah.

2. Zakat Fitrah wajib ditunaikan keatas setiap orang Islam, kecil atau dewasa, tua atau muda, lelaki atau perempuan termasuk bayi yang baru dilahirkan.

Zakat fitrah mesti dikeluarkan sebelum solat Idulfitri kerana jika ia dikeluarkan selepas solat idulfitri hanya akan dianggap sedekah biasa sahaja.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhu beliau berkata yang bermaksud:“Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan dari perkataan keji dan untuk memberi makan orang miskin. Barang siapa yang mengeluarkannya sebelum solat Idulfitri, maka ia adalah zakat yang di terima dan barang siapa yang mengeluarkannya sesudah solat Idulfitri, maka itu adalah sedekah seperti sedekah biasa bukan zakat fitrah”. (Riwayat Abu Daud).

Seseorang yang tidak menunaikan zakat fitrah dengan sengaja atau lalai maka hukumnya berdosa dan wajib mengqadhakannya dengan segera.

Menurut pendapat ulama dalam kitab Mustika Hadis terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM):“Seseorang yang melengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktu menunaikannya, maka ia telah berdosa dan masih wajib menunaikan zakat fitrah selepas waktu itu. Bahkan zakat fitrah tersebut menjadi hutang atas dirinya sehinggalah dia menunaikannya walaupun pada akhir hayatnya”.

Maka bagi mengelakkan dosa dan perkara-perkara yang dinyatakan tadi, bersegeralah menunaikan zakat fitrah dan jangan melengahlengahkannya.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 133;“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”.

3. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menetapkan harga zakat fitrah bagi Negeri Selangor pada tahun 2017 ini ialah sebanyak RM7.00 seorang secara tunai.

Berdasarkan laporan kutipan dan agihan zakat fitrah di Negeri Selangor, pada tahun 2016 sebanyak RM22.2 juta telah diperolehi daripada umat Islam yang menunaikan zakat fitrah di negeri ini. Pada tahun yang sama, pihak zakat Selangor telah mengagihkan sebanyak RM32 juta kepada 46,500 keluarga asnaf fakir dan miskin di Negeri Selangor ini sebagai persiapan mereka menyambut Ramadhan dan Hari Raya Idulfitri.

Pada tahun 2016 jumlah asnaf fakir dan miskin telah meningkat dari 44,393 keluarga kepada 46,500 keluarga. Peningkatan sebanyak 2,207 keluarga fakir miskin ini mendorong kepada peningkatan bantuan dan keutamaan pengagihan zakat kepada mereka berbanding asnaf-asnaf yang lain.

Pihak Lembaga Zakat Selangor telah melantik seramai 2,671 orang amil fitrah yang bertugas di seluruh masjid dan surau di Negeri Selangor. Disamping itu terdapat 28 buah kaunter zakat disediakan demi memudahkan umat Islam menunaikan zakat.

Tausiah dan pengajaran daripada khutbah yang disampaikan pada hari ini ialah;

1. Umat Islam wajib melaksanakan segala perintah Allah seperti solat, zakat, puasa haji dan lain-lain.

2. Umat Islam hendaklah menunaikan zakat fitrah bermula dari awal lagu untuk mengelakkan diri kita daripada lupa dan lalai disamping memberi kegembiraan kepada asnaf fakir dan miskin menyambut Ramadhan dan hari raya.

3. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa meninggalkan perintah-perintah Allah akan mengundang azab siksa dan kemurkaan daripada Allah SWT.

4. Umat Islam hendaklah mengambil kesempatan untuk meraih sebanyak mungkin pahala yang Allah sediakan khususnya dalam bulan Ramadhan ini.

“Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan-Nya”. (as-Syuraa; 36).
Tags: fitrah, khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments