mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Puasa dan Kelestarian Alam”.

Petikan Khutbah Jumaat:(02 Jun 2017 / 7 Ramadhan 1438) JAKIM

“Puasa dan Kelestarian Alam”.

Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan sempurna mampu mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah al- Baqarah ayat 183 yang berbunyi:Wahai orang-jakim.jpgorang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.

Ayat ini menjelaskan bahawa puasa boleh mendidik seseorang menjadi mukmin yang tunduk patuh kepada seluruh perintah Allah SWT serta menjadi mukmin yang takut dan gentar kepada Allah kesan daripada meninggalkan segala bentuk makisat sama ada zahir atau pun batin.

Ibadah ini dapat menyatukan akal, perasaan, jiwa dan sanubari manusia di saat kita melakukan Mujahadah melawan hawa nafsu. Ya, mujahadah dapat membantu membentuk jiwa kita agar sentiasa khauf (takut) terhadap pembalasan di akhirat dan pengadilan ilahi di padang Mahsyar kelak.


Dari sudut tasawuf, bermujahadah melawan hawa nafsu ketika berpuasa merupakan proses pembersihan diri (takhalli) iaitu membuang sifat-sifat keji yang ada dan diisikan dengan sifat-sifat mahmudah (mulia).

Maknanya, ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.


Kesan positif yang terhasil daripada ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh penghayatan itu mampu membina, menyubur dan menjernihkan kembali nilai akal budi insan.

S
eiring dengan konsep khalifah yang diberi amanah untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaiknya, maka sangat penting kita memastikan fitrah diri dipelihara supaya sumber di sekeliling kita dimanfaat dengan sebaik-baiknya serta dijauhkan daripada bencana.

Dengan itu, kesinambungan hidup generasi anak cucu kita yang akan datang dapat dinikmati dan dirasa. Persoalannya, adakah kita meninggalkan sesuatu yang lebih baik atau sebaliknya untuk anak cucu kita?.

Firman Allah SWT dalam ayat 165 Surah Al-An’am:
Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak mengujimu pada apa yang dikurniakan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”.

Dunia hari ini termasuk negara kita sering menghadapi pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar berpunca daripada kegagalan mengawal nafsu ammarah. Sikap rakus, cuai dan tamak yang menguasai diri tanpa memikir kesannya kepada alam sekitar dan generasi yang akan datang mengakibatkan sering terjadi musibah dan bencana yang besar seperti banjir, kebakaran hutan, tanah runtuh, ketidaktentuan cuaca, kemarau berpanjangan, pencemaran sumber air serta udara, kejadian ternakan mati dan sebagainya.

Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Surah ar-Ruum ayat 41: Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Justeru, menerusi tarbiyah Ramadhan ini, ia dapat menyedarkan kita bahawa segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT ini walaupun bersifat sementara, menuntut agar kita tidak sekali-kali lalai terhadap amanah yang diberikan.

Sempena dengan HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA yang disambut pada 05 Jun setiap tahun, mimbar menyeru hadirin sekalian, marilah kita sama-sama berganding bahu dan bersatu padu untuk sama-sama memakmurkan bumi Allah SWT ini dengan sebaik-sebaiknya.

Sesungguhnya, amalan menjaga keindahan dan kebersihan alam sekitar adalah satu amalan yang baik dan mulia yang perlu diterapkan dalam diri setiap masyarakat. Jika tidak, maka kita akan hidup dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana, tidak tenteram dan terdedah kepada pelbagai penyakit.

Manfaatkanlah nikmat alam ini secara berhemah dan tidak berlebih-lebihan serta mengambil segala langkah perlu bagi memastikan sumber ini terpelihara. Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa perkara yang perlu di ambil perhatian iaitu:


Pertama: Memakmurkan bumi ini dengan sebaik-sebaiknya adalah suatu amanah dalam konteks individu, ahli keluarga, masyarakat dan juga negara.
Kedua: Amalan menjaga kebersihan persekitaran akan menjamin keseimbangan ekosistem dan merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada kita dan generasi akan datang.
Ketiga: Alam sekitar yang diuruskan dengan baik dapat mengekalkan kesihatan dan menjadikan kehidupan manusia sejahtera.
Keempat: Ramadan adalah ‘madrasah rohaniah’ dan bulan kempen nilai-nilai murni yang mampu membawa manusia mencapai darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.

Maksudnya: “Dialah yang telah menciptakan manusia. Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima penyataan. Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu. Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu, masing-masing tunduk menurut peraturan-Nya. Dan langit dijadikannya tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan.” (Surah ar Rahman: 3-8)
Tags: khutbah, lestari, puasa
Subscribe

Posts from This Journal “lestari” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments