mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Al-Quran Sumber Perpaduan Ummah”.

Petikan Khutbah Jumaat: 9 Jun 2017M / 14 Ramadhan 1438H JAKIM

“Al-Quran Sumber Perpaduan Ummah”.

17 Ramadhan 1438H yang bakal kita lalui beberapa hari lagi merupakan detik yang disepakati oleh sebahagian besar ulama sebagai tarikh sejarah turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang bermunajat kepada Allah SWT di gua Hira’ bumi Makkah al-Mukarramah. Penurunan wahyu ini adalah dalil pengiktirafan jakim.jpgbaginda SAW sebagai seorang Rasul yang akan memimpin ke arah hidayah Islam yang menerangi seluruh pelusuk alam.

Penurunan ayat-ayat al Quran secara berperingkat bermula pada malam tersebut dikenali sebagai Nuzul al Quran. Manakala proses penurunannya menurut as Sheikh Mustafa Murad terbahagi kepada tiga peringkat.

Pertama, penurunan secara keseluruhan al Quran dari sisi Allah SWT ke Luh Mahfuz. Ini diterangkan oleh Allah SWT dalam Surah al Burj ayat 21-22:
Maksudnya: “Bahkan yang mereka dustakan itu ialah Al-Quran yang mulia yang tersimpan di Luh Mahfuz.”

Yang kedua, penurunan dari Luh Mahhfuz ke Baitul 'Izzah iaitu langit dunia sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah ad Dukhan ayat 3:Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al Quran) pada malam yang penuh keberkatan sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran.”

Dan yang ketiga, penurunan al Quran secara berperingkat dari Baitul 'Izzah kepada Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah al Furqan ayat 32:Maksudnya: “Dan berkatalah orang-orang yang kafir mengapa al Quran itu tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) secara serentak; yang demikian itu (beransur-ansur) supaya kami perkuatkan hatimu dengannya dan Kami membacakannya (Al-Quran) secara tartil.”

Penurunan al Quran secara berperingkat-peringkat kepada baginda SAW juga membuktikan bahawa ayat-ayat al-Quran bukannya rekaan baginda SAW. Ia adalah proses tarbiyah ummah yang unggul ke arah pembentukan generasi umat Islam yang kukuh.

Dengan satu bahasa, al Quran mampu dibaca dan dihayati isi kandungannya oleh umat Islam yang berbeza bangsa, negara dan pertuturan. Bahkan al Quran menjadi penawar buat kehidupaan umat Islam yang inginkan rahmat di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam Surah al Israa ayat 82:
Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

Bersempena peristiwa Nuzul al Quran pada Ramadhan kali ini, mimbar mengajak sidang jemaah sekalian untuk sama-sama merenung kembali sejauh manakah al Quran ini dapat dihayati dan diamalkan semaksimumnya. Ingatlah, asas kekuatan umat Islam adalah bergantung sumber yang utama iatu al Quran yang mampu mendatangkan kebaikan kepada negara dan rakyatnya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, hikmah Nuzul Quran yang perlu diberi perhatian :
Pertama :   Penurunan al Quran secara beransur-ansur adalah sebagai bukti ia adalah wahyu daripada Allah SWT.
Kedua :      Al Quran menjadi rujukan dan penawar diri bagi umat Islam yang inginkan kejayaan mahupun kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
Ketiga :      Perpaduan dan penyatuan ummah terbina dengan pembacaan, penghayatan serta pengamalan segala isi kandungan al Quran.

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia adakan bagimu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah al Anfal:29)
Tags: khutbah, kitab
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments