mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat “Ke Syurga Bersama Keluarga”

Petikan Khutbah Jumaat 16 Jun 2017M / 21Ramadhan 1438H: JAIS

“Ke Syurga Bersama Keluarga”

Allah SWT menjelaskannya dalam surah a;-Qadr ayat 2 dan 3; “Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam alQadr itu?. Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”.

jais.jpgBeribadah di malam Lailatul-Qadr adalah lebih besar daripada beribadah selama seribu bulan daripda bulan lain. Ia adalah satu anugerah yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja.

Persoalannya, bilakah akan berlaku Lailatul-Qadr? Secara pasti memang dirahsiakan oleh Allah SWT. Dalam beberapa hadis dan riwayat menyatakan hikmah dirahsiakan supaya orang yang beriman melakukan ibadah sepanjang Ramadhan.

Hadis daripda Ubadah Bin as-Somit R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Lailatul-Qadr itu dalam bulan Ramadhan, carilah ia pada malammalam sepuluh yang akhir dan yang ganjil, iaitu pada malam-malam 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau pada malam 29 pada malam yang terakhir dari bulan Ramadhan. Maka sesiapa yang beribadah mendirikannya kerana iman dan mengharap pahala maka akan diampunkan dosadosanya yang telah lalu dan yang akan datang”. (Riwayat Ahmad)

Ramadhan merupakan bulan dimana kitab-kitab Allah diturunkan kepada para Nabi termasuk al-Quran. Hadis daripada Wasilah Bin al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kitab yang diturunkan kepada Ibrahim pada malam pertama bulan ramadhan, Taurat diturunkan pada 6 Ramadhan dan Injil diturunkan pada 13 Ramadhan”. (Riwayat Ahmad).

Manakala malam yang telah diturunkan al-Quran pada bulan Ramadhan dinamakan malam Lailatul-Qadr dan malam yang diberkati. Sebagaimana firmna Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1:“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Qadr”

Allah menjanjikan keampunan kepada mereka yang beribadah dimalam Lailatul-Qadr sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang beribadat pada malam Lailatul-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT, akan diampuni segala dosa yang telah dilakukan dahulu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nabi Muhammad SAW walaupun seorang Rasul yang bersifat maksum, terpelihara daripada melakukan sebarang dosa serta terjamin syurganya, masih terus melakukan ibadah seperti iktikaf di Masjid Madinah terutama pada malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Aisyah R.Anha katanya: ُّ“Adalah Rasulullah SAW ketika masuk sepuluh akhir bulan Ramadhan, baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan keluarga untuk meningkatkan kesungguhan beribadat serta tidak menggauli isteri”. (Muttafaqun Alaih).

Isteri baginda Aisyah R.Anha juga tidak mahu ketinggalan beramal dalam bulan ini, katanya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, sekiranya aku bertemu Lailatul-Qadr, apakah doa yang perlu aku baca? Rasulullah SAW menjawab, bacalah: ِ“Ya Allah, sesungguhnya engkaulah Tuhan yang pemaaf, yang menyukai perbuatan memaaf, maafkanlah kesalahanku”. (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tabrani).

Pada malam al-Qadr, seluruh para malaikat turun ke bumi bersamasama berdoa dan mendoakan orang-orang yang sedang beribadat sehingga terbit fajar. Mereka akan memperolehi kedamaian dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Sebagaimana ayat 5 surah al-Qadr:  “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menceritakan kisah empat puluh orang tabi’in yang melakukan solat subuh dengan wuduk solat Isyak, bermakna mereka terus beribadah tidak tidur sepanjang malam. Qatadah R.Anhu pula pernah membaca seluruh al-Quran sehingga khatam setiap tiga malam sekali dalam bulan Ramadhan. Pada sepuluh malam yang terakhir, beliau mengkhatamkan seluruh al-Quran pada setiap malam. Demikian pula al-Imam as-Syafie Rahimahullah pernah khatam al-Quran sebanyak enam puluh kali dalam bulan Ramadhan.

Demikian juga selepas zaman Nabi SAW, amalan penduduk Madinah melaksanakan solat sunat Tarawih sebanyak 36 rakaat di Masjid Nabawi kerana ingin mengimbangi kelebihan penduduk Mekah yang solat sunat terawih sebanyak 20 rakaat dan setiap empat rakaat diikuti dengan tawaf, demikianlah semangat berlumba-lumba mereka memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT dalam bulan yang diberkati ini.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati tausiah seperti berikut:

1. Sebagai seorang yang beriman, kita wajib menunaikan segala perintah Allah dan yakin dengan ganjaran yang dijanjikan-Nya.
2. Umat Islam hendaklah sentiasa meningkatkan ibadah untuk meraih seberapa banyak ganjaran pahala khususnya pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
3. Umat Islam wajib mentarbiah anak dan keluarga, agar berpuasa dengan sempurna, menggalakkan solat terawih, membaca alQuran, beristighfar dan berdoa.
4. Umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh beribadah bersama keluarga dan menghindarkan perkara-perkara yang memudharatkan dengan membeli dan membakar mercun hingga mendatangkan kecederaan.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadr itu?. Malam Lailatul-Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadr; 1-5).
Tags: khutbah, lailatul qadar, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments